Kisah Kebijaksanaan Ulama’ – Anak Kecil Mengalahkan Ulama’ Yang Sombong

Ketika Imam Abu Hanifah berumur tujuh tahun, ada seorang ulama’ yang memiliki ilmu yang luas dan tidak ada bandingannya pada masanya bernama Dahriyyah. Beliau sangat pintar berdebat, terutama dalam ilmu tauhid. Tidak ada ulama’ lain yang boleh mengalahkannya. Kerana berasa dirinya hebat, beliau mula bersikap sombong dan bongkak. 

Pada suatu pagi, diadakan perdebatan di suatu majlis ilmu Syaikh Hammad bin Sulaiman, guru kepada Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah turut hadir. 

Ketika Dahriyyah naik ke atas mimbar, beliau berkata dengan sombong, “Siapa di antara kami wahai para ulama’ yang sanggup menjawab pertanyaanku?”

Para ulama semua diam. Tiba-tiba Imam Abu Hanifah yang masih kecil bertanya, “Apakah yang ingin kamu tanyakan?”

Ketika melihat Imam Abu Hanifah, Dahriyyah bertanya, “Siapakah kamu wahai anak hingusan? Berani kamu bercakap denganku. Tidakkah kamu tahu ramai yang sudah tua, berserban besar, para pemilik jubah kebesaran, semuanya kalah dengan pertanyaanku. Apakah kamu yang masih hingusan dan berbadan kecil ini berani melawan aku?”

Imam Abu Hanifah berkata, ”Allah tidak memberikan kemuliaan dan keagungan kepada pemilik serban yang besar atau para pembesar; tetapi kemuliaan hanya diberikan kepada ulama’.”

Dahriyyah bertanya, “Apakah kamu akan menjawab pertanyaanku?”

Imam Abu Hanifah menjawab, “Ya, aku akan menjawab pertanyaanmu dengan taufik Allah.”

Dahriyyah mula bertanya, “Apakah Allah itu ada?”

Imam Abu Hanifah menjawab, “Ya, ada.”

Dahriyyah bertanya lagi, “Di mana Allah?”

Imam Abu Hanifah menjawab, “Allah tidak mempunyai tempat.”

Dahriyyah bertanya lagi, “Bagaimana kamu boleh katakan Allah tidak mempunyai tempat?”

Imam Abu Hanifah menjawab, “Dalilnya ada di badan kamu iaitu roh. Sekarang aku ingin bertanya, kalau kamu yakin roh itu ada, di manakah tempatnya? Adakah di kepalamu, di perutmu atau di kakimu?”

Dahriyyah diam seribu bahasa dengan perasaan malu. 

Ketika itu, Imam Abu Hanifah meminta air susu daripada guru kesayangannya, Imam Hammad. Kemudian beliau bertanya kepada Dahriyyah, “Apakah kamu yakin ada manis di dalam susu ini?

Dahriyyah, “Ya, aku yakin ada manis di dalam susu itu.”

Imam Abu Hanifah berkata, “Kalau kamu yakin manisnya susu, aku ingin bertanya, apakah manisnya ada di bawah atau di tengah atau di atas?”

Sekali lagi Dahriyyah diam dengan rasa malu. 

Imam Abu Hanifah menjelaskan, “Seperti roh atau manis yang tidak memiliki tempat, maka seperti itu pula Allah. Allah tidak mempunyai tempat di alam ini, sama ada di Arasy atau di dunia ini.”

Ketika itu, Dahriyyah pula bertanya. “Apakah yang ada sebelum Allah dan setelah Allah?”

Imam Abu Hanifah menjawab, “Tidak ada apa-apa sebelum Allah dan sesudah-Nya.”

Dahriyyah bertanya, “Bagaimana boleh jadi demikian?”

Imam Abu Hanifah menjelaskan, “Dalilnya ada di jari tangan kamu. Apakah ada sebelum ibu jari atau selepas jari kelingking? Kemudian, apakah kamu boleh tentukan yang mana ada lebih dahulu, ibu jari atau jari kelingking? Begitulah Allah. Allah ada sebelum semuanya ada dan tetap ada apabila semuanya tidak ada (binasa). Itu maknanya ‘Ada’ bagi Allah.”

Untuk kali ketiga, Dahriyyah terdiam dan tunduk malu. Bagaimanapun, beliau lalu berkata, “Satu lagi pertanyaanku. Apakah perbuatan Allah sekarang?”

Imam Abu Hanifah menjawab, “Apa yang sepatutnya ialah, orang yang bertanya berada di bawah mimbar dan yang ditanya di atas mimbar.”

Akhirnya Dahriyyah akur, lalu turun dari mimbar. Imam Abu Hanifah pula naik ke atas mimbar. 

Ketika Imam Abu Hanifah berada di atas mimbar, Dahriyyah bertanya, “Apakah perbuatan Allah sekarang?”

Imam Abu Hanifah menjawab, “Perbuatan Allah sekarang adalah menurunkan orang sesat seperti kamu ke bawah jurang neraka dan menaikkan orang yang benar seperti aku ke atas mimbar keagungan.”

Kisah dari kitab ‘Aqidah an-Najin fi ‘Ilm Ushul ad-Din’ oleh Syaikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fathani, di dalam buku Fatasyabbahu Teladanilah Mereka: 95 Kisah Ulama’ Menuntut Ilmu, Mengajar dan Mengarang Kitab oleh Ustaz Muhadir Haji Joll

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: