Dikisahkan, ada seseorang melihat satu makhluk yang sangat buruk di padang Sahara. Lalu dia bertanya, “Siapakah kamu?”
“Aku adalah amalan burukmu,” jawab makhluk buruk itu.
“Apakah yang dapat menyelamatkanku darimu?”
“Selawat kepada Nabi SAW sebagaimana sabda Nabi SAW, ‘Selawat itu berada di atas cahaya, di atas as-sirat. Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada hari Jumaat sebanyak 80 kali, Allah akan mengampunkan dosa-dosanya selama 80 tahun.”
Ada seseorang yang tidak pernah berselawat kepada junjungan kira, Muhammad SAW. Lalu pada suatu malam, dia bermimpi bertemu dengan Nabi SAW. Baginda tidak menoleh kepadanya. Oleh kerana itu, dia bertanya: “Ya Rasulullah, apakah anda marah kepada saya?”
“Tidak,” jawab Nabi SAW.
“Lalu, mengapa anda tidak memandang saya?,”
“Kerana aku tidak mengenalimu.”
“Bagaimana anda tidak mengenal saya, padahal saya termasuk umat anda? Para ulama mengatakan anda lebih mengenali umat anda daripada seorang ibu kepada anaknya.”
“Mereka betul, tetapi kamu tidak mengingatiku dengan selawat. Sebab, aku mengenal umatku menurut kadar selawat mereka kepadaku.”
Kemudian, orang itu terbangun dan mewajibkan dirinya untuk selalu berselawat kepada Nabi SAW setiap hari 100 kali. Dia terus melakukan perkara tersebut. Setelah berselang beberapa waktu, dia bermimpi lagi bertemu dengan Nabi SAW. Baginda berkata, “Kini aku mengenalimu dan aku memberikan syafaat kepadamu kerana kamu telah menjadi pencinta Rasulullah.”
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku”
(Ali Imran 3:31)
Ayat ini turun ketika Nabi SAW mengajak Ka’ab ibn al-Asyraf dan sahabat-sahabatnya memeluk Islam. Mereka berkata: “Kami berada dalam kedudukan sebagai anak-anak Allah dan kami sangat mencintai Allah.”
Lalu Allah berfirman kepada Nabi-Nya yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Ali Imran 3:31)
Kecintaan orang-orang mukmin kepada Allah adalah mereka mematuhi perintah-Nya, mengutamakan ketaatan kepada-Nya, dan mencari keredhaan-Nya. Sedangkan kecintaan Allah kepada orang-orang mukmin adalah Dia memuji mereka serta memberi pahala, keampunan, kenikmatan, rahmat, pemeliharaan dan taufik kepada mereka.
Sumber: Mendidik Hati Mendekati Ilahi oleh Imam Al-Ghazali
Leave a Reply