Teks Khutbah Jumaat: Pengurusan Harta Pusaka

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

Marilah kita menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk “Pengurusan Harta Pusaka”.

Sebelum itu, khatib ingin mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita istiqamah mengimarahkan masjid dan surau dengan menunaikan solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti kuliah-kuliah pengajian yang dijalankan di samping memastikan ahli keluarga khususnya anak-anak tidak mengabaikan kewajipan solat. Marilah kita melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, memelihara hubungan persaudaraan sesama insan serta bertaubat dan bermunajat kepada Allah SWT dalam memastikan hidup kita sentiasa mendapat keredaan-Nya.

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Kehidupan kita di dunia ini hanyalah bersifat sementara. Setiap apa yang kita lakukan, usahakan dan kita perolehi di dunia pastinya akan ditinggalkan terutama sekali kesenangan dan kemewahan hidup. Justeru, Allah SWT mengingatkan kita menerusi firman-Nya di dalam surah an-Nisa’, ayat 29 yang dibacakan tadi yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

(An-Nisa’, ayat 29)

Apabila seseorang itu meninggal dunia, segala harta benda yang dimiliki semasa hidup di dunia ini pasti tidak akan dibawa bersama. 

Biarpun hartanya melimpah ruah sekalipun, ia tetap akan ditinggalkan. Semua itu akan menjadi harta pusaka kepada waris-waris yang berhak terhadap harta tersebut. Harta pusaka ialah harta peninggalan si mati yang mempunyai nilai, sama ada harta tidak alih seperti rumah dan tanah, atau harta alih iaitu wang ringgit, saham, barang kemas, duit pencen yang telah dibayar kepadanya, polisi insurans, dividen yang terbit daripada hartanya, dan sebagainya yang ditinggalkan setelah kematiannya.

Islam mengajar kita cara menguruskan harta pusaka dengan baik dan betul, namun sesetengah umat Islam masih sukar memahami dan melaksanakannya. Ilmu pengurusan harta pusaka disebut sebagai ilmu faraid yang mesti difahami dan mengetahui tatacara serta prosedur permohonan pembahagian harta pusaka mengikut perundangan yang ada di Malaysia.

Kelewatan dalam mengurus pembahagian harta pusaka akan berlaku sekiranya waris-waris tidak mengetahui kedudukan harta pusaka dan siapa sebenarnya yang tergolong sebagai ahli waris yang betul kepada si mati.

Justeru, menjadi tanggungjawab waris untuk memastikan harta peninggalan si mati dapat difaraidkan dan diagihkan mengikut aturan syariat, setelah terlebih dahulu menyelesaikan segala hutang-piutang si mati dan menguruskan wasiat yang telah dibuat. Ungkapan “kubur masih merah” tidak seharusnya digunakan dalam pengurusan harta pusaka kerana ia wajib disegerakan pembahagiannya. Firman Alllah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 11 yang bermaksud: 

“…(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya…” 

(An-Nisa’, ayat 11)

Kegagalan mengurus harta pusaka dengan baik akan membawa kepada berlakunya krisis dalam keluarga seperti pertelingkahan sesama waris, permusuhan, perebutan harta yang bukan hak milik dan sebagainya sehingga menyebabkan tertangguhnya pembahagian harta pusaka tersebut.

Perkara ini juga adalah antara kesan buruk yang bakal dihadapi sekiranya seseorang itu gagal membuat perancangan harta dengan baik semasa hayatnya. Berdasarkan laporan akhbar-akhbar tempatan, pelbagai kes yang berlaku melibatkan harta pusaka antaranya, lebih kurang sejuta kes tuntutan tanah pusaka sukar diselesaikan dan kira-kira 70 bilion ringgit harta pusaka beku yang tidak dapat diselesaikan pembahagiannya.

Justeru, sebagai muslim kita wajib menjaga amanah harta bahkan ianya turut termasuk dalam prinsip maqasid al-Syariah iaitu aspek memelihara harta. Tujuannya, agar hak setiap individu sentiasa terpelihara. Janganlah kita berbalah soal harta sehingga menjadi punca kepada permusuhan dan pertelingkahan sesama ahli keluarga yang meruntuhkan hubungan silaturahim. Amalkanlah sikap berlapang dada untuk menerima bahagian harta yang telah ditetapkan mengikut aturan syariat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kerajaan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dibawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli merupakan sebuah agensi kerajaan yang utama yang menguruskan pembahagian harta pusaka di Malaysia. Terdapat 33 buah Unit Pembahagian Pusaka di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang sedia membantu masyarakat membuat permohonan pembahagian pusaka dengan segera. 

Tiga agensi utama yang menguruskan surat kuasa tadbir di Semenanjung Malaysia ialah Bahagian Pembahagian Pusaka Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli), Amanah Raya Berhad (ARB) dan Mahkamah Tinggi Sivil.

Pada 26 Oktober 2021 Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2001, secara keseluruhanya telah memperluaskan peranan dan bidangkuasa Bahagian Pembahagian Pusaka JKPTG. Antara intipati pindaan ialah: 

Pertama: Peningkatan nilaian bidangkuasa daripada RM2 juta kepada RM5 juta. 

Kedua: Perluasan bidangkuasa harta pusaka yang meliputi semua jenis harta dan tidak tertakluk kepada syarat si mati mesti meninggalkan harta tak alih (tanah atau rumah) semata-mata. Pindaan ini bagi membolehan waris mengemukakan petisyen pembahagian pusaka walaupun si mati hanya memiliki harta alih sahaja seperti akaun bank, saham, kenderaan dan lain-lain. Pindaan ini pada dasarnya akan memberi lebih kemudahan kepada kelompok rakyat yang tidak memiliki harta tak alih dapat berurusan dengan agensi kerajaan iaitu Bahagian Pembahagian pusaka JKPTG.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Realitinya, kelewatan menyelesaikan pengagihan harta pusaka selepas berlakunya kematian akan mengakibatkan harta menjadi beku dan terbiar serta tidak dapat dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut faraid. Di samping itu, apa yang dikhuatiri adalah jika kita telah terambil dan termakan hak anak yatim atau termakan harta dengan cara yang batil.

Bukankah Allah SWT memberi amaran menerusi firman-Nya dalam surah an-Nisa’, ayat 10 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sesungguhnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

(An-Nisa’, ayat 10)

Marilah kita tingkatkan kefahaman mengenai ilmu faraid dan mengambil tahu segala prosedur dalam pengurusan harta pusaka. Kefahaman waris dalam hukum faraid sangat memainkan peranan penting, kerana setiap waris memahami hak masing-masing dan tahu tanggungjawab dalam menyelesaikan pembahagian pusaka secara segera tanpa berlengah-lengah. 

Khatib juga menyeru kepada semua supaya terus membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian secara atas talian melalui laman sesawang www.jkptg.gov.my apabila berlaku kematian di dalam keluarga supaya urusan harta pusaka dapat diselesaikan segera demi manfaat semua waris yang layak mewarisinya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama :

Pertama: Pengetahuan dalam ilmu faraid dan kefahaman tepat dan betul terhadap prosedur permohonan pembahagian pusaka mengikut perundangan negara akan melancarkan pengurusan harta pusaka apabila berlaku kematian.

Kedua: Tingkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai ilmu faraid supaya kita tahu akan hak-hak pewarisan harta di samping merujuk pihak-pihak yang berkaitan jika berlaku kematian dalam keluarga.

Ketiga : Pembahagian harta pusaka mesti disegerakan. Jadilah orang yang bertanggungjawab dengan bertindak segera menguruskan harta pusaka dalam keluarga setelah membayar hutang dan menyelesaikan wasiat si mati.

Renungkanlah firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Al-Baqarah, ayat 188)

Tarikh dibaca: 2 Rabiulakhir 1444H/28 Oktober 2022M

Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: