Tulisan Almarhum Dr. Yusof Al-Qaradhawi
Lapangan politik dan pemerintahan merupakan satu lapangan yang penuh dengan kekerasan, takabur dan kezaliman. Sesungguhnya sejarah telah menceritakan kepada kita beberapa contoh mulia yang telah dipamerkan oleh para khulafak dalam menjalankan pemerintahan dengan penuh keadilan yang tidak mengutamakan kaum kerabat atau bersikap keras terhadap musuh.
Dalam melakukan persamaan di hadapan undang-undang, ia tidak mengenal perbezaan puak. Dalam soal zuhud terhadap hidup di dunia mereka berpaling dari kemewahan dunia sedangkan mereka mempunyai kuasa dan kekuatan.
Sesungguhnya hati insan mukmin itulah yang menjadi pemerintah dan pentadbir. Maka dengan itu kebaikan, keadilan dan persamaan menguasai pemerintahan.
1. Khalifah Umar bin Al-Khattab
Itulah dhamir yang membuat seorang khalifah seperti Umar tatkala beliau masuk ke dalam tandas untuk membuang air lalu beliau terdengar seseorang di sebalik dinding berkata, “Umar bin Al-Khattab Amirul Mukminin seorang yang bagus. Demi Allah hendaklah engkau takut kepada Allah wahai Ibnu al-Khattab atau engkau akan diazab oleh Allah!”
Inilah hati yang menjadikannnya pada tahun kelaparan yang terkenal dengan nama “tahun kebuluran” tidak makan melainkan roti dengan minyak sehingga kulitnya menjadi hitam.
Beberapa orang sahabat menegurnya. Dia menjawab, “Aku adalah pemerintah yang paling buruk sekirannya aku kenyang sedangkan manusia lain lapar.”
Pada suatu hari, Umar melihat seorang budak perempuan terhuyung-hayang akibat kelaparan. Umar bertanya, “Anak siapa ini?” Anaknya Abdullah menjawab, “Dia anak saya.” Umar bertanya, “Apa kenanya?” Abdullah menjawab, “Ayah telah menahan tidak memberi kami harta yang ada pada ayah, maka kami mengalami apa yang ayah lihat sekarang!” Umar berkata, “Wahai Abdullah, antara aku dan engkau ada kitab Allah. Demi Allah, aku tidak memberi kami selain dari yang diwajibkan Allah untukmu. Adakah kamu mahu aku memberikan kepada kamu apa yang bukan kepunyaan kami, supaya aku kembali sebagai pengkhianat?”
Ibn Khathir berkata, sesudah menerangkan jasa-jasa Umar termasuk pembukaan-pembukaan negeri yang luas, “Beliau adalah seorang yang tawaduk kepada Allah, kehidupan dan makanannya kasar, keras dalam perkara yang berhubung dengan Zat Allah. Dia menampal bajunya dengan kulit, membawa bekas air di atas bahunya walau pun dia mempunyai kedudukan yang hebat. Beliau menunggang keldai yang tidak beralas dan menunggang unta yang berasaskan daun lilip. Dia seorang yang kurang ketawa, dan tidak suka bergurau. Beliau mengukir di atas cincinnya, ‘Cukuplah mati sebagai ingatan wahai Umar.’.”
2. Khalifah Ali bin Abi Talib
Ini pula Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib ketika Ju’du bin Hubairah berkata kepadanya, “Dua orang datang kepada engkau, seorang daripadanya kasihkan engkau lebih dari keluarga dan hartanya. Manakala yang seorang lagi kalau boleh dia mahu menyembelih engkau. Jatuhkan hukuman yang memihak kepada orang yang kasihkan engkau.”
Ali bin Abi Talib berkata, “Sesungguhnya jika urusan menjatuhkan hukuman ini menjadi hak aku nescaya aku lakukannya, tetapi ia adalah hak Allah.”
Assya’abi menceritakan bahawa Ali R.A telah kehilangan sebuah perisai. Perisai itu kemudian dijumpai pada seorang Nasrani. Beliau membawa Nasari itu menemui hakim Syuraih untuk mendakwanya. Ali berkata, “Perisai ini adalah kepunyaan aku. Aku tidak jual dan tidak pernah berikan kepada sesiapa.”
Syuraih bertanya kepada Nasrani itu, “Apa katamu tentang dakwaan yang dikatakan oleh Amirul Mukminin?” Nasrani itu berkata, “Perisai ini ialah perisai aku dan Amirul Mukminin juga tidak bohong.”
Syuraih berpaling kepada Ali dan bertanya, “Wahai Amirul Mukminin, adakah awak mempunyai bukti?” Ali tersenyum sambil berkata, “Syuraih telah bertindak benar, aku tidak mempunyai bukti.”
Maka Syuraih itu menghukumkan perisai itu kepunyaan orang Nasrani itu, lalu Nasrani itu mengambil perisai itu dan berjalan. Setelah beberapa langkah dia kembali dan berkata, “Aku naik saksi bahawa inilah hukuman para nabi, seorang Amirul Mukminin mendakwa saya di hadapan kadhinya meminta dibicarakan, lalu ia menghukum tidak memihak kepadanya pula. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan rasulnya. Demi Allah perisai ini adalah perisai engkau wahai Amirul Mukminin. Ia jatuh dari engkau ketika engkau sedang berangkat ke Siffin.”
Saidina Ali berkata, “Jika engkau telah menjadi Islam, maka perisai ini adalah untukmu!”
Hati kecil mukmin inilah yang menghukum khalifah dan hakim. Khalifah yang mukmin tidak cuba untuk mengambil peluang dengan kuasanya yang ada untuk mengambil haknya dan mempengaruhi hakim supaya membuat keputusan menguntungkan pihaknya.
Hakim yang mukmin pula tidak cuba mengubah undang-undang untuk memuaskan kehendak pemerintahnya. Walaupun dia percaya akan kebenarannya. Hukum syara’ adalah pemerintah untuk semua orang sama ada raja, orang awam, muslim dan Nasrani semuanya sama.
Ali pernah memakai baju yang dibelinya dengan harga tiga dirham dan berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakanku pakaian yang boleh mengelokkan aku pada pandangan manusia dan dapat aku menutup auratku.”
Kunci zuhud dan keadilan Ali ini ialah sifat yang dikatakan oleh salah seorang dari mereka, Ali berjalan di pasar seorang diri sedangkan dia seorang khalifah, menunjukkan orang yang sesat, menolong orang yang lemah, singgah melihat penjual dan peniaga, ia membuka Al-Qur’an dan membawa kepada firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tempat kediaman di akhirat (syurga) itu Kami jadikan untuk orang yang tidak mahu meninggi diri dan yang tidak melakukan kerosakan. Balasan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Al-Qasas 28:83)
Kemudian beliau berkata, “Ayat ini turun kepada pemerintah dan pemimpin kaum yang adil dan tawadhu’.”
Mengharapkan akhirat, dan balasan yang baik di sisi Allah SWT merupakan rahsia yang tersembunyi di sebalik contoh tauladan yang tinggi dan kerja-kerja yang besar ini.
3. Khalifah Umar bin Abdul Aziz
Umar bin Abdul Aziz seorang Khalifah Bani Umaiyyah merupakan orang yang dikatakan Malik bin Dinar, “Mereka mengatakan Malik seorang yang zuhud. Zuhud apa yang ada padaku? Orang yang dikatakan zuhud hanyalah Umar bin Abdul Aziz, dunia datang kepadanya membuka pintu tetapi dia tinggalkan semuanya. Benar, dia tidak mempunyai pakaian semasa pemerintahannya selain dari sehelai pakaian yang dipakainya. Apabila mereka membasuh bajunya itu, dia duduk dalam bilik sehingga pakaian itu kering. Sedangkan dia seorang yang hidup dan membesar dalam suasana dakapan nikmat kesenangan.”
Pada suatu hari beliau masuk menemui isterinya untuk meminjam wang satu dirham kerana hendak membeli anggur. Isterinya tidak ada wang untuk diberikan kepadanya. Isterinya berkata kepadanya, “Engkau sebagai Amirul Mukminin tidak ada wang untuk membeli anggur?”
Umar menjawab, “Keadaan seperti ini lebih mudah dari berhadapan dengan rantai dan pukulan dalam neraka nanti.”
Umar Abdul Aziz telah berusaha bersungguh-sungguh dalam masa pemerintahannya walaupun tidak lama untuk menghalang berlakunya kezaliman dan memberikan hak kepada orang yang sepatutnya.
Pegawai-pegawainya bertanya di sepanjang hari. “Mana orang berhutang? Mana orang yang hendak berkahwin? Mana anak-anak yatim dan mana orang-orang miskin?” Hingga dia dapat membantu mengkayakan mereka.
Walaupun keadilan dan zuhudnya jelas, dia membetulkan semua kezaliman, tegas dalam mengawal diri dan keluarganya namun dia selalu bermunajat kepada Tuhannya untuk berdoa, “Ya Allah sesungguhnya Umar bukanlah orang yang layak menerima rahmat-Mu, tetapi rahmat-Mulah yang layak menerima Umar.”
Seorang lelaki memujinya dengan berkata, “Semoga Allah membalas kebaikan terhadap jasa tuan terhadap Islam.” Umar menjawab, “Bukan begitu, tetapi moga-moga Allah membalas kebaikan kepada Islam kerana jasanya terhadap diri aku.”
Umar telah mengembalikan hak kepada tempatnya sedangkan ia hanyalah lepasan madrasah Islam dan adunan dari kilang iman.
Sesungguhnya kita sudah membawa contoh yang banyak tentang kuasa iman dalam pemerintahan kerana pemerintahan yang tidak dilakukan oleh orang mukmin dan siasah yang tidak diawasi oleh hati kecil mukmin hanyalah seperti kata penyair:
“Seperti beduk yang didengar dari jauh, isinya dari kebaikan hanyalah kosong.”
Sumber: Kemanisan Iman, Dr. Yusof Al-Qaradhawi terbitan JAKIM
Leave a Reply