Malaikat Malik a.s. bertugas sebagai koordinator bagi para malaikat menguruskan neraka, dengan menjaga, mengawasi dan mengatur berterusannya azab atau seksa Allah yang ditimpakan kepada para ahli neraka.
Neraka itu mempunyai banyak pintu, setiap pintu terbahagi kepada beberapa bahagian untuk golongan lelaki dan perempuan sesuai dengan amalan dosanya.
Diriwayatkan dari Rasulullah SAW, bahawasanya baginda bertanya kepada Malaikat Jibril a.s., “Adakah sama antara pintu neraka dengan pintu kita ini?” Malaikat Jibril a.s. menjawab, “Tidak, akan tetapi ia tertutup antara satu pintu yang paling bawah dengan pintu yang lain. Jarak antara satu dengan yang lainnya adalah seperti perjalanan 700 tahun. Setiap pintu lebih panas daripada pintu lain di sekelilingnya dengan perbandingan 70 kali.”
Lalu Rasulullah SAW bertanya, “Siapakah penghuni pintu tersebut?” Malaikat Jibril a.s. menjawab, “Adapun pintu yang paling bawah di dalamnya terdapat golongan yang munafik, orang kafir pada hidangan (dari langit) pada masa Nabi Isa a.s. dan keluarga Fir’aun, dan pintu tersebut bernama Hawiyah. Pintu kedua adalah untuk orang musyrik (menyekutukan Allah dengan sesuatu, namanya adalah Jahim. Pintu ketiga adalah untuk orang yang menyembah berhala, namanya ialah Saqar.Pintu keempat adalah untuk iblis dan pengikutnya serta orang Majusi (golongan penyembah api), dan namanya Lazha. Pintu kelima untuk orang Yahudi, namanya Huthamah. Sedangkan pintu keenam untuk orang Nasrani, namanya Sya’ir.
Lalu terdiamlah Malaikat Jibril a.s. Lantas Rasulullah SAW bertanya, “Wahai Jibril, mengapa tidak kamu memberitahu padaku tentang pintu ketujuh?”
Malaikat Jibril berkata, “Wahai Muhammad, ia diperuntukkan bagi orang yang melakukan dosa besar dari umatmu, yang mati sebelum bertaubat.” Tersungkurlah Nabi SAW dalam keadaan pengsan kerana mendengarnya. Ketika sedar, Nabi bersabda, “Wahai Jibril, sungguh besar musibah yang menimpaku dan aku sangat bimbang. Adakah di kalangan umatku akan masuk neraka?” Malaikat Jibril menjawab, “Ya, iaitu umatmu yang melakukan dosa besar.” Menangislah Rasulullah SAW dan menangis pula Malaikat Jibril disebabkannya.
Kemudian Rasulullah SAW bertanya, “Wahai Jibril, mengapa kamu turut menangis, padahal kamu adalah malaikat yang dipercayai?” Malaikat Jibril menjawab, “Aku bimbang jika sekiranya aku diuji bagaimana ujian yang diberikan kepada Harut dan Marut. Itulah yang menyebabkan aku menangis.” Allah SWT pun berfirman: “Wahai Jibril, wahai Muhammad, sesungguhnya Aku jauhkan kamu berdua dari api neraka. Akan tetapi, janganlah kamu semua merasa selamat dari seksa-Ku.”
Dalam hadis yang diriwayatkan, ketika para malaikat membawa mereka (ahli neraka), menjeritlah umat Muhammad itu dengan berkata, “Wahai Muhammad.” Dan pada saat mereka melihat Malaikat Malik a.s, lupalah mereka kepada nama Muhammad lantaran mereka merasa takut.
Malaikat Malik a.s. berkata kepada mereka, “Siapakah kamu semua? Mereka menjawab, “Kami adalah golongan umat yang telah Allah turunkan Al-Qur’an, kami adalah golongan yang berpuasa di bulan Ramadhan.” Malik berkata, “Al-Qur’an itu hanya diturunkan kepada Muhammad.” Ketika mereka mendengar kata-kata Muhammad, menjeritlah mereka semua, “Kami inilah termasuk umatnya.” Lantas Malik berkata, “Tidak adakah dalam Al-Qur’an itu peraturan yang melarang kamu semua melakukan maksiat?”
Ketika mereka berhenti di pinggir Jahannam sambil melihat api dan Zabaniyah, mereka berkata, “Wahai Malik, izinkanlah kami menangisi diri kami.” Malaikat Malik mengizinkan mereka menitiskan air mata sehingga tidak tinggal setitis pun air mata pada mata mereka. Lalu, menangislah mereka dengan mengeluarkan darah. Ketika itu, Malaikat Malik a.s. berkata kepada mereka, “Alangkah baiknya jika tangisan ini berlaku di dunia lantaran takutnya kamu semua kepada Allah SWT, sehingga kamu semua tidak tersentuh api neraka.”
Dan mereka (ahli neraka) berseru,
“Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”
(Az-Zukhruf 43:77)
Rasulullah SAW bersabda,
“Saat memilukan bagi ahli neraka adalah semasa mereka memanggil-manggil Malaikat Malik a.s. selama 70 tahun. Tidaklah Malaikat Malik mahu menjawab. Maka mereka berkata, ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Malaikat Malik a.s. tidak mahu menjawab kami.’ Lalu Allah SWT berfirman: ‘Wahai Malik, jawablah ahli neraka itu!’ Malaikat Malik pun berkata, ‘Apa yang kamu semua katakan, wahai ahli neraka, wahai orang yang dimurkai Allah?’ Mereka menjawab, ‘Wahai Malik, berilah kamu minum agar kami merasa puas dengannya kerana api telah membakar daging kami, tulang kami, kulit kami, mematahkan tulang belulang kami, dan memotong hati kami.’ Lalu, Malaikat Malik memberikan kepada mereka minuman air yang mendidih. Semasa minuman itu mereka pegang, gugurlah jari-jemari mereka. Semasa air itu sampai ke wajah mereka, berjatuhanlah mata dan pipi mereka. Semasa air itu masuk ke perut mereka, maka terputus-putuslah usus dan limpa mereka.”
Rasulullah SAW bersabda,
“Saat memilukan bagi ahli neraka ialah ketika mereka inginkan makanan, maka dihidangkan buah zaqqum pada mereka. Ketika mereka memakannya, mendidihlah apa yang ada dalam perut mereka, mendidihlah otak dan gusi mereka. Nyalaan api keluar dari mulut mereka dan berjatuhanlah anggota tubuh mereka di bawah telapak kaki.”
Rasulullah SAW bersabda,
“Saat memilukan bagi ahli neraka ialah ketika dikenakan kepada mereka pakaian dari leburan timah dan tembaga. Semasa pakaian itu dikenakan kepada mereka, terkupaslah kulit mereka. Orang celaka itu di neraka dalam keadaan buta tidak melihat, bisu tidak mampu berkata-kata dan tuli tidak mampu mendengar. Semua orang lapar sudah tentu inginkan makanan kecuali ahli neraka; semua orang yang telanjang sudah tentu inginkan pakaian, kecuali ahli neraka; dan semua mayat inginkan suatu kehidupan kecuali ahli neraka; kerana sesungguhnya mereka itu sentiasa mengharapkan kematian.”
Sumber: Biografi Malaikat – Mendapat kesempurnaan Iman, Interaksi dan Persahabatan Dengan Para Malaikat Allah SWT, Rachmat Ramadhana al-Banjari
Leave a Reply