Meraih Syurga Impian

“Allah SWT menjanjikan kepada orang-orang beriman bahawa mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah SWT.”

Imam Syafi’i

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat. Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam!”

(Yunus 10: 9-10)

Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang beriman adalah bukti Allah SWT menaikkan darjat dan meninggikan kedudukan orang-orang beriman dengan memberi mereka kemuliaan, iaitu syurga.

Jannah atau syurga menurut etimologi bererti taman yang terdiri daripada pohon kurma ataupun pohon-pohon lain. Perkataan ini diambil daripada lafaz janna yang bermaksud menutupi. Ia dipanggil seperti ini kerana pohon-pohon yang ada di syurga amat rendang daunnya, rimbun sekali. 

Nama-Nama Syurga di Dalam Al-Qur’an

Gelaran yang diberi Al-Qur’an kepada syurga diantaranya ialah Jannatul Ma’wa (syurga tempat kembali), Jannatu Adn (syurga tempat tinggal yang kekal), Darul Khulud (perumahan yang kekal), Firdaus (syurga). 

Nama-nama lain bagi syurga yang disebut di dalam Al-Qur’an termasuk Darussalam (kediaman yang damai), Darul Maqamah (kediaman yang tenang), Jannatun Na’im (taman-taman yang menyenangkan), Maqam Amin (tempat yang aman) dan lain-lain lagi. 

Al-Qur’an juga menyebut bahawa luas syurga itu adalah seluas keseluruhan langit dan bumi, iaitu alam semesta ini. 

Penghuni Syurga

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!”

(Muhammad 47:15) 

Sungai-sungai mengalir di bawah gedung-gedung dan istana-istana yang besar dan indah. Di syurga tersedia pelbagai buah-buahan dan daging burung.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.”

(Al-Waqi’ah 56:20-21)

Rezeki baik yang diberikan kepada penghuni syurga dilayani oleh pemuda-pemuda yang muda, umpama mutiara yang bertaburan kerana cantik, rupawan dan memakai pakaian yang indah. 

Pelayan-pelayan ini membawa piring-piring, bekas-bekas, dan gelas-gelas daripada emas. Dalamnya penuh dengan makanan dan minuman yang tebal berhiaskan emas. Tempat kediaman yang digunakan sebagai tempat tinggal, biliknya bersusun, dan nampak aliran sungai di bawahnya. 

Penghuni syurga ditemani para isteri duduk bersenang-senang dan bersandar di atas sofa yang cantik di dalam tempat teduh dan udara yang nyaman. Isteri-isteri ini dijadikan Allah SWT muda, sebaya usia, dan penuh rasa cinta kepada suami. Para wanita di syurga suci, tidak mengalami haid, nifas, rupa yang buruk, ataupun pekerti yang jahat. 

Penghuni syurga tidak akan mempunyai rasa dengki kerana sifat ini dibuang oleh Allah SWT dari hati mereka. Mereka hidup sebagai saudara kandung, duduk berhadapan, dan tidak pernah penat atau letih.

Di syurga tiada kedengaran ucapan yang sia-sia ataupun percakapan yang menyebabkan dosa. Apa yang kedengaran hanya kata-kata uang menyucikan Allah SWT serta ucapan salam antara seorang kepada seorang yang lain. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; – Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).”

(Al-Waqi’ah 56: 25-26)

“(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

(Yasin 36:58) 

Hadith yang menjelaskan keadaan syurga, penghuni serta keadaan-keadaan yang ada di syurga. Antaranya adalah hadis yang diceritakan oleh Imam Al-Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi, Nabi Muhammad SAW bersabda, 

“Sesungguhnya kelompok pertama yang memasuki syurga, rupa mereka adalah bagaikan bulan purnama. Kemudian, yang menyusul sesudah mereka mempunyai rupa seperti bintang cemerlang yang cahayanya sangat terang di langit. Para penghuni syurga tidak membuang kotoran kecil ataupun besar. Tidak pula berludah atau berhingus. Sikat mereka diperbuat daripada emas, peluh berbau seperti minyak kasturi, dan perapiannya adalah daripada tangkai setanggi harum. Isteri-isteri mereka adalah bidadari yang bermata jelita. Para penghuni syurga mempunyai satu watak untuk satu orang sahaja, sedang bentuk rupanya adalah semua seperti datuk mereka, iaitu Adam AS yang tingginya 60 hasta ke atas.”

Dalam hadis lain yang diceritakan oleh Usamah bin Zaid, pada suatu hari Nabi Muhammad SAW berkata kepada kepada para sahabatnya,

“Ingat, siapakah yang suka cepat-cepat berusaha mendapat syurga? Sesungguhnya syurga tidak pernah terlintas dalam hati yang sesuai dengan keadaannya. Demi Zat yang menguasai Kaabah, syurga adalah cahaya yang terang-benderang, semerbak wangi yang mengharumkan, dalamnya terdapat istana yang megah, sungai yang mengalir, buah-buahan yang banyak dan matang, isteri yang cantik dan molek, pelbagai perhiasan yang bermacam-macam, dan kedudukan yang selamanya dalam keadaan kelapangan dan kenikmatan hidup, dalam gedung-gedung yang indah dan mengilap.”

Lalu para sahabat berkata, “Kita semua ingin cepat-cepat mencapainya, ya Rasulullah.”

Baginda berkata, “Katakan, insya Allah.”

Sumber: 30 Wasiat Imam Syafi’i oleh Khairul Ghazali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: