Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat.
Bersempena dengan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Antarabangsa kali ke-62 pada tahun ini, marilah kita menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk: “Penghayatan Al-Quran Tanggungjawab Kita”.
Sebelum itu, khatib ingin mengajak seluruh umat Islam, marilah kita istiqamah mengimarahkan masjid dan surau dengan hadir solat secara berjemaah di samping memastikan ahli keluarga khususnya anak-anak agar tidak mengabaikan kewajipan solat.
Marilah kita melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, memelihara hubungan persaudaraan sesama insan serta perbanyakkan taubat dan munajat kepada Allah SWT dalam memastikan hidup kita sentiasa mendapat limpahan kerahmatan dan keberkatan daripada-Nya.
Sidang Jemaah yang berbahagia,
Al-Quran merupakan kalamullah yang diturunkan melalui perantaraan Malaikat Jibri AS kepada Nabi Muhammad SAW. Ia mengandungi pengajaran daripada setiap aspek kehidupan. Bukan sahaja menyentuh perkara kerohanian dan akhirat, bahkan ia kaya dengan pelbagai khazanah ilmu duniawi, sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah SWT bagi memakmurkan bumi ini. Penghayatan terhadap al-Quran ialah ciri-ciri insan yang bertakwa kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 155 yang dibacakan tadi yang bermaksud:
“Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.”
(Surah al-An’am: 155)
Yakinlah bahawa al-Quran sangat penting yang berperanan sebagai cahaya petunjuk dalam menempuhi kehidupan di dunia, melaluinya kita dapat membezakan antara perkara yang haq dan batil. Al-Quran juga membawa rahmat kepada manusia, menjadi penawar penyakit zahir dan batin, menjadi peraturan dalam kehidupan serta membentuk akhlak muslim yang mulia.
Inilah kemuliaan al-Quran, bukan sahaja memberi manfaat kepada kita dunia bahkan di akhirat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abi Umamah Al-Bahiliy RA, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Bacalah oleh kamu akan Al-Quran, kerana sesungguhnya ia (Al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada tuannya(orang yang membacanya).”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagai muslim, kita bertanggungjawab memastikan hak al-Quran sentiasa ditunaikan melalui penghayatan terhadap setiap isi kandungan dan ajarannya. Al-Quran mesti dibaca, difahami dan ditadabbur setiap masa.
Justeru, antara langkah-langkah untuk membudayakan al-Quran dalam kehidupan kita ialah :
Kita hendaklah sentiasa melazimi membaca al-Quran.
Pembacaan al-Quran akan memberi kekuatan dalaman yang luar biasa bagi pembacanya. Dekatilah al-Quran dengan membacanya setiap hari semampu yang boleh. Pelajarilah ilmu tajwid dan tarannum al-Quran melalui guru. Pada masa ini, pelbagai program penghayatan al-Quran telah diwujudkan antaranya termasuk segmen-segmen televisyen dan melalui media-media sosial oleh qari yang berpengalaman. Ambillah peluang untuk mendapatkan mutiara ilmu melalui program-program tersebut.
Kita hendaklah memahami isi kandungan al-Quran.
Al-Quran mengandungi ilmu dan petunjuk dalam pelbagai ilmu seperti tauhid, hukum-hakam, syariat, kisah bangsa-bangsa terdahulu, sains dan banyak lagi. Oleh kerana itu berusahalah sebaik mungkin untuk memahaminya. Yang pasti al-Quran akan sentiasa memberi pedoman setiap kali kita membacanya dengan penuh tadabbur.
Kita hendaklah mengamalkan ajaran al-Quran.
Mengamalkan al-Quran merupakan elemen paling penting dalam penghayatan al-Quran. Bagi memastikan kita dapat mengamalkan al-Quran dengan baik, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh memahami ajarannya. Lantaran itu, kita perlu menekuni kisah-kisah, hukum-hakam, mengambil ibrah dan pengajaran daripada al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Jadikan al-Quran tempat rujukan utama dalam menghadapi segala kesulitan dan permasalahan, nescaya kehidupan kita akan terpandu ke jalan kebenaran.
Kita hendaklah mengaplikasikan tuntutan al-Quran dalam interaksi sosial.
Masyarakat Islam khususnya di Negara ini adalah terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Kepelbagaian ini mewujudkan jurang perbezaan antara kaum daripada aspek sosial, adat dan pemikiran. Namun, Allah SWT telah memberikan panduan dan pengajaran kepada kita melalui al-Quran supaya perbezaan-perbezaan tersebut dapat diharmonikan. Al-Quran sangat mementingkan aspek persaudaraan, perdamaian, kebersamaan, tolak ansur, tolong-menolong, belas kasihan dan sebagainya. Malah, al-Quran juga mendidik manusia supaya menghindari perpecahan, perbalahan, kezaliman, diskriminasi, perbuatan khianat, dengki dan lain-lain.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Khatib pada hari ini juga mengambil kesempatan sempena Hari Alam Sekitar Negara 2022 yang disambut pada tanggal 21 Oktober setiap tahun. Sambutan ini wajar dijadikan sebagai pencetus kepada semangat cintakan alam sekitar. Bukankah al-Quran turut menekankan aspek penjagaan alam sekitar kepada kita?
Tanggungjawab memastikan kemakmuran dan kelestarian alam juga adalah peranan kita sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini untuk dikongsi bersama dengan setiap yang diciptakan oleh-Nya. Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk memakmurkan bumi Allah SWT ini dengan sebaik-sebaiknya.
Kita boleh bertindak sebagai sukarelawan alam sekitar dengan menyertai Rakan Alam Sekitar yang diwujudkan untuk melaksanakan dan mengamalkan gaya hidup lestari antaranya, menggalakkan anggota komuniti untuk meningkatkan penanaman tanaman hijau di kawasan kediaman. Penanaman pelbagai tumbuhan ini dapat membantu menyerap karbon dioksida dari udara dan dapat mengurangkan kesan gas rumah hijau yang mengakibatkan berlakunya pemanasan global.
Selain itu, antara aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan boleh dijalankan dengan amat mudah iailah aktiviti Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) di sekitar tempat tinggal, pantai-pantai peranginan, sekitar sungai dan taman rekreasi. Dengan melaksanakan aktiviti ini, isu-isu seperti kawasan rekreasi yang kotor dengan sampah yang ditinggalkan dapat diatasi seterusnya menjadikan kawasan persekitaran lebih bersih dan sihat. Ingatlah Allah SWT mengingatkan kita tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar melalui firman-Nya dalam Surah al-A’raaf, ayat 56 yang maksudnya:
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”
(Surah al-A’raaf: 56)
Keadaan cuaca yang tidak menentu dan ancaman banjir besar yang dijangka akan melanda negara pada bulan November hingga Januari pada tahun hadapan merupakan lumrah alam yang seharusnya kita lihat sebagai ingatan dan pengajaran daripada Allah SWT. Justeru, lakukanlah persediaan yang betul demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kita dan keluarga sentiasa di bawah pemeliharaan Allah SWT.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama:
Pertama: Al-Quran adalah mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW. Sentiasalah melazimi al-Quran melalui pembacaan dan pembelajaran ilmu tajwid dan tarannum daripada guru yang berpengalaman.
Kedua: Tingkatkan penghayatan al-Quran melalui tadabbur dan pemahaman yang betul terhadap setiap ayat dan kandungannya di samping mengamalkannya dalam kehidupan kita.
Ketiga: Al-Quran turut menekankan aspek pemeliharaan alam sekitar. Oleh itu, sebagai khalifah adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kelestariannya terus terpelihara.
Renungkanlah firman Allah SWT di dalam surah Saad ayat 29 yang bermaksud:
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
(Surah Saad: 29)
Tarikh Dibaca:24 Rabiulawal 1444H/21 Oktober 2022M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply