Rumi pernah dihumban ke dalam sangkar singa, dan Allah menyelamatkannya. Beliau kemudiannya ditanya, “Apakah yang kau fikirkan di ketika itu?” Dia menjawab, “Aku memikirkan tentang air liur singa itu – samada ulama menganggap ia suci atau najis (sama ada, apabila aku mati, aku akan berada dalam keadaan suci atau tidak).”
Allah SWT menerangkan mereka yang berjuang bersama-sama Rasulullah SAW berdasarkan niat mereka:
Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat
(Ali Imran 3:152)
Ibn al-Qayyim menyebut bahawa nilai seseorang itu diukur berdasarkan kesungguhan dan matlamatnya. Seorang bijak pandai juga pernah menyebut sesuatu yang mempunyai maksud yang serupa: Beritahu aku tentang kesungguhan seorang lelaki, dan aku akan memberitahumu jenis apakah lelaki itu.
Sebuah kapal terbalik di laut dan seorang daripada mereka telah terhumban ke dalam air. Kemudian, dia mengambil wudhu, daripada satu anggota ke anggota yang lain. Dia berjaya berenang ke daratan dan diselamatkan. Apabila ditanya tentang wudhu tersebut dan mengapa dia melakukannya, “Aku ingin berwudhu kerana aku ingin mati dalam keadaan suci.”
Imam Ahmad, ketika berada di ambang kematiannya, menunjuk ke arah janggutnya ketika orang sedang menyempurnakan wudhu untuknya, mengingatkan mereka agar teliti melakukannya.
Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
(Ali Imran 3:148)
Janganlah bersedih kalau kau berhadapan dengan permusuhan terang-terangan, kerana jika kau memaafkan dan melupakannya, kau akan mencapai kemuliaan di dunia dan penghormatan di akhirat.
Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.
(Asy-Syura 42:40)
Seorang berkata kepada Salim ibn ‘Abdullah ibn ‘Umar, ulama Islam terdahulu, “Kau seorang yang jahat.” Dia kemudiannya membalas dengan pantas, “Tiada siapa yang mengenaliku kecuali engkau.”
Seorang lelaki menyerang Abu Bakar RA, “Demi Allah, Aku akan menyumpah kau dengan sumpahan yang akan membawa kau masuk ke kubur.” Beliau menjawab dengan tenang, “Tidak, tetapi sumpahan itu akan masuk bersama kamu ke dalam kuburmu.”
Seorang berkata kepada ‘Amr ib al-As, “Aku akan mendedikasikan seluruh hidupku untuk berperang denganmu.” ‘Amr menjawab, “Sekarang kau telah jatuh ke dalam sesuatu yang mengatasi segala-galanya, dan ia akan menjadi obsesimu (kesengsaraan).”
Jeneral Eisenhower pernah berkata: Jangan habiskan walaupun seminit pun untuk berfikir tentang mereka yang kau tidak suka.
Nyamuk berkata kepada pokok, “Kekal teguh, kerana aku akan terbang dan meninggalkanmu.” Pokok menjawab, “Demi Allah, aku tidak terasa yang kau telah mendarat di atasku! Jadi kenapa aku akan terasa kalau kau terbang pergi?”
Hatim berkata: “Aku maafkan seorang pemurah yang menyimpan sebahagian hartanya, dan aku berpaling daripada kutukan orang yang terkutuk dengan senang hati.”
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.
(Al-Furqan 25:72)
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.
(Al-Furqan 25:63)
Confucious berkata: Lelaki yang pemarah sentiasa dipenuhi dengan racun.
Seorang lelaki bertanyakan Rasulullah SAW tiga kali untuk memberi dia nasihat. Rasulullah SAW menjawab setiap kali: Jangan marah.
Rasulullah SAW berkata tentang kemarahan dalam hadis tersebut: Kemarahan adalah bara dari api.
Syaitan mengalahkan manusia dalam tiga situasi.
- Apabila mereka marah
- Apabila mereka bernafsu
- Apabila mereka dalam keadaan terlupa.
Petikan: Don’t Be Sad, Dr ‘A’id a-Qarni.
Kesimpulannya, janganlah kita menghabiskan masa, tenaga, usaha untuk perkara yang tidak mendatangkan manfaat untuk kita di dunia dan di akhirat. Lapangkanlah dada, sentiasa memaafkan, mengawal emosi terutamanya sifat marah, dan jalanilah kehidupan ini tenang-tenang sahaja. Tidak perlulah berdendam sehingga ingin melangsaikannya di akhirat, kerana memaafkan seseorang itu di dunia adalah pilihan yang jauh lebih baik.
Seorang mukmin perlu tahu bahawa dunia ini hanyalah persinggahan, tempat ujian untuk manusia, sebelum dikumpulkan Allah SWT di alam akhirat, di hari pembalasan nanti. Elakkan membuang masa dengan perkara remeh dunia kerana kita akan meninggalkan dunia yang remeh ini untuk mengalami kehidupan serba indah yang dijanjikan Allah SWT bagi hamba-hamba-Nya yang sabar, beriman dan bertakwa. InsyaAllah.
Leave a Reply