Antara sebab-sebab penting manusia hilang ketenangan, keamanan dan keredhaan dirinya ialah kekesalannya terhadap masa lalu, kemarahannya terhadap masa kini dan ketakutannya terhadap masa hadapan.
Sesetengah manusia mengalami malapetaka maka ia akan mengambil masa berbulan-bulan malah bertahun-tahun merasakan kepedihannya. Dia mengingati kembali kenangan hitam, kadang-kadang rasa kesal dan kadang membuat berbagai andaian dengan berkata: “Alangkah baiknya jika aku buat begini”, “Kalaulah aku buat begini nescaya akan jadi begini.” Seorang penyair lama pernah mengatakan:
Kalaulah syairku di manakah;
Kalaulah untukku?
Sesungguhnya ‘kalaulah’, ‘alangkah baiknya’ satu azab sengsara.
Oleh kerana itu para doktor jiwa dan kaunselor, ahli-ahli pendidik dan pegawai-pegawai kerja menasihatkan supaya manusia melupakan kepedihan yang dihadapinya semalam dan seterusnya hidup mengikut kenyataan yang ada pada hari itu, kerana masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.
Apa yang berlalu hapus, harapan di dalam ghaib.
Untukmu yang detik-detik yang anda sedang lalui.
Perkara ini telah digambarkan oleh seseorang pensyarah sebuah universiti di Amerika dengan baiknya di hadapan penuntut ketika ia bertanya kepada mereka: “Berapa ramai di antara kamu yang pernah membuat kerja mengukir kayu?” Maka terdapat ramai yang mengangkat tangan mengatakan ada. Ia menyoal mereka lagi: “Berapa orang di antara kamu yang ada mengukir besi pengukir?” Tidak seorang pun yang mengangkat tangannya.
Ketika itu pensyarah itu berkata: “Memanglah tidak ada seorang pun yang boleh mengukir besi pengukir kerana memang sudah terukir. Begitulah kisahnya dengan masa yang lalu, apabila kamu dihantui oleh kejadian-kejadian yang lalu, bererti kamu sedang mengukir pahat pengukir.”
Diel Karingi telah mencatat gambaran ini. Dia juga telah mencatat gambaran yang dibuat oleh orang lain yang berkata: “Saya dapati kerunsingan terhadap perkara yang lepas tidak memberi apa-apa faedah sebagaimana tidak ada faedahnya anda membuat tepung dari tepung dan mengukir benda yang sudah sedia terukir. Faedah yang anda dapat dari kerunsingan itu hanyalah mengukir kedutan-kedutan di wajah atau luka dalam perut.”
Namun kelemahan manusia menguasai kebanyakan orang. Kelemahan ini menjadikan mereka menangisi hari malam yang sudah pergi, menggigit tangan menyesali apa yang sudah terlepas dan membalik-balikan tapak tangan kerana kekecewaan yang lalu.
Orang Mukmin Beriman dengan Qada’ dan Qadar
Orang yang tidak akan menyerah kepada perasaan pedih dan fikiran yang gelap seperti ini ialah orang mukmin yang yakin dengan Tuhannya dan beriman dengan qada’ dan qadar. Ia tidak menyerah sebagai mangsa kepada masa dan peristiwa silam. Malah ia beriktikad bahawa qada’ Allah mestilah diterima dengan redha dan berserah diri. Kemudian ia berkata seperti apa yang dikatakan oleh penyair:
Takdir Ilahi mendahului, dan hukumnya
Rehatnya kalbumu dari ‘boleh jadi’ dan ‘kalaulah’
Penyair lain berkata:
Tidak kembali apa yang luput dariku
Dengan kegopohan, atau dengan ‘alangkah baiknya’, ‘kalaulah sekiranya’
Dia tidak berkata, “Kalaulah saya berbuat begini nescaya begini jadinya.” Tetapi berkata; “Sudah ditakdirkan Allah apa yang dikehendaki-Nya berlaku.” Kerana perkataan ‘kalaulah’ membuka peluang amalan syaitan seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dia yakin bahawa takdir Allah tetap terlaksana, maka kenapa dia perlu marah dan kenapa dia perlu sesak dada. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”
(Al-Hadid 57:22-23)
Dalam peperangan Uhud seramai 70 orang Islam telah terbunuh. Al-Qur’an mempersenda sekumpulan munafiqin, orang yang jiwanya berpenyakit dan orang-orang yang lemah imannya yang hidup dengan ‘kalaulah’ yang menimbulkan kekesalan dan ‘alangkah baiknya’ yang menimbulkan kekecewaan. Firman-Nya yang bermaksud:
“Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya)”. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?” katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”. Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.”
(Ali ‘Imran 3:154)
Al-Qur’an menjawab orang yang mengatakan kepada kawan-kawan mereka “Sekiranya mereka mengikut cakap kita tentu mereka tidak terbunuh” dengan firman Allah:
“Merekalah juga yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: “Kalaulah mereka taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.”
(Ali ‘Imran 3:168)
Seorang mukmin tidak bersikap sebagaimana sikap para munafiqin dan mereka juga tidak bersikap seperti saudara mara mereka yang kafir yang dilarang oleh Al-Qur’an dan meniru kekecewaan, dukacita, dan angan-angan mereka. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh”. (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.”
(Ali ‘Imran 3:156)
Sesungguhnya syiar seorang mukmin yang teguh imannya ialah: “Allah telah mentaqdirkan apa yang dikehendaki-Nya untuk dilakukan; Alhamdulillah atas semua hal.” Dengan ini dia tidak berduka dengan apa yang terluput dan tidak hidup dalam genggaman kenangan yang pedih. Hatinya tenang dengan membaca firman Allah:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(At-Taghabun 64:11)
Perasaan ini juga menghasilkan nikmat redha di dalam dirinya.
Sumber: Kemanisan Iman oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi
Leave a Reply