“Sesungguhnya langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak.”
(Umar Al-Khattab RA)
Dengan jawapan yang dilafazkan oleh Umar ini, tertolakkan segala keraguan yang bersarang di dada sebahagian mukmin, kerana antara sifat mukmin ialah bertawakkal kepada Allah SWT dan menyerahkan kepada-Nya segala perkara.
Al-Qur’an ada mengatakan:
Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.
(Al-Ahzab 33:3)
Firman-Nya lagi:
Serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka)
(An-Nisa’ 4:81)
Firman-Nya lagi:
Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka cukuplah baginya Allah sebagai penentu.
(At-Talaq 65:3)
Tetapi apakah erti tawakal? Sesungguhnya tawakal bukanlah ertinya meninggalkan segala sebab musabab yang ditetapkan oleh Allah, menyerahkan kepada-Nya supaya melakukan perkara luar biasa dengan menjadikan langit dari atas kepalanya menurunkan hujan emas dan perak dan bumi di bawah kaki mengeluarkan roti, lauk, minyak dan madu untuknya tanpa perlu berpenat lelah, tanpa usaha, tanpa berfikir dan tanpa bekerja.
Sesungguhnya erti tawakal ialah insan menyusun dan melakukan dahulu segala usaha dan membiarkan Allah membuat keputusan.
Dia menanam benih dan mengharapkan buahnya dari Tuhan. Dia hendaklah melakukan aspek-aspek yang perlu dilakukan oleh manusia, dan menyerahkan selebihnya kepada tuhannya yang menyediakan sebab-sebab dan menghilangkan halangan untuk mencapai hasil.
Alangkah banyak sebab dan halangan kejayaan yang tidak diketahui manusia, selain dari dia tidak dapat mengatasinya.
Seorang Arab dari pedalaman datang menemui Rasulullah SAW. Dia meninggalkan untanya di pintu masjid. Dia menyangka dengan meletakkannya di situ dia sudah bertawakkal kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda dengan ungkapannya yang menjadi sebutan perumpamaan di kalangan orang Islam:
“Ikatlah unta itu dan bertawakkal.”
Hadith yang menjadi pegangan kepada orang yang salah pemahaman ialah:
“Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya Allah memberi rezeki kepada kamu seperti burung-burung terbang pagi dalam keadaan lapar dan terbang petang kembali ke sarang dalam keadaan kenyang.”
Sebenarnya hadith ini membatalkan pemahaman mereka sendiri, kerana Allah SWT tidak menjamin burung-burung itu pulang dengan perut yang penuh kecuali sesudah ia terbang dan berusaha, bukan dengan hanya duduk diam di sarangnya.
Sumber: Kemanisan Iman – Dr. Yusof Al-Qaradhawi
Leave a Reply