Untuk membolehkan kita mendapat hidayah daripada Allah SWT, kita perlu mendidik dan menjaga hati.
Hati atau roh adalah raja dalam kerajaan diri
Justeru, hati yang perlu menjadi sasaran pendidikan kita. Gagal mendidik dan membaiki hati bererti gagal mendidik dan membaiki manusia.
Dua Penasihat Hati
Hati mempunyai dua penasihat iaitu, akal dan nafsu. Apabila akal menjadi penasihat, maka hati pun baik. Apabila nafsu menjadi penasihat, maka raja dalam diri manusia itu pun menjadi jahat.
Anggota zahir hanya sebagai rakyat dalam kerajaan diri yang patuh dengan perintah raja. Apabila hati jahat, seluruh anggota badan menjadi jahat. Apabila hati baik seluruh hati menjadi baik.
Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
“Dalam tubuh anak Adam itu terdapat seketul daging. Apabila daging itu baik, baiklah seluruh anggota badan dan jikalau jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah itu adalah hati.”
(Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599))
Suburkan Rasa Hati Untuk Mendapat Hidayah
Rasa hati manusia umpama benih yang Allah SWT tanamkan dalam hati manusia, Ia adalah fitrah semulajadi. Hati mampu menjadi subur ataupun terbantut. Ini bergantung kepada usaha manusia, sama ada hatinya terus subur ataupun membiarkan ia terbantut sehingga mati.
Bagus juga dengan hati. Apabila fitrah baik manusia tidak disuburkan dari awal, kemungkinan ia mati pada akhirnya. Sebaliknya, apabila disuburkan sejak awal lagi, ia berakar umbi dalam hati sehingga hati itu mudah menjadi baik. Agak sukar apabila sudah terlewat kerana ia umpama benih yang lama terbiar tanpa disirami , dibajai, dan dijaga.
Lebihkan Mahmudah, Hindarkan Mazmumah
Perasaan positif dan negatif dalam hati dapat dibantutkan ataupun disuburkan. Apabila benih positif atau mahmudah disuburkan, maka benih mazmumah akan terbantut ataupun mati. Apabila benih mahmudah yang kita suburkan, maka malaikat turut membantu menyuburkannya.
Pada masa itu, hati kita menjadi bersih serta mudah mendapat hidayah daripada Allah SWT. Sebaliknya, apabila benih negatif atau mazmumah yang disuburkan, maka syaitan membantu mengotorkan hati kita. Oleh itu, kotorlah ia dan susah hendak mendapatkan hidayah daripada Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(At-Taghabun 64:11)
Sumber: 30 Wasiat Imam Syafi’i oleh Khairul Ghazali
Leave a Reply