Bermula sebagai Restoran Sharifa pada tahun 1974 yang kemudiannya ditukar nama kepada Restoran Mahbub pada tahun 1995, tempat makan ini memang tidak asing lagi bagi warga Lembah Klang yang menggemari nasi briyani.

Restoran Mahbub terkenal ini mempunyai dua cawangan, pertama berhadapan dengan Bangsar Village II yang berdekatan dengan masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, dan yang keduanya terletak di Damansara Damai.

Suasana di Restoran Mahbub ini sentiasa meriah dengan pelanggan di dalam restoran, di luar restoran yang beratur panjang untuk bungkus, dan penghantar makanan yang menunggu tempahan, terutama di waktu makan tengahari hari Jumaat.
Nasi Briyani Ayam Madu (RM16) di Restoran Mahbub cukup popular kerana rasanya yang lazat. Ayam Madu diadun sempurna dengan rasa yang seimbang, ditambah kuah dal dan acar timun, asyik untuk dinikmati.


Nak cerita tentang menu di Restoran Mahbub ini boleh mengambil masa dua hari, jadi kita fokus kepada nasi briyani yang dijual di sini. Pilihan lauk yang ada termasuk Nasi Briyani Kambing (RM18), Nasi Briyani Ayam Bawang (RM16), Nasi Briyani Ayam Goreng (RM16), Nasi Briyani Daging Rendang (RM15) dan banyak lagi. Papadam tidak datang bersama hidangan, 4 keping (RM3). Mana lengkap jika tiada papadam kan? Jika nak tambah sayur dan sebagainya, tentu sekali ada variasi yang disediakan.

Nasi Briyani kosong juga ditawarkan pada harga RM8, yang datang dengan dal dan acar, dan pelanggan boleh pilih beraneka lauk pilihan yang tersedia di kaunter. Selain itu juga, Restoran Mahbub juga ada goreng-gorengan seperti mi goreng, mihun, kuetiau dan nasi goreng yang berharga sekitar RM6.80 sehingga RM15.

Yang penting, Nasi Briyani Ayam Madu di Mahbub memang terbaik dan kalau nak datang makan hari Jumaat, silalah datang awal sedikit supaya tidak tergesa-gesa sebelum nak ke solat Jumaat. Kadar pusing ganti pelanggan di restoran ini juga tinggi, habis sahaja makan memang pekerja akan membersihkan meja untuk memberi isyarat, “Sila beredar, orang lain pun nak makan juga.”
Restoran Mahbub
Bangsar, Kuala Lumpur
7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari
Leave a Reply