Teks Khutbah Jumaat: Tuntutan Memelihara Kemakmuran

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga bersama ketaqwaan kita sentiasa mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah SWT berserta naungan kesejahteraan dan kemakmuran yang berkekalan di dunia dan di akhirat.

Di hari yang berbahagia ini, marilah kita menghayati khutbah Jumaat yang bertajuk, “Tuntutan Memelihara Kemakmuran”.

Sebelum itu, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita dapat beristiqamah mengimarahkan masjid dan surau, menunaikan solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti program- program pengimarahan yang dijalankan di samping memastikan ahli keluarga khususnya anak-anak tidak mengabaikan kewajipan solat dan sentiasa membaca al-Quran. Sebagai muslim dan warganegara yang baik, marilah kita menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, mengeratkan persaudaraan sesama insan, memperbanyakkan taubat dan munajat kepada Allah SWT demi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Kemakmuran hidup adalah keperluan setiap insan. Makmur adalah gambaran perihal kesejahteraan, keamanan, kebebasan, kerukunan dan limpahan rezeki dalam kehidupan di sesebuah penempatan. Tentu sahaja ia merupakan dambaan dan matlamat hidup yang perlu dicapai oleh semua manusia. Realiti ini jelas digambarkan di dalam firman Allah menerusi Surah Saba’ pada ayat ke 18 yang dibacakan di pembukaan khutbah tadi yang bermaksud;

“Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat padanya (dengan kemakmuran), Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan): Berjalanlah di bandar-bandar itu pada malam dan siang dalam keadaan yang aman.”

(Saba’ 34:18)

Lantaran kepentingan ini, kemakmuran terbukti menjadi keperluan ke atas setiap insan untuk mendapatkannya secara bersama-sama, berkongsi atas semangat kesetiaan dan perpaduan, dan ia tidak mungkin sama sekali dapat diraih oleh seseorang secara bersendirian.

Justeru, di sebalik perbezaan latar belakang, budaya, keturunan, bahasa, agama, pola pemikiran dan gaya hidup, kita tetap perlu terus hidup bersama dengan aman dan makmur. Perbezaan yang membawa kepada perselisihan dan pertelingkahan yang berpanjangan hanya akan merencatkan keharmonian dan kestabilan negara yang pastinya tidak akan menjanjikan sebarang kebaikan. Sedangkan kedamaian dan kemakmuran adalah rukun untuk kita semua dapat hidup aman di dunia ini.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Esok, seluruh rakyat Malaysia akan keluar mengundi untuk memilih kerajaan yang bakal menerajui pentadbiran negara. Marilah kita tunaikan tanggungjawab ini demi memastikan negara yang kita cintai ini terus aman makmur dan sejahtera di bawah teraju pimpinan yang berwibawa. Bersama tanggungjawab mengundi yang disempurnakan, kita terus berdoa dan merayu kepada Allah SWT semoga kita dianugerahkan para pemimpin negara yang bertakwa, amanah, bertanggungjawab, berintegriti, berwawasan tinggi, sentiasa berusaha membela rakyat dan setia berbakti untuk negara.

Wajar juga diingatkan, walau siapa pun yang bakal diangkat menjadi para pemimpin melalui sistem demokrasi ini, kita semua perlu menerima dan memberikan ketaatan dan sokongan kepada mereka selagi mereka tidak menyuruh kepada perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

Hentikanlah segala perlakuan yang merugikan seperti menimbulkan provokasi, menyebarkan fitnah, memaki hamun dan sebagainya. Marilah bersama kita kembali bersatu sebagai warga rakyat Malaysia yang cintakan kemakmuran. Sungguh, pedoman ini pernah dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada ‘Auf bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda yang  bermaksud:

“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu sayangi dan mereka juga menyayangi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka juga mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin kamu pula ialah mereka yang kamu benci dan mereka juga membenci kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka juga mengutuk kamu. Baginda ditanya: wahai Rasulullah, apakah boleh kami perangi mereka? Baginda menjawab: Tidak boleh, selagi mereka mendirikan solat bersama kamu dan jika kamu lihat dalam kalangan pemimpin kamu melakukan suatu perkara yang dibenci maka bencilah perlakuannya, jangan pula kamu berlepas tangan dari mentaati mereka.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Dengan limpahan pelbagai hasil bumi dan sumber alam kurniaan Allah SWT, kita sebenarnya hidup di sebuah negara yang sangat makmur. Namun, mungkin kerana kegagalan menghargai setiap nikmat kemakmuran, kemakmuran bagai belum sempurna dan mencukupi di sini. Jiwa kita masih sarat bersarang dengan sifat-sifat negatif seperti dengki, sangka buruk dan iri hati sehingga saling membenci. Menyedari peri pentingnya menjayakan kemakmuran negara, usaha-usaha membangun dan memperteguhkan kemakmuran perlu dipergiatkan di segenap penjuru dan dibuat secara berterusan, antaranya ialah;

Pertama: Wujudkan kestabilan politik dan bina kemajuan negara. Hentikan pertelingkahan dan perbalahan. Sungguh ia hanya akan menghilangkan keampuhan kekuatan kita. Kembalilah kepada mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya. Bersabarlah mengurus segala bentuk perbezaan di antara kita.

Kedua: Memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara. Semua warga Malaysia perlu berperanan tepat di posisi mereka. Para pemimpin perlu gigih dan jujur mentadbir di samping rakyat pula gigih bekerja membangunkan ekonomi negara. Setelah itu agihlah kek ekonomi secara adil dan inklusif di setiap peringkat, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dalam kalangan rakyat.

Ketiga: Kekalkan perpaduan, hindari perpecahan. Kemajmukan masyarakat menambah keunikan Malaysia sebagai negara yang berdaulat. Tetapi kita diuji dengan pergolakan sesama sendiri sama ada disebabkan keangkuhan, ketamakan atau sifat mementingkan diri. Semailah budi pekerti mulia dan sikap saling menghormati sesama kita. Inilah kunci kemakmuran yang perlu dimiliki oleh setiap rakyat yang dengannya kita akan mampu menjamin perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita perlu mengubah jiwa dan paradigma pemikiran demi meraih kemakmuran berbekalkan keberkatan yang kita usahakan. Kalau kita sebagai pemimpin, kita perlu sentiasa bekerja menggalas amanah dan bermuhasabah terhadap apa yang akan dipersoalkan di hari Pembalasan. Kalau kita sebagai rakyat, kita juga bertanggungjawab memelihara keharmonian dan sedar betapa setiap perlakuan dan pertuturan kita bakal dipersoalkan di hari Perhitungan. Pujuklah minda dan jiwa kita agar sentiasa inginkan kebaikan, bersangka baik, berfikiran baik dan berbuat baik.

Semoga dengan keberkatan segala perkara baik yang kita usahakan akan mengundang rahmat Allah SWT mengiringi kemakmuran dan keharmonian yang dianugerahkan. Berdoalah selalu agar kita sentiasa dibantu dan dipandu dalam usaha menjana kebaikan demi mencapai kemakmuran. Semoga dengan kemakmuran yang terhasil, membantu kita merealisasikan tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah Allah di bumi-Nya ini.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Antara pedoman yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Setiap insan dituntut untuk membangunkan kemakmuran yang perlu dibina di atas dasar kesatuan dan perpaduan. Ia tidak dapat dibina secara bersendirian.

Kedua: Usaha-usaha yang menjadi pemangkin kemakmuran negara perlu dibina seperti memastikan kestabilan politik, memupuk semangat petriorisme dan memelihara perpaduan.

Ketiga: Kemakmuran hanya akan terbentuk dari gabungan jiwa-jiwa insan yang inginkan kebaikan. Ia bermula dengan pembentukan cara berfikir dan perlakuan yang positif.

Di penghujung khutbah marilah kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 112 yang bermaksudnya:

“Dan Allah memberikan satu contoh sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”

(An-Nahl 16:112)

Tarikh Dibaca: 23 Rabiulakhir 1444H/18 November 2022M

Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: