Pesanan Imam Al-Ghazali – Adab Hari Jumaat 

“Rawat hatimu dengan kaedah tertentu, mudah-mudahan hati itu akan hadir bersamamu dalam solat kerana sebenarnya tiada apa-apa yang kamu bakal peroleh daripada solatmu kecuali bahagiannya yang kamu sedari.”

Imam Al-Ghazali

Ketahuilah bahawa hari Jumaat adalah hari raya bagi kaum Mukminin. Ia adalah hari mulia yang dikhususkan oleh Allah SWT kepada umat ini. Pada hari ini, ada suatu saat yang tidak diketahui, dimana jika seorang Muslim yang memohom kepada Allah Ta’ala suatu hajat tepat pada waktu itu melainkan Allah akan mengabulkan hal itu buatnya. 

Oleh yang demikian, 

1. Bersiap-sedialah untuk ketibaan hari Jumaat mulai hari Khamis lagi dengan membersihkan pakaian. Perbanyakkan tasbih dan istighfar pada petang Khamis kerana ia merupakan waktu yang kelebihannya menyamai suatu waktu dalam hari Jumaat. Niatkan untuk berpuasa pada hari Jumaat tetapi laksanakan bersama hari Khamis atau Sabtu kerana terdapat larangan berpuasa pada hari Jumaat sahaja. 

2. Apabila waktu subuh menjelma kamu hendaklah mandi kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Mandi hari Jumaat adalah wajib ke atas setiap orang yang telah bermimpi (baligh).”

[HR al-Bukhari].

Maksudnya, mandi tersebut adalah sabit serta sangat dituntut. 

3. Kemudian hiasi dirimu dengan pakaian putih kerana ia adalah pakaian yang paling disukai oleh Allah Ta’ala dan pakaian minyak wangi yang kamu miliki. Lebihkan kebersihan dirimu dengan mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku, bersiwak dan semua jenis kebersihan yang lain serta mewangikan bau badan. 

4. Setelah itu segera menuju ke masjid dan berjalanlah dengan tenang dan tidak terburu-buru kerana Baginda SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang pergi solat Jumaat pada waktu pertama, dia seolah-olah mengorbankan seekor unta. Sesiapa yang pergi pada waktu kedua, dia seolah-olah mengorbankan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada waktu ketiga, dia seolah-oleh mengorbankan seekor kibas. Sesiapa yang pergi pada waktu keempat, dia seolah-oleh mengorbankan seekor ayam. Sesiapa yang pergi pada waktu kelima, dia seolah-oleh mengorbankan sebiji telur. Apabila imam sudah keluar (naik ke atas mimbar), maka buku catatan dilipat, pena-pena diangkat dan para malaikat berhimpun di sisi mimbar untuk mendengar peringatan (khutbah)”

[HR al-Bukhari]

Ada pandangan yang mengatakan: Dekatnya kedudukan manusia ketika melihat wajah Allah Ta’ala (pada hari kiamat) bergantung pada kadar mereka bersegera pergi untuk menunaikan solat Jumaat. 

5. Apabila kamu masuk ke masjid, dapatkan saf yang pertama.

6. Tetapi apabila orang sudah ramai, jangan melangkah tengkuk mereka.

7. Jangan duduk di hadapan orang yang sedang bersolat dan duduk di tempat yang berdekatan dengan dinding atau tiang supaya tiada orang yang melintasimu. Jangan duduk sehingga kamu menunaikan solat tahiyyatul masjid dahulu. Cara yang terbaik, kamu kerjakan solat empat rakaat dan membaca surah al-Ikhlas 50 kali selepas surah al-Fatihah dalam setiap rakaat kerana dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengerjakan sedemikian, maka dia tidak akan mati kecuali setelah melihat atau diperlihatkan tempatnya di dalam syurga.”

8. Jangan tinggalkan solat sunat tahiyyatul masjid walaupun imam sedang berkhutbah. 

Antara perkara yang termasuk di dalam sunnah ialah membaca surah al-An’am, al-Kahfi, Taha dan Yasin dalam solat sunat empat rakaat. Jika tidak mampu bacalah surah al-Dukhan, al-Sajdah, dan al-Mulk. Jangan tinggalkan bacaan surah-surah ini pada malam Jumaat kerana kelebihannya sangat banyak. Sesiapa yang tidak melakukan kebaikan tersebut, banyakkan bacaan surah al-Ikhlas. Banyakkan juga berselawat ke atas Rasulullah SAW khasnya pada hari ini. 

Apabila imam telah keluar untuk berkhutbah, hentikan selawat dan percakapan serta sibukkan diri dengan menjawab azan. Kemudian mendengar khutbah dengan teliti serta mengambil pengajaran daripadanya. Tinggalkan seluruh percakapan sama sekali ketika khutbah kerana disebutkan dalam sebuah hadis bahawa:

“Sesiapa yang berkata kepada kawannya ketika khatib sedang berkhutbah, ‘Diam!’ maka dia telah melakukan perbuatan yang sia-sia. Sesiapa yang berbuat sia-sia, maka tiada (pahala) Jumaat baginya.”

[HR al-Nasa’i]

Hadis menyatakan sedemikian kerana ucapan ‘Diam!’ ialah suatu percakapan. Maka, sepatutnya dia menegur orang lain menggunakan isyarat bukan kata-kata. 

Kemudian, ikutlah imam seperti cara solat yang telah disebutkan dahulu. 

Apabila kamu selesai solat dan memberi salam, bacalah surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas sebanyak tujuh kali setiap satunya sebelum bercakap kerana hal itu memelihara diri kamu daripada keburukan sejak dari satu Jumaat ke Jumaat seterusnya serta dapat menjadi benteng bagimu daripada syaitan. 

Selepas itu ucaplah: 

ﺍَﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﻳَﺎ ﻏَﻨِﻲُّ ﻳَﺎ ﺣَﻤِﻴْﺪُ ﻳَﺎ ﻣُﺒْﺪِﺉُ ﻳَﺎ ﻣُﻌِﻴْﺪُ ﻳَﺎ ﺭَﺣِﻴْﻢُ ﻳَﺎ ﻭَﺩُﻭْﺩُ ﺃَﻏْﻨِﻨِﻲْ ﺑِﺤَﻠَﺎﻟِﻚَ ﻋَﻦْ ﺣَﺮَﺍﻣِﻚَ ﻭَﻃَﺎﻋَﺘِﻚَ ﻋَﻦْ ﻣَﻌْﺼِﻴَﺘِﻚَ ﻭَﺑِﻔَﻀْﻠِﻚَ ﻋَﻤَّﻦْ ﺳِﻮَﺍﻙَ
“Ya Allah, wahai Tuhan Yang Maha Kaya, wahai Tuhan Yang Maha Terpuji, wahai Tuhan yang Maha Memulakan Ciptaan, wahai Tuhan Yang Maha Mengulangi Ciptaan, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, kayakan aku dengan rezeki-Mu yang halal bukan yang hjaram. Anugerahkan kepadaku ketaatan terhadap-Mu bukan maksiat kepada-Mu dan berikan aku kurniaan-Mu bukan selain daripada-Mu.”

Seterusnya, kerjakan solat sunat dua, empat atau enam rakaat secara dua-dua selepas solat Jumaat. Semua ini diriwayatkan daripada Rasulullah SAW dalam pelbagai keadaan yang berbeza. 

Setelah itu, duduk di dalam masjid sehingga waktu maghrib atau asar. Lakukan penelitian yang baik terhadap saat yang mulia itu kerana ia tidak diketahui sepanjang hari. 

Semoga kamu mendapatinya dalam keadaan khusyuk, merendah diri dan ikhlaskan permohonan kepada Allah Ta’ala. 

Jangan menghadiri majlis perhimpunan yang tidak berfaedah atau majlis penglipur lara di dalam masjid, tetapi hadirlah majlis ilmu yang bermanfaat iaitu majlis yang menambahkan ketakutanmu kepada Allah Ta’ala dan mengurangkan keinginanmu kepada dunia. 

Apabila setiap ilmu tidak mendorongmu untuk meninggalkan dunia menuju akhirat, maka sifat jahil lebih bermanfaat bagimu daripadanya. Oleh itu, berlindunglah dengan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat. 

Perbanyakkan doa ketika matahari terbut, gelincir, terbenam, ketika iqamat, khatib naik ke atas mimbar dan ketika orang mula berdiri untuk menunaikan solat. Besar kemungkinan waktu yang mulia itu berada di dalam salah satu daripada waktu-waktu ini. 

Berusahalah untuk bersedekah pada hari ini menurut kemampuanmu walaupun sedikit. Maka, kamu dapat menghimpunkan solat, puasa, sedekah, membaca Al-Quran, berzikir, iktikaf, dan majlis ilmu. 

Jadikan hari ini dalam tempoh seminggu khusus buat akhiratmu. Moga-moga ia menjadi kifarat bagi hari-hari lain dalam minggu tersebut. 

Sumber: Jalan Menuju Petunjuk – Panduan Menjadi Manusia Bertakwa dalam Meraih Keredaan Allah oleh Imam Al-Ghazali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: