Jom Kenali Malaikat – Pengajar Sihir, Harut & Marut

Harut dan Marut adalah dua malaikat yang diutus Allah dalam bentuk rupa manusia lelaki yang mengajar sihir kepada manusia, sehingga mereka dapat membezakan antara sihir dan mukjizat, agar tidak tertipu dan tidak ragu-ragu dalam dakwah nabi atau berfungsi untuk menafikan pengakuan para penyihir akan kenabiannya. 

Ini kerana ada manusia yang terpedaya dengan sesuatu yang diciptakan melalui sihir yang memukau dan menakjubkan, sehingga mereka mengaku sebagai seorang nabi. Oleh itu, Allah SWT mengutus dua malaikat ini untuk memberi kekuatan dalam melawan para penyihir pendusta. 

Peristiwa diturunkannya kedua Malaikat ini berlaku pada masa Nabi Idris AS dan ada pula berpendapat pada masa Nabi Sulaiman AS.

Harut dan Marut pernah memperlihatkan diri di daratan Iraq. Keduanya mengambil berat dalam memberikan petunjuk kepada manusia dengan mengingatkan umat manusia akan tipu muslihat sihir yang tersembunyi ketika seseorang mempelajari ilmu tersebut. Atau memperjelaskan kepada umat manusia bahaya yang akan menimpa diri mereka dan masyarakat akibat mempelajari ilmu tersebut. 

Jelaslah bahawa orang beriman, memiliki tauhid dan berakal sihat yang mengetahui hakikat sihir darinya, pasti akan menolak untuk mempercayai pengakuan para penyihir dengan seluruh dimensi sihirnya. 

Sebaliknya, orang yang beriman itu akan mengagungkan aspek kenabian dan meminta petunjuk serta bimbingan kepada para nabi ‘alaihimus salam. Perkara tersebut dapat diambil pelajaran dari peristiwa kenabian Musa AS seperti yang telah berlaku pada penyihir Fir’aun ketika dimensi sihir mereka ditelan bulat-bulat oleh mukjizat tongkat Nabi Musa AS. 

Ketika mereka menyedari terdapat perbezaan pada sihir yang mereka miliki dengan kehebatan tongkat Nabi Musa AS, mereka pun menyatakan bahawa itu bukanlah sihir dan menyatakan beriman kepada Allah SWT dan mengakui Nabi Musa AS sebagai Nabi dan Rasul-Nya, bahkan mereka tidak merasa gentar sedikit pun dengan ancaman seksa Fir’aun yang terkenal sangat kejam dan keji, dan mereka akan tahu perkara itu. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.”

(Al-Baqarah 2:102)

Maksud ayat di atas adalah bahawa syaitan telah membacakan kitab-kitab sihirnya dan mengajar sihir yang sangat terkenal kehebatannya itu kepada orang Yahudi sebelum Malaikat Harut dan Marut diutus oleh Allah di negeri Babylon. 

Orang Yahudi juga mempelajari sihir yang telah diturunkan kepada kedua malaikat itu dan kesannya lebih hebat apabila dibandingkan dengan kekuatan sihir yang telah diajarkan syaitan kepada mereka. 

Malaikat Harut dan Marut pada masanya tidak mengajar sihir kepada seseorang sebelum mengatakan kepada orang tersebut, “Kami adalah cubaan dan ujian dari Allah bagi kamu semua. Maka, janganlah kamu semua melakukan kufur dengan menyalahgunakan sihir itu, kerana di dalamnya terdapat perbuatan kufur dari syaitan.” Dengan kata lain, mereka yang telah mempelajarinya kebanyakan tersesat dalam tipu daya dan pujuk rayu syaitan. 

Mereka yang beriman kepada Allah, yang menyakini kebenaran ayat-Nya dan dapat memahami konteks ayat tersebut dengan baik, pasti meyakini bahawa berdua adalah malaikat yang telah diutus Allah ke bumi ini, 

Dan diturunkannya mereka berdua tentu membawa hikmah yang banyak bagi orang yang beriman kepada Allah SWT, di antara hikmah yang dapat kita ambil dari beriman pada kedua malaikat tersebut adalah: 

  1. Agar dapat menganalisa dan membandingkan serta membuat suatu kesimpulan akhir yang tepat dan betul serta menyelamatkan, bahawa yang mana perbuatan sihir dan yang mana yang bukan; yang mana mukjizat pada nabi atau rasul dan yang mana yang bukan; mana satu karamah para auliya’ Allah dan mana satu yang istidraj dan ghurur (tipu daya syaitan). 
  2. Sebagai cubaan dan ujian bagi orang yang beriman kepada Allah, agar tidak tertipu dan takjub dengan kehebatan sihir yang sering mengundang rasa kagum yang ditujukan kepada orang yang melakukan sihir tersebut, sehingga melenakan hati, menawan syahwat, membutakan mata dan melumpuhkan kesedaran kita untuk mengingati kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah ‘Azza wa Jalla. 
  3. Agar kita dapat melakukan tindakan mencegah dan melindungi diri dari perbuatan sihir yang sentiasa ada dan berlaku di sekeliling kita serta mengetahui dengan pasti akibat atau kesan negatif yang ditimbulkan oleh sihir.

Sumber: Biografi Malaikat – Mendapat kesempurnaan Iman, Interaksi dan Persahabatan Dengan Para Malaikat Allah SWT, Rachmat Ramadhana al-Banjari

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: