Kelebihan Menuntut Ilmu dalam Al-Qur’an
Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya yang bermaksud:
“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”
(Surah Al-Mujadalah 58:11)
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Nahl 16:43)
Hadis Kelebihan Menuntut Ilmu
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.
[HR Muslim (4867)]
Daripada Abu Dzar ia berkata; Rasulullah SAW bersabda kepadaku:
“Hai Abu Dzar, engkau berpagi-pagi untuk mempelajari satu ayat dari kitab Allah lebih baik bagimu dari pada engkau solat sebanyak seratus rakaat. Dan engkau berpagi-pagi untuk mempelajari satu bab ilmu kemudian diamalkan ataupun tidak diamalkan, adalah lebih baik bagimu dari pada engkau solat sebanyak seribu rakaat.”
[HR Ibnu Majah No: 215]
Sabda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin”
[HR al-Imam Ibnu Majjah]
Daripada Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tuntutlah ilmu walaupun di negeri China, kerana menuntut ilmu itu wajib atas setiap orang Islam. Dan sesungguhnya para malaikat itu menghamparkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang mereka tuntut.”
[HR Ibnu Abdil Bar]
Daripada Abu Hurairah RA berkata, telah bersabda Rasulullah SAW:
”Barang siapa yang dikehendaki oleh ALLAH akan kebaikan padanya, maka sudah tentu ALLAH menjadikannya orang yang mengerti dengan hal-hal agama.”
[HR Ibnu Majah]
“Ilmu berada dalam khazanah, kuncinya ialah soalan, maka bertanyalah. Semoga Allah SWT merahmati kamu kerana sesungguhnya bertanya itu akan memanfaatkan empat golongan iaitu orang yang bertanya, guru, pendengar dan juga orang yang cintakan mereka.”
[HR Ali bin Abi Talib]
Kata-Kata Hikmah Berkaitan Kepentingan Ilmu
Telah berkata Ibn Abbas RA: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu”.
Telah berkata Ibn al-Mubarak RA: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”.
Seorang lelaki yang bijak berkata, “Aku berasa simpati kecuali kepada dua orang: satu ialah mereka yang mencari ilmu pengetahuan tetapi tidak memahaminya, dan mereka yang memahami ilmu tetapi tidak mencarinya.”
Telah berkata Abu al-Darda, “Untuk belajar satu perkara lebih baik daripada bersembahyang sepanjang malam.”
Umar berkata, “Kematian seribu orang yang bersolat sepanjang malam dan berpuasa sepanjang hari adalah musibah yang lebih kecil berbanding dengan kematian seorang yang berpengetahuan yang tahu tentang halal haram hukum Allah.”
Telah berkata Imam al-Syafi’e RA: “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat”.
Telah berkata Abu al-Darda: “Siapa yang merasakan bekepergian pada waktu subuh untuk mencari ilmu itu bukan jihad ada kepincangan intelek.”
Rujukan: Kitab Ihya’ ‘Ulum Al-Din-Vol. 1, Imam Al-Ghazali
Leave a Reply