Kenapa 40 hari? Apa yang 40 hari? Adakah menggunakan daging kambing yang berusia 40 hari? Nampaknya persoalan 40 hari ini masih lagi misteri, tetapi ianya merupakan satu gimik menjadi bagi Restoran Kari Kambing 40 Hari ini kerana restoran ini tidak lekang pengunjung setiap hari.
Jika anda melalui Lebuhraya Utara Selatan ke arah Selatan, restoran ini terletak di sebelah kanan lebuhraya berhampiran Ayer Hitam, Johor. Untuk pergi ke sini, dari arah Johor, ambil simpang keluar Ayer Hitam, pasang Waze, insyaAllah sampai. Dari Melaka, begitu juga, taip sahaja Restoran 40 Hari ke dalam Waze dan tawakkal.

Menu menarik yang dihidang di Restoran Kari Kambing 40 Hari sudah tentulah kari kambingnya! Pelanggan boleh memilih untuk membeli Set Dulang Nasi Arab Kari Kambing (RM64.65) yang cukup untuk 3-4 orang, Set Dulang Nasi Arab Kari Ayam (RM54.05), Set Dulang campuran kari kambing dan ayam, sepinggan Nasi Arab dan Kari Kambing (16.95) dan sepinggan Nasi Arab dan Ayam (14.85). Nasi Arab hadir dengan salad Arab gabungan timun, kobis dan tomato dadu.

Rahsia pelanggan tidak putus-putus di restoran ini ialah kerana rasa unik kari kambingnya. Walaupun digelar kari, yang dihidangkan ialah kari kambing jenis kering, bukan berkuah seperti di mamak dan warnanya yang sedikit gelap berbanding kari yang biasa kita jumpa. Mungkin ada unsur kicap atau rempah istimewa yang diperap di dalam dagingnya, wallahu a’lam. Rasanya perisa tetapi sedikit manis. Apabila daging kambing lembut bersari dipadan dengan nasi Arab berempah dan salad segar, ianya kombinasi yang sangat memuaskan hati.
Restoran ini memang sentiasa penuh walaupun di pertengahan minggu! Jadi, untuk yang ingin singgah, bersiap sedialah dari segi mental kerana takut dah memandu jauh tak berani masuk pula apabila melihat barisan yang panjang. Namun begitu, insyaAllah dipermudahkan kerana restoran ini mempunyai sistem pesanan yang baik dan pantas. Tempat meletak kereta di sini juga terhad, maka, pandai-pandailah mencari ruang untuk kereta anda di tepi-tepi jalan. Tandas dan surau tersedia untuk musafir yang berkelana.
Restoran Kari Kambing 40 Hari
Air Hitam- 86100, Jln Besar, 83700 Yong Peng, Johor
Dibuka setiap hari 730 pagi – 330 petang
Leave a Reply