Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua dibangkitkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak.
Marilah kita menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk: Tanggungjawab Kepada Negara
Sebelum itu, khatib ingin mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita istiqamah mengimarahkan masjid dan surau dengan menunaikan solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti program-program pengimarahan yang dijalankan di samping memastikan ahli keluarga khususnya anak-anak tidak mengabaikan kewajipan solat.
Sebagai muslim, marilah kita menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, memelihara hubungan persaudaraan sesama insan serta bertaubat dan bermunajat kepada Allah SWT dalam memastikan kehidupan kita sentiasa memperoleh keredaan-Nya.
Sidang Jemaah yang berbahagia,
Ketua dan pemimpin memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan kesejahteraan agama dan umat Islam. Mereka bertanggungjawab mengurus dan mentadbir urusan umat dalam masa yang sama memastikan tertegaknya keadilan, membasmi kezaliman serta tertunainya amanah. Ia bukanlah suatu tugas ringan yang boleh dipikul oleh sembarangan orang. Oleh yang demikian, Allah SWT telah memerintahkan agar amanah kepemimpinan ini hendaklah diberikan kepada individu yang layak lagi berkemampuan sebagaimana Firman Allah SWT, dalam surah an-Nisa’, ayat 58 yang dibacakan tadi membawa maksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(An-Nisa’ 4:58)
Tanggungjawab memilih pemimpin dengan kriteria tertentu dan berkelayakan sentiasa menjadi keutamaan dalam Islam. Kepimpinan dalam Islam adalah suatu tanggungjawab yang dibebankan ke atas setiap mereka yang dilantik dan diberi kuasa sebagai ketua sama ada untuk keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ini ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya dalam Surah al-Anbiya’ ayat 73 yang bermaksud:
“Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan solat, serta memberi zakat dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.”
(Al-Anbiya’ 21:73)
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Pemimpin mestilah orang yang memiliki kemahiran membina dan membangunkan orang lain, berkeupayaan untuk memberikan panduan dan dorongan kepada mereka yang dipimpin dalam melaksanakan tanggungjawab. Setiap pemimpin yang baik mestilah turut sama merasai denyut nadi rakyat bawahannya. Rasulullah SAW adalah contoh pemimpin terbaik yang mesti diteladani. Lihatlah ketika peristiwa Perang Ahzab, baginda SAW sendiri bersama dengan para sahabat menggali parit sebagai benteng daripada ancaman musuh yang menyerang Kota Madinah.
Asas kriteria seorang pemimpin ialah mempunyai sifat al-Qawiyy dan al-Amin. Al-Qawiyy ialah kemampuan dan keupayaan individu serta kompetensinya dalam pelaksanaan tugas yang dipertanggungjawabkan manakala al-Amin pula ialah sifat amanah dan bertanggungjawab serta berintegriti dalam menunaikan sesuatu tugas. Pedoman pemilihan ini telah dirakamkan dalam firman Allah SWT, surah al-Qasas, ayat 26 yang bermaksud:
“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”
(Al-Qasas 28:26)
Justeru, dalam usaha memilih seseorang pemimpin, rakyat bertanggungjawab menilai setiap prestasi, disiplin, akhlak, perwatakan dan pemikiran calon-calon yang ada bagi membuat pilihan yang tepat untuk menentukan al-Qawiyy dan al-Amin yang ada bagi satu-satu kerusi jawatan yang dipertandingkan.
Ingatlah, mensia-siakan amanah adalah suatu kerosakan yang besar, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Apabila sesuatu amanah itu disia-siakan, maka nantikanlah (sahaja) kedatangan kiamat. Sahabat bertanya, bagaimanakah amanah itu disia-siakan? Baginda menjawab, apabila diserahkan sesuatu urusan kepada orang yang bukan ahlinya, maka nantikanlah sahaja kehancuran itu.”
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Menerusi sistem ini, rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin untuk membentuk kerajaan. Wakil yang dipilih oleh rakyat sama ada bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri akan bertindak untuk memperjuangkan kepentingan rakyat yang diwakilinya. Pilihanraya merupakan salah satu cara, kaedah dan saluran penglibatan seluruh warganegara dalam membuat keputusan untuk memberi mandat kepada mana-mana pihak yang bertanding untuk membentuk sebuah kerajaan. Kuasa rakyat akan menentukan pihak manakah yang akan memerintah, membentuk pembangunan dan masa hadapan negara.
Dalam musim pilihanraya ini, mimbar mengingatkan semua pihak agar bersama-samalah menjaga adab dalam pertuturan dan penulisan khususnya di media-media sosial, hentikan sebarang perbuatan fitnah dan mengadu domba, tumpukanlah kepada agenda pembangunan rakyat dan negara.
Walaupun berbeza pandangan dan aliran, utamakan hubungan persaudaraan sesama insan. Janganlah sekali-kali mencetuskan provokasi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat dan negara. Sesungguhnya budaya politik matang dan sihat amat penting untuk menjamin pilihan raya dapat berlangsung dalam suasana aman, tenteram, terkawal dan selamat.
Sebagai warganegara Muslim, tentunya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi adalah suatu amanah dan tuntutan. Justeru, marilah kita tunaikan kewajipan sebagai pengundi dan memastikan setiap ahli keluarga kita yang layak untuk mengundi agar turut menunaikan tanggungjawab ini demi kestabilan dan kesejahteraan negara yang sangat kita cintai ini.
Patuhilah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang proses pilihanraya berlangsung.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama:
Pertama: Ketua dan pemimpin memainkan peranan yang besar dalam memastikan kesejahteraan agama dan umat Islam. Allah SWT telah memerintahkan agar amanah kepemimpinan ini hendaklah diberikan kepada individu yang layak lagi berkemampuan.
Kedua: Pilihlah pemimpin yang mempunyai kriteria al-Qawiyy (berkompetensi) dan al-Amin (berintegriti) supaya pemerintahan negara dapat diuruskan dengan baik.
Ketiga: Masa hadapan negara terletak di tangan kita. Tunaikan kewajipan kepada negara dengan turut serta mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Renungkanlah firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 247 yang bermaksud:
“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.”
(Al-Baqarah 2: 247)
Tarikh dibaca: 9 Rabiulakhir 1444H/4 November 2022M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply