Oleh: mymuslimin.com
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, terdapat seramai 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15, November ini. Fakta ini membuktikan bahawa umur 18 ke atas sudah layak untuk menentukan hala tuju kepimpinan negara.
Selain cabaran untuk membantu membentuk kepimpinan negara yang diimpikan, golongan muda juga akan mula berdepan dengan cabaran-cabaran lain di dalam kehidupan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang. Cabaran-cabaran yang akan menguji ketahanan mereka sebagai seorang dewasa yang akan memainkan peranan yang penting di dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Tiga cabaran utama anak muda ialah cabaran membina keluarga, cabaran membina karier, dan cabaran membina jati diri untuk melakar masa depan yang lebih sempurna dan bermakna.
Berdasarkan laporan jabatan Statistik Malaysia 2021, purata umur pengantin lelaki ialah 28 tahun, manakala purata umur pengantin wanita meningkat kepada 27 tahun. Dalam memastikan cabaran membina keluarga ini dapat ditempuh dengan baik, orang muda perlu melepasi dua cabaran utama lain di dalam kehidupan terlebih dahulu iaitu membina kareer dan jati diri sebagai seorang mukmin yang bertanggungjawab dan boleh dipertanggungjawabkan.
Orang muda perlu bermula dengan membina nilai-nilai diri yang teguh agar jati diri yang kukuh dapat dibentuk. Orang muda perlu mendidik diri dengan adab yang baik tatkala berurusan dengan ibu bapa, orang yang lebih tua, orang yang lebih muda, dan persekitarannya. Hidup perlu didisiplinkan dengan menghargai masa, mendokong kejujuran, mengagumi kerja kuat. Orang muda, jiwanya perlu berprinsip, menolak rasuah, tidak bertolak-ansur dengan anasir-anasir yang tidak sihat, menghormati undang-undang, memegang kuat ajaran agama dan sedar bahawa merekalah masa depan.
Selain menuntut ilmu, anak muda perlu mencari ilmu yang bermanfaat, yang akan membantu mereka membina sahsiah diri dan memupuk nilai-nilai yang baik dalam diri. Menyingkap sirah Rasulullah SAW, belajar tentang kehidupan baginda SAW merupakah langkah pertama terbaik untuk melatih diri menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Banyak ilmu bermanfaat yang menyentuh cara membina sahsiah diri yang baik, menjadi mukmin yang baik yang boleh ditelaah oleh orang muda. Kurangkan tumpuan kepada media sosial, sebaliknya tuntutlah ilmu yang memanfaatkan diri. Walaupun cabaran dan kekangan hidup untuk sesetengah individu itu pengalaman perit, anak muda jangan mudah menyalahkan ibubapa yang membesarkannya, serta persekitaran. Sebaliknya orang muda itu perlu kuat, mencari ilmu untuk menguatkan jiwa mereka, mengambil iktibar daripada kisah-kisah Rasul yang diceritakan Al-Qur’an, meletakkan Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai paksi kehidupan.
Apabila jiwa dan diri sudah kuat, prinsip diri sudah dibina, keluarlah untuk mencari kareer dan pendapatan yang baik untuk membina keluarga dan masa depan. Walaupun ekonomi gig menjadi salah satu pilihan ramai orang muda, ambil tahu kesannya di hari muka. Dalam usaha membina kareer yang baik, jati diri dan nilai yang baik tadi akan membantu anak muda untuk ke maju ke hadapan. Usah memikirkan jalan pintas untuk senang. Kehidupan yang senang tanpa barakah dan reda Allah SWT ialah kehidupan yang menuju kehancuran. Telusuri kehidupan berteraskan nilai-nilai yang baik, insyaAllah, dipermudahkan di dunia dan di akhirat.
Apabila diri sudah yakin boleh membimbing keluarga, memilihlah untuk berumahtangga kerana ini adalah sunnah Rasulullah SAW. Belajar, tuntut ilmu bagaimana untuk menjadi ketua keluarga, suami dan ayah yang baik. Jangan semuanya nak freestyle, just-wing-it berdasarkan situasi. Bacalah buku-buku tentang kepimpinan, ambillah nasihat mereka yang dihormati, berazamlah untuk menjadi suami dan ketua keluarga yang cemerlang. Perkahwinan itu bukar sekadar untuk mengawal nafsu, ianya memerlukan komitmen, pengorbanan dan kepertanggungjawaban seorang ketua keluarga.
Bukan senang untuk menelusuri hidup di dunia ini, orang muda perlu banyak ilmu di dada dan tidak mudah lalai diulit hiburan dan dunia yang mengasyikkan.
Leave a Reply