Sifat mazmumah dalam hati itu banyak. Jalan membersihkan hati daripada kekotorannya pula panjang manakala cara untuk merawat kekotoran tersebut pula sukar.
Sesungguhnya, ilmu dan amal untuk mengubati hati telah lenyap seluruhnya akibat kelalaian manusia dengan dirinya sendiri dan tenggelam dalam pesona dunia.
Terdapat tiga jenis dosa hati yang menguasai orang-orang yang mendalami ilmu agama pada zaman ini, semuanya merosakkan diri para pemiliknya dan merupakan ibu kepada sejumlah dosa-dosa hati yang lain.
Hasad
Sifat hasad bercabang daripada bakhil. Orang yang bakhil ialah orang yang tidak mahu memberikan sesuatu miliknya kepada orang lain. Orang yang kuat berhasad ialah orang yang berasa berat apabila Allah Ta’ala memberi suatu nikmat daripada perbendaharaan di bawah kuasa-Nya kepada salah seorang hamba-Nya berupa ilmu, harta, sifat kasih sayang dalam hati manusia kepadanya atau apa-apa jua habuan yang baik.
Orang itu suka jika nikmat itu hilang daripadanya walaupun dia tidak memperoleh sedikit pun nikmat tadi. Inilah kemuncak kejahatan. Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Sifat hasad memakan kebaikan seperti apa memakan kayu api.” [HR Abu Daud]
Orang yang kuat berhasad ialah orang yang terseksa serta tidak dikasihi. Dia sentiasa berada di dalam alam azab yang berterusan di dunia kerana dunia tidak pernah sunyi daripada ramai mereka yang sezaman dengannya mahupun kenalan yang dikurniakan Allah dengan ilmu, harta atau kedudukan.
Manakala azab di akhirat pula lebih dahsyat dan besar.
Seseorang tidak akan sampai kepada hakikat iman selagi dia belum menyukai perkara yang dirinya suka turut dilayan sama rata terhadap seluruh kaum Muslimin. Orang-orang Islam seperti sebuah bangunan yang semua bahagiannya saling menguatkan antara satu sama lain. Mereka juga seperti satu jasad yang apabila satu anggota sakit, seluruh jasad turut mengaduh sakit.
Riyak
Riyak ialah syirik yang tersembunyi, iaitu satu daripada dua jenis syirik. Sifat riyak tersebut dikenali dengan keinginanmu terhadap penghargaan dan kedudukan dalam hati manusia untuk mencapai pangkat dan kehormatan.
Cintakan kedudukan termasuk daripada hawa nafsu yang dituruti. Dengan sebabnya, ramai manusia binasa. Tiada manusia yang binasa melainkan kerana manusia.
Penyakit ini menyebabkan amalan menjadi sia-sia, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah riwayat yang ertinya.
“Sesungguhnya seorang yang mati syahid diarahkan supaya ke neraka pada hari kiamat nanti. Lalu dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku telah mati syahid di jalan-Mu.’ Maka Allah Ta’ala berfirman, ‘Tidak, bahkan kamu mahu orang mengatakan kepadamu, ‘Si polan memang seorang yang berani.’ Hal tersebut sudah pun dikatakan dan itulah ganjaranmu.’”
Ucapan demikian juga dikatakan kepada si alim, orang yang mengerjakan haji dan qari Al-Qur’an.
Ujub, Takbur dan Bangga Diri
Adapun sifat ujub, takbur dan bangga diri, semua ini ialah penyakit yang sangat berbahaya. Ini bermaksud seorang hamba memandang dirinya dengan pandangan yang mulia dan hebat dan memandang orang lain dengan pandangan yang hina dan keji.
Kesan sifat bangga diri pada lidah terlihat apabila dia berkata “Aku begini,” dan “Aku begitu,” sebagaimana iblis yang dilaknat pernah berkata, Allah berfirman:
“Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”
(Al-A’raf 7:12)
Manakala impaknya di majlis ialah kemunculan sikap meninggi dan membesar diri, suka menonjol dalam majlis atau sesi perbincangan dan tidak menerima pandangannya dan ditolak orang lain.
Orang yang takbur ialah orang yang angkuh apabila dinasihati dan menggunakan kekerasan apabila memberi nasihat. Maka, setiap orang yang melihat dirinya lebih baik daripada mana-mana makhluk Allah Ta’ala, dia ialah seorang yang takbur.
Kamu sepatutnya tahu bahawa orang yang baik dan mulia ialah orang yang baik di sisi Allah di akhirat, namun hal ini tidak diketahui dan tertakluk kepada pengakhiran hidup. Oleh itu, keyakinanmu di dalam diri bahawa kamu ialah lebih baik daripada orang lain ialah kejahilan yang nyata.
Sebesar-besar sebab yang mengukuhkan sifat-sifat buruk ini di dalam hati adalah menuntut ilmu dengan niat berbangga-bangga dan bersaing antara satu sama lain. Orang awam sebenarnya lebih jauh daripada terjebak dengan kebanyakan sifat buruk ini. Manakala orang yang mendalami ilmu agama lebih mudah terarah kepadanya dan terdedah dengan kebinasaan disebabkannya.
Sifat takbur tidak akan keluar dari hatimu melainkan apabila kamu tahu bahawa orang yang mulia ialah orang yang mempunyai kemuliaan di sisi Allah Ta’ala.
Ketahuilah juga, tiga sifat ini termasuk daripada ibu bagi segala kejahatan dalam hati. Baginya satu dasar yang sama iaitu cintakan dunia.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Cintakan dunia ialah punca kepada segala dosa.” (HR al-Bauhaqi)
Sumber: Jalan Menuju Petunjuk, Panduan Menjadi Manusia Bertakwa dalam Meraih Keredaan Allah oleh Imam Al-Ghazali
Leave a Reply