Fahami Ciri-Ciri Hati yang Lembut

Satu topik yang agak penting yang mempunyai hubung kait dengan fadilat infaq ialah mengenai ‘al-Riqab’, iaitu persoalan bagaimana hendak melembutkan hati.  

Sifat hati itu mudah dipengaruhi oleh sesuatu, menyebabkan ia boleh menjadi lembut dan sebaliknya boleh menjadi keras seperti batu yang pejal. 

Jika hati lembut, seolah-olah ia bagikan tanah yang subur, mudah diteroka untuk bercucuk tanam, akar umbi mudah menjalar mencari baja yang sedia ada di dalam tanah itu. 

Hati yang lembut adalah tapak yang baik untuk menerima segala peringatan dan pengajaran daripada Allah SWT dan Rasul-Nya, menyambut baik semua nasihat. Malah hati yang lembut juga adalah jambangan yang subur bagi iman, bagi tertegaknya sifat-sifat taqwa yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. 

Hati yang keras itu biasanya dikaitkan dengan pengaruh syaitan dan iblis, kerana iblis itu dijadikan daripada api, bahang api itu memberi kesan buruk kepada hati. Apabila hati uang sudah keras, menyebabkan sukar untuk mendengar dan membenarkan firman Allah, sulit untuk menerima nasihat Rasul.

Orang-orang ysng beriman itu dikehendaki berusaha mencari sesuatu yang dapat melembutkan hati, menjauhkan sebarang perkara yang boleh mempengaruhi hati daripada mengingati nasihat Allah dan Rasul-Nya. 

Kehidupan Dunia Mempengaruhi Hati

Kehidupan di dunia terlalu banyak perkara yang boleh mempengaruhi hati sehingga boleh melalaikan dari mengingati Allah, dunia adalah anasir yang boleh mempengaruhi hati. Yang dimaksudkan dengan dunia dalam huraian ini ialah setiap perkara yang tidak membawa kebaikan kepada manusia di akhirat, inilah dunia yang dipandang tidak berharga oleh Rasulullah SAW. 

Dunia bukanlah berhenti kepada persoalan benda, kerana ada ketikanya urusan akhirat akan bertukar menjadi dunia. Sebagai contoh, ibadah solat adalah satu kefardhuan daripada Allah SWT, walau bagaimanapun apabila solat itu didirikan kerana hendak menunjuk kepada manusia atau riak, maka solat yang demikian itu tidak mendatangkan sebarang kebajikan untuk akhirat, bahkan Allah SWT menjanjikan neraka kepada orang itu kerana urusan akhiratnya sudah bertukar menjadi dunia. 

Rasulullah SAW merasa hairan dengan sikap segolongan manusia yang sering mendakwa ‘ini harta aku, ini milik aku’, mereka berbangga dengan dunia dan harta yang didakwanya itu. Sedangkan harta itu menurut Rasulullah SAW hanya terbahagi kepada tiga:

3 Bahagian Harta Menurut Rasulullah SAW

Harta yang Fana atau Punah, Harta yang Dimakan

Harta itu setelah masuk ke dalam perut manusia akhirnya ia akan dikeluarkan menjadi najis, setelah itu tidak ada sesiapa yang berbangga dengan najis itu, malah tidak ada yang hendak mendakwa sebagai miliknya lagi.

Harta yang akan Buruk

Contohnya pakaian, kenderaan dan sebagainya. Semua harta tersebut akan melalui proses keusangan, dan setelah ia buruk tiada sesiapa yang menghendakinya lagi. Pakaian buruk mungkin akan menjadi lap kaki, jika kenderaan buruk akan menjadi besi karat dan terbuang.

Harta yang Diberikan kepada Manusia

Sama ada dalam bentuk nafkah atau sedekah dan hadiah, harta itu adalah harta simpanan bagi seseorang. Walaupun pada zahirnya harta tersebut sudah bertukar milik kerana diberikan kepada orang lain, tetapi pada hakikatnya ia adalah merupakan saham atau tabungan bagi seseorang di sisi Allah yang berupa ganjaran pahala.

Harta yang ketiga itulah sebenar-benar harta yang menjadi milik seseorang di sisi Allah Ta’ala, selain daripada itu hanyalah dunia yang akan binasa atau menjadi usang dan tidak berguna lagi. 

Petikan dari: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: