3 Golongan Yang Tidak Masuk Syurga

Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A telah meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tiga golongan tidak masuk syurga, iaitu yang pertamanya golongan penipu, yang kedua golongan bakhil dan ketiganya ialah golongan yang suka mengungkit-ngungkit (pemberiannya).”

1. Penipu

Menipu ialah perbuatan keji yang sangat dibenci oleh manusia dan Islam, kerana perbuatan menipu itu akan mengguris hari seseorang yang telah memberikan kepercayaan kepadanya. Akibat daripada perbuatannya itu boleh menyebabkan orang lain yang jujur akan teraniaya, kerana orang yang jujur itu mungkin tidak akan dipercayai oleh orang yang menjadi mangsa penipuan itu. 

Akibat daripada perbuatan menipu itu menyebabkan ajaran Islam yang menggalakkan supaya saling bantu-membantu dengan jalan memberi hutang itu telah tidak dilaksanakan, ini kerana kesan buruk dari sifat penipu itu. Sukarlah orang hendak memberi hutang kerana dia takut kena tipu, akibatnya ramai orang yang berharta akan menjadi bakhil. 

Sebab itu Islam menganjurkan supaya setiap urusan hutang-piutang atau pinjam-meminjam mestilah diadakan perjanjian bertulis dengan dia orang saksi, atau dengan mengambil cagaran bagi memastikan bahawa kepentingan orang yang memberi hutang itu terjamin dan terhindar daripada penipuan. 

Memegang suatu cagaran itu mempunyai peraturan tertentu yang ditetapkan oleh syariat, satu perjanjian mengenainya antara orang yang berhutang dengan yang memberi hutang perlu dimeterai dengan menyatakan butiran, antaranya mengenai keselamatan harga cagaran, tidak mengeksploitasi atau mengambil manfaat daripada harta cagaran sepanjang tempoh perjanjian itu. Sekiranya gagal membayar hutang dalam tempoh yang ditetapkan bolehlah harta cagaran itu dijual, menyerahkan semua baki wang setelah ditolak jumlah hutang. 

Demikianlah beberapa kaedah untuk mengelak daripada perbuatan tipu, justeru para penipu itu akan menerima balasan buruk iaitu hukuman Allah SWT dengan terhapusnya peluang untuk memasuki syurga Allah di akhirat kelak. Apabila seseorang itu tidak dapat memasuki syurga, maka bererti ia akan menjadi ahli neraka, wal-iya-zubillah.  

2. Si Bakhil

Golongan kedua yang tidak masuk syurga seperti yang dijelaskan oleh hadis Rasulullah SAW itu tidak lain ialah manusia yang mempunyai sifat bakhil. Sesungguhnya harta milik seseorang itu pada hakikatnya adalah amanah Allah SWT kepada seseorang, mereka tidak boleh bersikap bakhil kerana harta itu bukan miliknya secara mutlak. 

Islam telah menetapkan golongan yang berhak menerima habuan dari harta milik seseorang khususnya dalam persoalan sedekah wajib iaitu zakat. Terdapat lapan asnaf yang berhak menerimanya sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah SWT:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(At-Taubah 9:60)

Selain daripada zakat ialah sedekah sunat, ia memainkan peranan penting dalam membina masyarakat penyayang. Sedekah sunat lebih luas lagi fungsinya iaitu untuk diagihkan kepda pihak tertentu, seperti terhadap tanggungnya iaitu anak dan isteri, kaum kerabat, jiran tetangga yang memerlukan, fakir miskin yang sangat berhajat, untuk meninggikan dan memperjuangkan agama Islam iaitu untuk urusan fisabilillah dan seumpamanya. 

Sifat bakhil dipandang keji oleh Islam kerana orang itu cuba menyekat aliran rezeki yang didatangkan Allah SWT itu, kerana adakalanya Allah SWT memberikan rezeki kepada seseorang melalui saku orang lain. Tetapi orang yang menjadi saluran rezeki itu bakhil, maka tersekatlah rezeki orang itu.

3. Suka Mengungkit

Dan golongan ketiga yang tidak masuk syurga ialah orang yang suka mengungkit segala kebaikan atau pemberian yang lalu. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.”

(Al-Baqarah 2:264)

Mengungkit pemberian terhadap seseorang pasti akan menyinggung perasaan orang yang menerimanya, perbuatan itu mendatangkan kesan buruk terhadap diri sendiri dan juga orang yang diungkitnya. Mengungkit pemberian bukan sekadar menghapus pahala sedekah tetapi juga berdosa kerana menyakiti hati orang yang lain, sesungguhnya ia bercanggah dengan seruan persaudaraan yang diwajibkan menjaga hati dan perasaan saudaranya. 

Petikan dari: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: