“Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum engkau dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian.”
[HR at-Tirmidzi dan Muslim]
Dalam hadis Rasulullah SAW tersebut, manusia disuruh agar merebut peluang ‘masa lapang sebelum datangnya masa sibuk dan hidupmu sebelum datangnya ajal kematian.’
Kita dapati di kalangan manusia, ada yang menggunakan hujah ‘sibuk’ sebagai alasan. Apabila mereka gagal menghadiri mesyuarat, atau tidak dapat hadir ke suatu majlis tertentu walaupun sudah menerima jemputan secara rasmi, terkadang jarang datang ke masjid menunaikan solat jemaah, apabila ditanya maka jawapannya mudah saja iaitu ‘sibuk’.
Apakah sibuk itu alasan yang sebenar? Ia tidak perlu dibincangkan di sini. Namun persoalan yang ditekankan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut adalah mengingatkan kita bahawa masa itu sangat bernilai. Masa adalah usia. Manusia telah ditetapkan tempoh usianya sejak azali lagi.
Masa dan usia amatlah terbatas bagi makhluk bernama manusia. Umur bagi umat selepas Rasul yang terakhir tidaklah panjang, sesuai dengan fizikalnya yang semakin lemah apabila menjelang usia tua. Tidak seperti pohon kayu di hutan, semakin lanjut usianya semakin kukuh urat-urat kayu itu dan semakin mencengkam akarnya, jika tidak ditebang oleh manusia, ia mampu hidup ratusan tahun.
Lantaran itu, masa lapang perlu dihargai. Keterbatasan masa yang dimiliki oleh manusia tidak memungkinkan mereka membiarkan masa berlalu begitu sahaja dengan sia-sia. Jika usia seseorang 60 tahun, tidak bermakna mereka memiliki masa lapang sejumlah itu juga, kerana ⅓ daripada usia manusia terhakis percuma semasa tidur, dan ⅙ pula berlalu semasa kanak-kanak, baiknya hanya 30 tahun sahaja.
Hanya separuh sahaja baki usia manusia yang mesti digunakan untuk menyiapkan sebanyak-banyak bekalan, untuk suatu pengembaraan yang jauh, iaitu pengembaraan menuju akhirat. Jika seseorang itu sedar bahawa pengembaraan mereka tidak akan surut ke belakang ke kampung halamannya, tentu mereka tahu bahawa masa sangat suntuk bagi menyiapkan bekalan, tidak mungkin ada waktu kosong atau waktu tanpa program dalam kehidupan mereka.
Peluang terakhir yang amat penting yang tidak mungkin dicuaikan ialah ‘masa hidup sebelum datangnya saat kematian’. Manusia diberi peluang hidup melalui proses kejadian yang amat unik. Daripada berjuta benih dalam sperma seorang ayah, mungkin hanya satu yang bersenyawa dengan telur di dalam rahim ibu untuk proses hayat seterusnya.
Allah SWT kurniakan hidup dengan kelahiran manusia daripada rahim ibu, sebagai satu rahmat yang mesti disyukuri kerana dia dipilih untuk kejadiannya satu daripada berjuta benih itu. Jika Allah SWT pilih benih yang lain nescaya bukan dia yang lahir. Justeru manusia bukan sekadar bersyukur dengan hidup yang dikurniakan buat dirinya tetapi sewajarnya mengisi kehidupan tersebut.
Mengisi kehidupan itu mestilah dengan program yang mendatangkan manfaat untuk kehidupan di dunia dan yang paling penting ialah hidup selepas mati sama ada di alam barzakh atau kehidupan di akhirat.
Demikianlah dua daripada lima kesempatan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya, iaitu muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum kepicikan, masa lapang sebelum datang masa sibuk dan hidup sebelum mati.
Lima perkara itu akan ditanya sebaik sahaja manusia dibangkitkan di hari Mahsyar. Semua soalan tersebut mesti dijawab, sayangnya yang menjawab kelak bukanlah lidah, tetapi pengakuan dari setiap anggota yang bertanggungjawab melakukan segala tindakan, sama ada amalan yang membawa markah dosa atau mendapat ganjaran pahala.
Sumber: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat
Leave a Reply