Berkahwin merupakan bentuk pengabdian seorang isteri kepada suami. Ketaatan kepada suami merupakan kewajipan mutlak bagi seorang isteri, selama ketaatan itu bukan dalam kemaksiatan. Besarnya hak seorang suami ke atas isterinya, dijelaskan dalam beberapa hadith berikut ini.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jika seorang isteri meninggal dunia dan suaminya dalam keadaan redha kepadanya, dia akan masuk syurga.”
Dikisahkan, seorang lelaki akan bepergian jauh. Dia berpesan kepada isterinya agar tidak turun ke lantai bawah rumahnya. Pada suatu hari, ayah perempuan itu yang berada di lantai bawah jatuh sakit. Perempuan itu ingin menziarahi ayahnya yang sakit, namun dia teringat pesanan suaminya. Akhirnya, dia mengirim seorang utusan kepada Rasulullah s.a.w. untuk bertanyakan apa yang seharusnya dilakukan. Lantas Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesan: “Taatilah suamimu!”
Oleh kerana sakitnya semakin tenat, ayah perempuan itu meninggal dunia. Lalu perempuan itu mengirim balas utusan lagi kepada Rasulullah s.a.w. untuk bertanyakan apa yang harus dilakukannya. Rasulullah s.a.w. kembali menyampaikan pesan: “Taatilah suamimu!”
Akhirnya, ayah perempuan itu dikuburkan. Lalu Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesan kepada perempuan tu bahawa Allah telah mengampuni dosa-dosa ayahnya kerana ketaatan dia kepada suaminya.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Neraka telah diperlihatkan kepadaku. Aku melihatnya, lalu nampaklah kebanyakan penghuninya adalah kaum perempuan.”
“Apakah sebabnya, ya Rasulullah?” tanya para sahabat.
“Ini kerana kaum perempuan banyak mencela suami dan melupakan jasa baik mereka,” Rasulullah s.a.w. menjawab.
Dalam hadith lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Syurga telah diperlihatkan kepadaku. Aku melihat kurang sekali kaum perempuan di dalamnya.”
“Di manakah kaum perempuan, ya Rasulullah?” tanya para sahabat.
“Mereka telah disibukkan oleh perhiasan dan pakaian.”
Aisyah r.a. menceritakan bahawa seorang gadis datang kepada Rasulullah s.a.w. Ialu berkata: “Ya Rasulullah, saya akan dilamar, namun saya tidak suka menikah. Apakah hak seorang suami ke atas isterinya?”
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Jika di atas telapak kaki suamimu ada nanah lalu kamu menjilatnya, kamu belum dianggap menunaikan haknya.”
Gadis itu berkata: “Jika demikian saya tidak akan menikah saja.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah begitu. Kamu harus menikah kerana banyak kebaikan di dalamnya.”
Ibn Abbas bercerita bahawa seorang perempuan dari Khath’am datang kepada Rasulullah s.a.w. Lalu dia berkata: “Aku seorang janda yang ingin menikah. Apakah hak suami ke atas isterinya?”
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sebahagian dari hak suami adalah jika dia ‘menghendaki dirimu’, kamu tidak boleh menolak sekalipun saat itu kamu berada di atas belakang unta. Kamu tidak boleh memberikan sesuatu tanpa izinnya. Jika kamu tetap mengerjakan, dosanya bagimu sedangkan pahala bagi suamimu. Janganlah kamu berpuasa sunat tanpa izinnya. Kalau kamu mengerjakan, rasa lapar dan hausmu tidak akan diterima Allah. Jika kamu pergi dari rumahmu tanpa izinnya, malaikat akan melaknatmu sehingga kamu kembali lagi ke rumah atau bertaubat.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seandainya aku memerintahkan seorang isteri untuk sujud kepada manusia, aku pasti akan memerintahkan seorang isteri untuk sujud kepada suaminya, kerana besarnya hak suami ke atas isterinya.”
Baginda juga pernah bersabda: “Waktu terdekat bagi seorang perempuan kepada Tuhannya adalah saat dia berada di rumahnya. Solatnya di halaman rumahnya lebih baik daripada solat di masjid. Solat di dalam rumah lebih baik daripada solat di halaman rumah. Solat di bilik lebih baik daripada solat di rumah. Padahal bilik itu masih terdapat di rumah juga.” (Ini untuk menunjukkan bahawa bilik lebih ditutup).
Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa perempuan itu aurat (tidak boleh dilihat). Jika dia keluar rumah, syaitan akan menghiasinya. Baginda pun berkata bahawa seorang perempuan mempunyai sepuluh aurat. Jika dia menikah, suaminya menutup satu auratnya. Lalu, jika dia meninggal dunia, kubur menutup semua auratnya.
Hak-hak suami ke atas isterinya sangat banyak. Namun, yang paling penting hanya ada dua. Pertama, menjaga diri dan tinggal di rumah. Kedua, tidak menuntut suami dengan sesuatu yang tidak diperlukan dan menjaga diri dari memakan sesuatu dari pekerjaan yang haram. Kebiasaan perempuan salaf, jika suaminya hendak pergi bekerja, mereka berkata: “Jauhilah olehmu mencari pekerjaan dengan cara yang haram. Sesungguhnya kami akan bersabar dengan menahan lapar dan kesukaran, namun tidak dapat bersabar jika dihadapkan kepada api neraka.”
Sekumpulan lelaki bertanya kepada seorang perempuan yang ditinggal bepergian oleh suaminya: “Apakah kamu rela ditinggal pergi suamimu, sedangkan dia tidak meninggalkan nafkah sedikit pun?”
Perempuan itu menjawab: “Sepanjang yang saya ketahui, suami saya hanyalah orang yang boleh makan, bukan pemberi rezeki. Saya mempunyai Tuhan Pemberi Rezeki. Jika orang yang hanya boleh makan pergi, tinggallah bersama saya Pemberi rezeki.”
Di antara kewajipan seorang isteri adalah tidak membazirkan wang suaminya, bahkan seharusnya dia berjimat. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang isteri tidak dibenarkan memberikan makanan tanpa izin suaminya sekalipun kurma basah yang dikhuatiri akan busuk jika tidak dimakan. Jika seorang isteri memberikan makanan di atas izin dan kerelaan suaminya, dia akan memperoleh pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh suaminya. Namun jika dia memberi makanan tanpa izin dan kerelaan suaminya, suaminya akan mendapat pahala sedangkan ia mendapat dosa.”
Orang tua berkewajipan mendidik anak perempuannya tentang ketaatan kepada suaminya. Sebagaimana yang dilakukan oleh Asma’ binti Kharijah al-Farazi. Dia berkata kepada anak gadisnya yang baru menikah: “Wahai puteriku, kini kamu akan meninggalkan rumah tempat kamu dibesarkan. Kamu akan pindah ke rumah orang yang tidak kamu ketahui sebelumnya. Jadilah kamu bumi agar suamimu menjadi langit bagimu. Jadilah kamu hamparan baginya agar dia menjadi tiang bagimu. Jadilah kamu hamba perempuan baginya agar dia menjadi hamba lelaki bagimu. Janganlah kamu menjauhinya. Jagalah hidung, pendengaran dan matanya. Jangan biarkan hidungnya mencium sesuatu darimu kecuali bau harum. Janganlah biarkan dia mendengar sesuatu darimu kecuali perkataan yang baik.
Janganlah kamu biarkan dia melihat sesuatu darimu kecuali keindahan.
Sumber: Mendidik Hati Mendekati Ilahi oleh Imam Al-Ghazali
Leave a Reply