Kesakitan dan penderitaan tidak semata-mata menghasilkan daya negatif, dan ianya bukanlah sesuatu yang perlu dibenci dan dijauhi. Ada masanya, seseorang memperoleh manfaat melalui penderitaan.
Sebagai manusia, apabila kita merasakan kesakitan yang amat sangat, serta-merta kita akan memohon doa dan mengingati Allah SWT seikhlas hati nurani. Ketika menimba ilmu, para pelajar akan terus-menerus merasakan beban yang berat, kehidupan yang dibelenggu kebosanan, tetapi akhirnya mereka akan melepasi fasa kehidupan ini sebagai seorang daripada golongan cendikiawan. Berat bebanan yang dipikul akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
Denyutan dan kepedihan nafsu, kemiskinan, cemuhan orang, kekecewaan dan kemarahan terhadap ketidakadilan — ini semua mengilhamkan penyair untuk menulis karya indah yang memberi kesan kepada para pembaca. Ini kerana hati mereka sendiri terkesan, dapat dirasai di seluruh saraf dan mengalir di dalam darah. Kesannya, mereka dapat membangkitkan emosi pembaca melalui karya-karya mereka. Begitu banyak pengalaman pahit yang perlu dialami karyawan tersohor, pengalaman yang menginspirasikan ramai manusia, lantas membuatkan masyarakat mampu untuk menikmati faedahnya sehingga ke hari ini.
Pelajar yang menjalani kehidupan penuh selesa, tidak pernah disentuh oleh kesusahan atau derita musibah akan menjadi kurang produktif, dibelenggu malas dan tidak bermaya.
Begitu juga penyair yang tidak pernah mengalami penderitaan dan tidak pernah mengalami kekecewaan akan menghasilkan timbunan karya murahan. Ini kerana bait-bait yang diluahkan dari lidah mereka bukanlah timbul daripada perasaan dan emosi. Walaupun tatkala membaca, ramai yang memahami apa yang ingin disampaikan si penyair, namun hati dan jasad mereka tidak mengalami perasaan yang sama.
Lebih layak dan relevan untuk contoh di atas ialah kehidupan umat Islam terawal, yang hidup di zaman Rasulullah SAW dan mengambil bahagian di dalam revolusi agama terpenting dunia. Sesungguhnya, mereka mempunyai iman yang teguh, hati yang murni, lidah yang bercakap benar, dan pengetahuan yang mendalam berbanding umat seterusnya. Mereka mempunyai semua ini kerana mereka melalui kehidupan penuh ranjau dan penyeksaan, di mana keduanya perlu hadir untuk mencetuskan revolusi hebat.
Mereka merasai kelaparan, kemiskinan, penolakan, penderaan, pembuangan dari rumah dan negara, meninggalkan semua kenikmatan, kelukaan, kematian dan penyeksaan. Mereka ini sebenarnya adalah golongan yang terpilih, golongan elit umat manusia. Merekalah model kesucian, kemuliaan, dan pengorbanan insan.
“Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh – melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
(At-Taubah 9:120)
Dalam sejarah dunia, terdapat golongan yang menghasilkan karya-karya agung yang tercetus akibat kesengsaraan dan penyeksaan yang mereka alami. Al-Mutanabbi menulis beberapa karya terbaik ketika dijangkiti demam yang teruk. Selepas An-Nu’man Ibn Mundhir mengancam untuk membunuh An-Nabighah, An-Nabighah menukilkan beberapa karyanya yang terbaik.
Oleh itu, jangan kita dilanda kerisauan yang melampau apabila memikirkan tentang kesakitan dan jangan pula kita takutkan penderitaan. Mungkin melalui kesakitan itu, kita akan diberi lebih kekuatan.
“Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): “Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal”.”
(At-Taubah 9:46)
Kata-kata khatib yang menyampaikan khutbah bersemangat mampu menembusi jiwa yang paling dalam kerana penyampainya pernah mengalami kesengsaraan dan penderitaan.
“Maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;”
(Al-Fat-h 48:18)
Sekiranya kita ingin mempengaruhi dan memberi kesan kepada orang lain, samada dalam ucapan, karya, atau perbuatan, pertama sekali kita sendiri perlulah merasai semangat tersebut di dalam diri sendiri. Diri kita sendiri perlu mengalami maksud yang ingin disampaikan. Barulah kemudiannya kita dapat memberi kesan kepada orang lain.
“Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”
(Al-Hajj 22:5)
Sumber: Don’t Be Sad by Dr A’id Al-Qarni
Leave a Reply