Jadikan masamu sejak dari selepas solat sehingga terbit matahari terbahagi kepada 4 tempoh:
- Satu tempoh untuk doa-doa.
- Satu tempoh untuk zikir-zikir dan tasbih yang kamu ulangi bilangannya dengan menggunakan alat tasbih.
- Satu bahagian untuk membaca Al-Qur’an.
- Satu bahagian untuk berfikir. Maka fikirkan dosa, kesalahan dan kecuaianmu dalam ibadah kepada Tuhanmu, serta keadaanmu membiarkan diri terdedah dengan azab-Nya yang sangat pedih dan kemurkaan-Nya yang besar.
Susun wirid-wiridmu dalam sehari mengikut kebijaksanaanmu supaya kamu dapat menampung kecuaian yang lalu dan dapat menjauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah SWT yang sangat dahsyat dalam harimu.
Hadirkan niat untuk berbuat baik kepada seluruh Muslimin.
Kamu juga hendaklah berazam untuk tidak menyibukkan diri sepanjang hari kecuali dengan mentaati Allah Ta’ala, berniat dalam hati untuk melakukan ketaatan yang mampu dilakukan dan memilih yang terbaik daripadanya, serta membuat penelitian ke atas aspek yang mewujudkan sebab-sebabnya agar kamu dapat melaksanakannya.
Jangan kamu lalai daripada renungan terhadap dekatnya ajal, kedatangan mati yang memutuskan segala cita-cita, apa-apa jua urusan tidak lagi mempunyai pilihan dan kerugian serta penyesalan yang diperoleh dengan sebab berada lama dalam kelalaian.
Jadikan tasbih dan zikirmu itu sebanyak sepuluh kalimah:
Pertama
لا إِلَه إِلَّا اللَّه وَحْده لا شَرِيك لَهُ، لَهُ الْمُلْك وَلَهُ الْحَمْد، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ حَيّ لا يَمُوت، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلّ شَيْء قَدِير
Ertinya: “Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah semata-mata tanpa ada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya segala kerajaan dan pujian. Dialah Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, sedangkan Dia hidup serta tidak mati. Segala kebaikan berada di tangan-Nya dan Dia Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu.”
Kedua
لَا إِلهَ إِلَّا اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِينُ
Ertinya: “Tiada Tuhan melainkan Allah, Raja yang hak lagi menjelaskan (jalan yang lurus kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya)”
Ketiga
لا إِلـهَ إِلاّ اللهُ الـواحِدُ القَهّـار ، رَبُّ السَّـمواتِ وَالأرْضِ وَما بَيْـنَهـما ، العَزيـزُ الغَـفّار
Ertinya: “Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa, Tuhan bagi langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya. TUhan Yang Maha Agung lagi Maha Pengampun.”
Keempat
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ
Ertinya: “Maha Suci Allah, segala pujian hanya untuk Allah, tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar, serta tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”
Kelima
سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ، رَبُّ المَلَائِكَةِ والرُّوحِ
Ertinya: “Maha Suci Tuhan (daripada segala aib dari sisi ketuhanan), Maha Suci Tuhan (daripada segala aib yang tidak layak bagi Pencipta), Tuhan yang mencipta malaikat dan al-ruh (Jibril)”
Keenam
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
Ertinya: “Maha Suci Allah serta segala pujian hanya untuk-Nya. Maha Suci Allah yang agung.”
Ketujuh
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْْقَيُّومُ
Ertinya: “Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung yang tiada tuhan selain daripada-Nya, Dialah Yang Maha Hidup dan Maha Mentadbir segala makhluknya.”
Kelapan
اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ
Ertinya: “Ya Allah, tiada sesiapa yang dapat menahan sesuatu yang Engkau berikan, tiada sesiapa yang dapat memberi sesuatu yang Engkau tahan, tiada sesiapa yang dapat menolak apa-apa yang Engkau lakukan, dan suatu nikmat itu tidak bermanfaat bagi orang yang memilikinya di sisi-Mu (kecuali amal soleh).”
Kesembilan
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ ,وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ
Ertinya: “Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam ke atas Muhammad, ahli keluarga Muhammad dan para sahabatnya.”
Kesepuluh
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الَْأرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Ertinya: “Dengan nama Allah yang sesuatu di bumi dan langit tidak akan ditimpa mudarat apabila bersama nama-Nya, dan Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Ulang setiap satu daripada semua kalimah sama ada 100 atau 70 kali, atau 10 kali yang merupakan cara yang paling sedikit supaya jumlahnya menjadi 100 kali.
Lazimi wirid-wirid ini dan jangan bercakap-cakap sebelum matahari terbit.
Dalam sesebuah riwayat dinyatakan hal tersebut lebih utama daripada membebaskan lapan orang hamba daripada keturunan Nabi Ismail, semoga selawat dan salam dilimpahkan ke atas Nabi kita dan Baginda. Aku bermaksud, ia adalah tindakan menyibukkan diri dengan zikir sehingga terbit matahari tanpa diselangi percakapan.
Sumber: Jalan Menuju Petunjuk – Panduan Menjadi Manusia Bertakwa dalam Meraih Keredaan Allah oleh Imam Al-Ghazali
Leave a Reply