Asmaul Husna yang ke-31 adalah Al-Latif yang bermaksud Tuhan Yang Maha Seni atau Maha Halus, Maha Lembut. Semua itu termasuk dalam pengertian Al-Latif kerana zat Allah SWT itu Maha Seni sehingga tidak tercapai dek akal manusia untuk menggambarkannya.
Rahsia kelembutan dan kehalusan Allah SWT bernama Al-Latif hanya dapat difahami melalui ciptaan-Nya, misalnya rahsia mengenai atom.
Permulaan tamadun ialah apabila manusia menemui tenaga melalui arang batu, maka banyak jentera digerakkan dengan tenaga arang batu. Kemudian, manusia menemui tenaga melalui petroleum. Zat petrol lebih halus, ringan dan lebih bertenaga berbanding arang batu. Selepas itu manusia menemui tenaga hidro yang menggunakan tenaga elektrik untuk menggerakkan tamadun manusia. Setelah itu mereka menemui kuasa tenaga yang berlipat ganda daripada atom.
Semakin halus sesuatu zat semakin berlipat-gandalah kekuatan tenaga yang dihasilkannya. Inilah ciptaan dalam suatu zat yang halus itu tersembunyi rahsia kekuatan yang tiada taranya. Inikan pula bagi Zat Allah SWT yang Al-Latif itu. Semestinya kelembutan pada nama-Nya yang Al-Latif itu mengandungi kehebatan dan kekuatan yang tidak mampu digambarkan dengan bahasa manusia.
Dari sudut kajian tasawuf mendapati apabila manusia mengurangkan pengambilan makanan untuk ma’addah mereka, sama ada dengan berpuasa atau sengaja mengambil hanya sedikit makanan, ternyata rohani mereka semakin murni dan lebih ceria untuk mendampingi Allah SWT.
Apabila Allah SWT bersifat lembut atau seni, maka manusia juga semestinya mengambil iktibar dengan mengambil sikap berlembut ketika menganjak makhluk sifat lemah-lembut akan membuatkan manusia tertarik sebelum mereka mendengar seruan yang hendak disampaikan kepada mereka. Insya Allah.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply