Asmaul Husna yang ke-35 ialah Al-Ghafur yang membawa maksud Tuhan Yang Maha Pengampun, ataupun Tuhan yang suka menutup kesalahan hamba-Nya. Sekiranya suatu dosa dan maksiat yang dilakukan oleh seseorang sudah ditutup oleh Tuhan sehingga tidak ada manusia lain yang mengetahuinya, sewajarnya orang itu segera memohon keampunan daripada Allah SWT.
Kerana dengan tertutupnya keaiban maksiat yang telah dilakukan itu, menunjukkan bahawa Dia bersedia untuk mengampuni dosa hamba-Nya.
Sekiranya orang itu sendiri yang membocorkan keaiban maksiat yang dilakukannya kepada orang lain (mungkin kepada kawan-kawan yang akrab), akan menyebabkan rasa megah dengan kemaksiatan yang dilakukan. Seolah-olah orang itu tidak berhajat kepada keampunan Allah SWT. Buktinya mereka sendiri mendedahkan dosa yang telah ditutup oleh Allah SWT.
Apabila seseorang itu mengetahui bahawa Allah SWT bersifat Al-Ghafur maka sifat itu semestinya dicontohi untuk menjadi dasar hidup seseorang. Mereka sewajarnya bersedia memaafkan kesalahan orang lain meskipun orang berkenaan tidak atau belum meminta maaf daripadanya. Ia lebih mulia berbanding dengan kemaafan yang diberi setelah orang meminta maaf. Setiap pemaaf itu juga akan mendatangkan manfaat yang lebih besar kepada dirinya, kerana Allah SWT juga suka memaafkan dosa orang-orang yang bersifat pemaaf.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply