Oleh: Mymuslimin.com
“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”.
(Taha 20:114)
Sebagai seorang Islam, kita perlulah mempelajari ilmu agama kita sendiri. Janganlah kita berhenti menuntut ilmu agama kerana ilmu Allah SWT itu terlalu luas dan walaupun kita menghabiskan seluruh kehidupan kita mempelajarinya, kita tidak akan mampu menguasai kesemuanya.
Ramai yang berkelana, mengembara untuk menuntut ilmu agama, tetapi kita juga boleh menambah ilmu pengetahuan dengan pelbagai cara yang ditawarkan zaman ini disamping kesibukan seharian kita dengan keluarga dan kerjaya. Jangan dikekang minda dengan mencari alasan untuk tidak menambah ilmu pengetahuan agama. Justeru, kita perlu bersungguh-sungguh mencari ilmu agama yang bermanfaat dengan apa cara yang kita mampu.
Bagaimana hendak bermula? Pertama sekali, bukalah hati kita untuk mempelajari dan membenarkan ilmu-ilmu ini meresap ke dalam jiwa dan kehidupan kita. Luangkanlah masa dalam sehari untuk kita masukkan aktiviti mencari ilmu Islam. Jika kita menggunakan 60 minit untuk sosial media, potong 30 minit, dan gunakan 30 minit untuk kita belajar tentang agama.
6 idea untuk kita mula mengenali Islam, agama yang kita cinta.
1. Carilah Guru atau Mentor
Mencari guru ini sangat penting untuk memandu kita untuk mula belajar dan bagaimana cara bermula. Carilah seseorang yang pengetahuan agamanya lebih daripada kita. Jangan malu untuk bertanya, malu bertanya sesat jalan.
2. Dengarlah Syarahan
Banyak siri-siri yang terdapat dalam YouTube yang kita boleh cari tentang topik-topik agama contohnya Sirah Rasulullah, fekah, Kisah Sahabat, tasawwuf dan sebagainya. Mendengar siri-siri begini dapat memberi kita kefahaman sedikit mendalam tentang sesuatu topik. Mymuslimin menyenaraikan siri-siri yang boleh anda ikuti.
3. Bacalah Buku
Carilah masa untuk membaca buku tentang Islam. 15 minit, 20 minit, satu bab, dua bab, sehari. Kita bukan belajar untuk ujian, kita belajar untuk menambah iman dan memperbaiki diri. Membaca akan memberi kita pengetahuan yang baru atau paling tidak mengukuhkan apa yang kita sudah tahu. Banyak buku-buku Islam yang terdapat di pasaran, dan kedai-kedai buku Islam yang boleh kita pergi untuk mendapatkan buku tentang Islam. Mymuslimin menyenaraikan kedai-kedai buku Islamik online di sini.
4. Belajar Al-Quran dan Sunnah
Bacalah Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW setiap hari, ianya bagus untuk jiwa. Bacalah juga terjemahan ayat-ayat ini agar apa yang kita baca dapat difahami dan panduan Allah itu menyerap di dalam minda kita untuk kita amalkan dan menjadi panduan kehidupan. Kuatkan tajwid kita dengan memasuki kelas-kelas mengaji supaya kita dapat membaca Al-Quran dengan tartil. Bacalah satu hadis sehari, mulakan dengan 40 Hadis dan Riyad al-Salihin oleh Imam Nawawi untuk kita memahami hikmah di sebalik hadis-hadis Rasulullah SAW dan menambah kecintaan kita kepada Baginda SAW.
5. Belajarlah Sirah Rasulullah SAW
Belajar tentang kehidupan Rasulullah SAW, baca buku seperti As-Syamail Al-Muhammadiyah dan dengar syarahan tentang kehidupan Baginda SAW untuk menambah pengetahun tentang insan terbaik yang Allah SWT hadirkan sebagai panduan kita semua. Ini ialah lima buku yang disyorkan untuk mengenali Rasulullah SAW.
6. Daftar Untuk Kelas Agama
Banyak institusi yang menawarkan kelas dan pengajian pengetahuan agama. Google kelas-kelas yang ditawarkan dan jika masa mengizinkan berniatlah untuk pergi atau mengikuti kelas-kelas online yang ditawarkan.
Kesimpulannya, jika kita berniat untuk mendalami agama kita sendiri, insyaAllah kita akan menambah ilmu yang bertujuan menambah takwa kita kepada Allah SWT. Keinginan itu perlu ada di dalam hati kita sebagai seorang Islam dan Allah SWT akan membantu kita untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik berbanding semalam. Janganlah kita belajar untuk menjadi pendebat dan mendabik dada. Sebaliknya, belajarlah dengan niat untuk menambah iman dan memperbaiki amalan kita untuk bekalan ke dunia akhirat yang kekal.
Leave a Reply