Teks Khutbah Jumaat: Teladan Sepanjang Zaman 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga segala ketaatan yang kita telah persembahkan kepada Allah SWT diberikan ganjaran yang sebaik-baiknya di sisi Allah SWT pada Hari Akhirat kelak. 

Bersempena Maulidurrasul pada tahun 1444H bertemakan “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, khutbah pada hari ini membicarakan tajuk, “Teladan Sepanjang Zaman”.

Sebelum itu, khatib ingin menyeru kepada seluruh umat Islam untuk terus mengimarahkan masjid, melaksanakan amar ma’ruf dan  nahi munkar, memelihara hubungan silaturrahim serta teruslah bertaubat dan bermunajat kepada Allah SWT dalam menempuh fitnah dunia yang semakin mencabar. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan kepada seluruh umat manusia. Diutusnya kepada seluruh umat manusia dengan rahmat yang membebaskan manusia dari cengkaman kejahilan dan penindasan kepada kehidupan yang lebih terpandu dan mengangkat keadilan sebagai prinsip asas kehidupan. 

Kita menyambut Maulidurrasul bagi mengenang dan mengambil pengajaran yang sebanyak-banyaknya dari junjungan besar ini supaya kita dapat menanamkan kecintaan yang tinggi kepada Baginda SAW. 

Ulama telah menghuraikan dengan panjang tentang hukum menyambut Maulidurrasul ini. Antara ulama yang mengharuskan kita menyambut Maulidurrasul ialah; Imam Jalaluddin al-Suyuti, Imam Ibn Hajar al-Haithami, Imam Ibn al-Battal, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Dr. Wahbah al Zuhaili, Syeikh Atiyyah Saqr, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dan lain-lain. 

Dalam satu hadis, disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”(Hadis riwayat Imam Muslim) 

Asasnya, Maulidurrasul merupakan suatu usaha yang baik dalam usaha kita menanamkan rasa kasih dan cinta kepada Nabi Muhammad SAW asalkan ia diisi dengan pengisian yang baik seperti tazkirah, pembacaan kitab sirah atau hadis dan lain-lain. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW dengan menjadikan baginda sebagai suri teladan yang paling baik untuk diikuti. Rasulullah SAW merupakan anak, suami, bapa, juga seorang ketua negara. 

Maka, kita sebagai umatnya, yang turut memiliki peranan dan tanggungjawab itu hendaknya mencontohi Rasulullah SAW supaya dengannya kita mendapat keredhaan Allah SWT dan ganjaran dari-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:  

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Surah al-Ahzab ayat 21

Dalam konteks kepimpinan negara, Rasulullah SAW telah berjaya menyatukan masyarakat yang sebelumnya sering berselisih dan mengutamakan qabilah masing-masing. Namun, atas semangat persaudaraan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, masing-masing boleh hidup bersama-sama dalam suasana harmoni, berkasih sayang antara satu sama lain serta saling membantu. 

Rasulullah SAW memiliki semangat kemanusiaan yang sangat tinggi di samping tegas mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan. Dengan ketegasan itu, Rasulullah SAW membela kaum-kaum yang lemah dan sering ditindas ketika zaman jahiliyah. 

Kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW ini mesti diimani dan dipegang dengan teguh sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Nisaa’ ayat 170 yang dibacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud: 

“Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad SAW) dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu. Dan jika kamu kufur ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi; dan Allah sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

Surah al-Nisaa’ ayat 170

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Perubahan cuaca yang berlaku kebelakangan ini menjadi salah satu bukti yang sangat nyata bahawa Allah SWT Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap makhluk-Nya. Ia juga secara tidak langsung merupakan peringatan yang sangat jelas kepada seluruh umat manusia supaya sentiasa patuh, taat kepada arahan Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Kenikmatan yang sedang dikecapi boleh ditarik dan dihancurkan bila-bila masa sahaja. Inilah hakikat kehidupan di dunia yang sementara.

Daripada pengalaman yang telah kita lalui saban tahun, perubahan cuaca yang berlaku menuntut supaya kita lebih bersiap-siaga menghadapi sebarang bentuk kemungkinan berlakunya bencana. Kesiapsiagaan menghadapi bencana merupakan satu usaha dan tindakan berterusan yang perlu sentiasa dikemas kini agar kita dapat mengelakkan kemusnahan, kecederaan atau kehilangan nyawa bertepatan dengan asas pemeliharaan Maqasid al-Syariah seperti pemeliharaan akal, nyawa dan harta. 

Kesan dari bencana seperti kehilangan nyawa, akal atau harta, semasa atau pasca bencana bukanlah mudah untuk dihadapi apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa yang tiada galang ganti. Ia memerlukan sokongan psikososial dan psikospiritual untuk waris bangkit semula bagi meneruskan kesinambungan ekonomi dan keluarga. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Hakikatnya, segala yang berlaku di atas dunia ini merupakan ketetapan Allah SWT. Hal ini merupakan sebahagian dari pokok keimanan yang mesti dipegang oleh setiap umat Islam. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Seseorang itu (dikira) tidak beriman sehingga dia mengimani takdir (sama ada takdir) yang baik dan yang buruk”(Hadis riwayat Imam Ahmad) 

Sungguhpun begitu, kita juga hendaklah mengakui bahawa perubahan iklim, bencana dan kerosakan yang berlaku di atas dunia ini berpunca dari kesilapan diri kita sendiri sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah al-Nisaa’ayat 79 yang bermaksud: 

“Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini)”

Surah al-Nisaa’ ayat 79

Manakala dalam Surah al-Rum ayat 41, lebih jelas lagi bahawa segala kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini merupakan hasil dari tangan-tangan manusia sendiri. Allah SWT berfirman yang maksudnya:  

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Surah al-Rum ayat 41

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Dalam menghadapi perubahan iklim dan kemungkinan bencana, khatib ingin menekankan beberapa perkara mesti menjadi perhatian kita semua; 

Pertama, setiap umat Islam wajib meningkatkan keimanan dan ketakwaannya kepada Allah SWT dan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Banyaknya kemungkaran yang berlaku hanya mengundang kemurkaan Allah SWT dan azab seksa yang pedih dari-Nya. 

Kedua, setiap umat Islam wajib melaksanakan amar ma’ruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi munkar (menegah sebarang bentuk kemungkaran) supaya berterusan mengingatkan manusia supaya sentiasa berada atas landasan keredhaan-Nya.

Ketiga, Selain mempersiapkan iman, persiapan fizikal juga perlu dilakukan dengan secukupnya. Dokumen-dokumen penting, bekalan makanan, pakaian, dan sebagainya perlu dipersiapkan dengan rapi dan berterusan. 

Akhir sekali, sebagai Muslim, marilah kita merenungi diri dengan sentiasa bermuhasabah dan bertaubat kepada Allah SWT memohon keampunan dari-Nya atas segala kelalaian dan dosa yang telah dilakukan. Tingkatkan ketakwaan kepada-Nya dengan patuh kepada perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan itu, kita semua sentiasa mendapat pertolongan dan perlindungan Allah SWT sesuai dengan janji-Nya sebagaimana yang terkandung dalam Surah al-A’raaf ayat 96 yang bermaksud: 

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”

Surah al-A’raaf ayat 96

Tarikh Dibaca: 10 Rabiulawal 1444H/ 7 Oktober 2022M 

Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: