4 Tempat Makan Sedap Di Kuching, Sarawak

Oleh: mymuslimin.com

Kali ini tim mymuslimin.com singgah di ibukota negeri Sarawak, Kuching, dan mencuba juadah di bumi kenyalang yang unik ini. Disenaraikan 4 tempat makan yang sedap di Kuching, Sarawak. 

1. Mom’s Laksa (Jalan Haji Taha)

Laksa Sarawak begitu terkenal dengan kuahnya yang berempah dengan adunan jintan manis, jintan putih, lengkuas, belacan, ketumbar, bijan dan sebagainya. Ditambah dengan cebisan daging ayam, udang, hirisan telur dadar, sambal belacan dan air limau nipis, Laksa Sarawak jelas mempunyai rasa yang unik berbanding laksa di Semenanjung.

Untuk hidangan Laksa Sarawak halal dan sedap di Kuching, Mymuslimin telah mencuba Laksa Sarawak Special di Mom’s Laksa di Jalan Haji Taha. Laksa Sarawak Special di sini mengandungi telur, ayam, udang dan sup ekstra. Alhamdulillah, rasa laksa di sini menepati citarasa dan tidak hairanlah apabila restoran ini sering dicadangkan orang ramai.  

Mom’s Laksa juga menawarkan Laksa Sarawak Biasa, Laksa Sarawak Udang, Laksa Pattaya, Laksa Sarawak Udang Sotong dan macam-macam Laksa Sarawak lagi.  Pelanggan juga boleh menyesuaikan laksa dengan menambah bahan-bahan lebih seperti taugeh, bihun, kuah, telur dengan sedikit bayaran tambahan.

Restoran ini menyediakan ruang yang luas dan banyak meja untuk menerima pelanggan yang tiba tidak putus-putus. Selain Laksa Sarawak popular, Mom’s Laksa juga menghidangkan Mi Kolok, Sate, Rojak, dan variasi Nasi Ayam Penyet. 

2. Bismillah Cafe (Jalan Khoo Hun Yeang)

Restoran Bismillah Cafe ini ialah tempat sarapan yang sangat sedap dengan harga berpatutan!  Lokasi restoran ini berhampiran Padang Merdeka dan berhadapan dengan balai polis.  Apa yang sedap di sini? Kami telah mencuba Mi kolok dan roti canainya, dan dua-duanya sangat memuaskan hati.

Roti canai di sini lembut tetapi garing di luar dengan sedikit hangus, di makan dengan kuah dal dan kari, sempurna! Kami mencadangkan pesan dua keping seorang terus supaya tak perlu menunggu untuk roti seterusnya.

Mi kolok di cafe ini juga lazat untuk dimakan sebagai sarapan. Kolo atau Kolok ialah perkataan Iban yang bermaksud kering. Sup mi kolok di sini ringan dan sedap dimakan dengan adunan mi sanggulnya.

3. TopSpot (Jalan Bukit Mata)

Berkunjung ke TopSpot adalah perkara ‘wajib’ apabila dah sampai ke Kuching. Topspot terletak di aras 6, tempat letak kereta, bangunan UTC di Jalan Bukit Mata. Di sinilah syurga makanan laut yang sering dikunjungi oleh orang tempatan dan pelancong.

Kedai No 25, Bukit Mata Seafood, di TopSpot menjadi pilihan kami. Kari kepala ikan manchong begitu lazat di mana karinya sikit masam sedikit dan tidak pedas, tetapi cukup perisa. Ikan manchong atau Ngor Ngii ini seperti ikan senangin di Semenanjung. Di dalam kari dimasukkan fucuk serta sayur bendi. Midin belacan juga menjadi pilihan kerana pucuk paku ini ialah sayur unik Sarawak. Penkek tiram juga popular di sini, digoreng besar dan garing, memberikan tekstur yang berlainan dan boleh dimakan sebagai pembuka selera!

Dengan beraneka makanan laut yang ditawarkan, pelanggan kaya pilihan mengikut bajet masing-masing. Suasana di sini meriah dan padat terutama menjelang malam. Untuk mendapat tempat dengan mudah, datanglah awal sedikit.  

4. SugarBun (Tingkat 3, Plaza Merdeka)

SugarBun merupakan rangkaian makanan segera yang sememangnya berasal dari Sarawak. Restoran SugarBun menawarkan hidangan set ayam goreng dengan nasi dan jeruk timun! Agak pelik untuk restoran yang menjual ayam goreng tetapi sebagai orang Malaysia, set begini memang dialu-alukan.

Bukan setakat itu, di sini juga ada hidangan nasi dengan asam pedas ikan,  nasi dengan filet ikan dan ayam goreng, nasi dengan kari ayam, nasi ayam cendawan nasi ikan goreng, dan banyak lagi. Menunya memang Truly Malaysia! 

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: