7 Amalan Soleh Sebagai Bekalan ke Akhirat

Dalam mengharungi hidup seharian, Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dengan mengamalkan setiap perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya. Kita juga diminta supaya mensyukuri dan tidak kufur nikmat. 

Setiap amalan itu perlu dilakukan dengan cara yang ditentukan dan diredhai oleh Allah SWT, baru ia berfungsi sebagai berfungsi sebagai pendinding dan perisai daripada sebarang serangan dan godaan syaitan. 

Semua amalan itu bukan untuk Allah SWT, tetapi untuk keuntungan pengamalnya sendiri. Allah SWT tidak memerlukan kita dan amal soleh kita walau sedikit pun. Sebaliknya, kita yang memerlukan semua itu. 

Tujuh Amalan Soleh Yang Pahalanya Menyusul Selepas Meninggal Dunia

Dalam rekod Imam Ibnu Majah, Rasulullah SAW berpesan, “Sesungguhnya, amal soleh yang akan menyusul Mukmin selepas dia meninggal dunia kelak adalah: 

1. Ilmu yang dia ajar dan sebarkan

Bercakap soal ilmu yang bermanfaat, Rasulullah SAW menjelaskan:

“Tiadalah suatu sedekah yang lebih besar yang disedekahkan manusia seperti penyebaran ilmu.”

Setiap ilmu yang memberi faedah kepada orang lain, apa lagi daripada sumber Al-Qur’an dan hadith sahih adalah ilmu yang bermanfaat. Rasulullah SAW memandang berat soal menyampaikan ilmu. Perkara ini jelas melalui hadis Baginda,

“Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat.”

2. Anak soleh yang dia tinggalkan

Dalam ayat 21 surah at-Tur, Allah SWT menyatakan kelebihan orang soleh,

Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

(At-Tur 52:21)

Dalam Tafsir Ibnu Kathir dijelaskan, Allah SWT mengangkat darjah ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjah anak dan cucu disebabkan amal soleh ibu bapa. Menurut Imam Ar-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan hingga ke akhirat. Nikmat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati dalam iman sahaja seperti jelas kelihatan dalam ayat. 

3. Mushaf Al-Qur’an yang dia wariskan

Al-Quran yang disedekahkan oleh individu. Ini tidak kiralah mushaf yang disedekahkan kepada orang perseorangan mahupun kepada organisasi. Ulama turut menjelaskan, buku-buku agama, walaupun bukan mushaf secara khusus, juga termasuk antara maksud hadis ini. 

4. Masjid yang dia bangunkan

Nabi SAW memaklumkan:

“Orang yang membina masjid kerana Allah, Allah akan membina untuk dirinya di syurga (binaan) yang seumpamanya.”

Ini tanpa mengira saiz masjid itu seperti dalam rekod Imam At-Tirmizi;

“Orang yang membina masjid sama ada kecil ataupun besar, Allah akan membangunkan untuk dirinya sebuah rumah di syurga.”

Selagi masjid itu digunakan, selagi itulah orang tang mendirikannya mendapat pahala daripada Allah SWT, insyaAllah.

5. Rumah tempat tinggal musafir yang dia dirikan

Ini berkaitan dengan konsep wakaf dalam Islam. Mewakafkan harta kita untuk Allah SWT mempunyai tempat istimewa di sisi Islam. Takrifan asal wakaf ialah sesuatu itu ‘dibekukan’ manakala hasilnya disedekahkan di jalan Allah SWT. Dalam sebuah hadis Ibnu Umar menceritakan, “Umar bin Al-Khattab diberikan bahagian dalam bentuk sebidang tanah di Khaibar. Beliau pergi berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku diberikan sebidang harta di Khaibar, sedangkan aku belum pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang kamu perintah aku lakukan?”

Nabi menjawab,

“Sekiranya kamu mahu, kamu boleh ‘bekukan’nya dan memberi dalam bentuk sedekah.”

Lalu, Umar menjadikan tanah itu sebagai sedekah dan menetapkan bahawa ia tidak boleh dijual ataupun diwarisi.”

6. Sungai (saliran) yang dia alirkan

Membina saluran air untuk kegunaan orang ramai. Mungkin kegunaan itu adalah untuk minuman. Mungkin juga untuk pertanian dan lain-lain. Semuanya dipandang tinggi oleh Allah SWT. Usaha membina telaga juga termasuk dalam hadis ini. Mungkin juga kita tidak membina saluran baru, tetapi menggantikan saluran sedia ada yang uzur kepada saluran baru yang lebih efektif.

7. Sedekah yang dia keluarkan pada waktu sihat dan masih hidup. 

Nabi SAW menyatakan dalam laporan At-Tabrani:

“Orang yang memberi makan kepada seorang Mukmin sehingga dapat mengenyangkan daripada lapar, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam sebuah pintu daripada pintu-pintu syurga, dan tiadalah yang dapat memasukinya melainkan orang seperti dirinya.”

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW juga memaklumkan,

“Orang yang melapangkan satu kesusahan orang berimanlain daripada kesusahan kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan daripada kerumitan akhirat. Dan sesiapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Orang yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya.”

Semua ini akan menyusul sehingga dia meninggal dunia.”

Sumber: 30 Wasiat Imam Syafi’i oleh Khairul Ghazali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: