Asmaul Husna yang ke-30 ialah Al-’Adlu yang bererti Tuhan Yang Maha Adil. Segala keputusan Allah SWT untuk meletakkan hukum-hakam seperti halal, haram, sunat, makruh dan harus untuk menjadi garis panduan manusia menjalani kehidupan mereka. Hukum tersebut diputuskan berdasarkan landasan keadilan Allah SWT.
Sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT seperti judi, arak, zina, riba dan sebagainya kalau dikaji dari sudut pengajian usul fikah, tidak ada sebarang manfaat buat kita. Kalaupun ada manfaatnya, tetap ada keburukan yang lebih besar daripada manfaatnya. Jika dilakukan nescaya akan mendatangkan kerosakan kepada individu berkenaan dan juga masyarakat.
Walaupun ia memberi faedah kepada pemilik premis judi, pengusaha arak, ‘bapa ayam’ dan juga institusi kewangan sistem berorientasikan riba, masyarakat tetap akan punah, rumahtangga menjadi porak peranda apabila judi, arak, pelacuran (zina), dan riba itu berleluasa tanpa sekatan. Justeru, adil bagi Allah SWT mengharamkan semua perbuatan maksiat yang mendatangkan mafsadah.
Allah SWT menjadikan benda-benda haram di muka dunia ini untuk menguji keimanan manusia. Tanpa ujian, tidak wujud istilah ‘jihad’ bagi memastikan siapakah yang benar-benar tekun dan konsisten melaksanakan amalan mereka.
Oleh kerana Allah SWT bersifat adil terhadap hamba-Nya, maka manusia juga mesti mengambil pengajaran daripada sifat Allah SWT yang Maha Adil. Dengan menegakkan keadilan terutama terhadap diri sendiri. Berlaku adil terhadap diri dengan menggunakan semua kurniaan dan nikmat Allah SWT untuk mencapai keredaan-Nya. Seterusnya berlaku adil terhadap keluarga dan masyarakat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Adil ialah suatu sifat yang meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia menjadi keperluan dalam kehidupan insan. Keadilan itu suatu yang dituntut oleh Allah SWT. Bukan sahaja perlu berlaku adil terhadap diri sendiri, malah mereka juga dituntut supaya berlaku adil kepada musuh. Jika Allah SWT menetapkan bahawa memerangi musuh Islam itu suatu tindakan yang adil, maka keadilan itu mesti ditegakkan meskipun mereka terpaksa dibunuh.
Sebaliknya jika musuh Islam yang menjadi tawanan perang, Islam menganjurkan supaya mereka dilayan sewajarnya berdasarkan akhlak kemanusiaan dan keadilan Islam, maka layanlah mereka dengan baik meskipun mereka adalah golongan kafir yang pernah memusuhi kita.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply