Lelaki dan Botak

Oleh Ida Natasha

Masalah botak pada kaum lelaki dikenali sebagai androgenic alopecia, sejenis keguguran rambut yang paling biasa dialami oleh kaum Adam. Menurut kajian di Amerika, lebih 50% lelaki yang berusia 50 ke atas akan mengalami masalah kebotakan ini. Salah satu sebab pola kebotakan lelaki terjadi ini ialah disebabkan oleh genetik atau mempunyai sejarah keluarga yang botak. 

Kajian mendapati masalah ini berkait rapat dengan hormon lelaki yang bernama androgen. Hormon androgen ini mempunyai pelbagai fungsi lain selain mengawal pertumbuhan rambut, termasuk membuatkan lelaki tertarik kepada pasangannya, merangsang keinginan seksual, serta produksi sperma. 

Setiap helai rambut mempunyai kitaran pertumbuhan masing-masing dan dalam masalah kebotakan ini, kitaran pertumbuhan itu semakin melemah dan menyebabkan folikel rambut mengecut, menghasilkan helaian rambut yang pendek dan nipis. Akhirnya, kitaran pertumbuhan ini berhenti dan tiada rambut baru yang akan tumbuh di kawasan tersebut. 

Botak yang diwarisi tiada kesan sampingan, cuma sedikit mengganggu rupa yang biasa. Walaubagaimana pun, ada jenis botak yang disebabkan oleh masalah kesihatan yang lebih serius seperti kanser, masalah kelenjar tiriod, dan sebagainya. Jika anda mengalami masalah rambut gugur selepas mengambil ubat-ubatan dan diiringi dengan masalah kesihatan lain, lebih baik berjumpa doktor untuk kepastian. 

Masalah kesihatan juga boleh menjadi penyebab botak apabila anda mengalami ruam, radang, kulit kepala mengelupas, rambut rapuh, rambut gugur bertompok-tompok atau corak keguguran rambut yang pelik. Dapatkanlah saranan doktor jika ini terjadi kepada anda. 

Masalah botak lelaki ini boleh bermula seawal masa remaja, tetapi biasanya berlaku pada lelaki dewasa dan lebih tua lebih ramai yang mengalaminya. Lelaki yang mempunyai ahli keluarga yang botak berisiko tinggi untuk mengalami kebotakan, lebih-lebih lagi jika saudara-mara yang botak itu datangnya daripada sebelah ibu. 

Jika keguguran rambut anda bermula di pelipis atau di ubun-ubun kepala, anda mungkin mempunyai masalah botak. Sesetengahnya mengalami botak hanya di satu tempat sahaja. Manakala ada yang lain mengalami keguguran rambut dalam bentuk huruf ‘M’. Ada juga yang akan mengalami keguguran sehingga botak keseluruhannya. 

Walaupun masalah kebotakan ini tiada penyelesaian, antara petua untuk menguruskannya termasuk jangan berkasar dengan rambut. Jangan menyikat rambut secara kasar terutama ketika rambut sedang basah. Penggunaan sikat gigi jarang disarankan supaya tidak memutuskan rambut ketika merapikannya. 

Sekiranya anda mendapati rambut gugur selepas mengambil ubat-ubatan atau makanan tambahan, dapatkan khidmat nasihat doktor untuk mengenalpasti apa yang boleh dielakkan. 

Anda juga perlu berusaha untuk berhenti merokok kerana terdapat banyak kajian yang menunjukkan perkaitan antara merokok dan kebotakan. Selain itu, walaupun anda mengimpikan rambut yang lebat ketika anda muda, anda disarankan untuk tidak menghabiskan duit dengan produk yang mendakwa boleh mengembalikan rambut anda kerana seringnya masalah ini tidak dapat ditangani dengan begitu mudah. Anda juga perlu berusaha untuk mengurangkan tekanan kerana apabila anda tertekan, rambut anda akan semakin menipis! 

Akhir sekali, jika rambut tidak dapat diselamatkan, bertabahlah. Jangan fokus kepada rambut tetapi fokus kepada anggota lain yang boleh diperbaiki seperti menambah otot dengan mengangkat berat kerana ramai juga mereka yang botak, manis orangnya. 

Dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah bersabda,

“Barangsiapa mempunyai rambut hendaklah dia memuliakannya (merawat).”

(HR Abu Dawud)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: