Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan nilai takwa kepada Allah SWT dengan mentaati setiap perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT sebagai kunci memperoleh ganjaran syurga di akhirat kelak.
Di hari yang berbahagia ini, marilah kita menghayati khutbah Jumaat yang bertajuk, “Wakaf Menjamin Pembangunan Ummah”.
Sebelum itu, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita memperbanyakkan amal ibadah dan amalan ketaatan, mengimarahkan masjid dan surau, menunaikan solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti program-program pengimarahan yang dijalankan di samping memastikan ahli keluarga khususnya anak-anak menunaikan kewajipan solat dan sentiasa membaca serta mempelajari al-Quran.
Sebagai tanda kasih sayang sesama insan, marilah kita berterusan menggerakkan amar makruf dan nahi mungkar, menyuburkan persaudaraan di samping memperbanyakkan taubat dan munajat kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT mengurniakan keberkatan, kerahmatan dan kemakmuran kepada negara kita.
Sidang Jemaah yang berbahagia,
Setiap kali apabila membicarakan tentang wakaf, terlintas di fikiran kita insan-insan hebat yang mewakafkan hartanya di jalan Allah SWT demi meraih reda-Nya. Abu Talhah RA, apabila mendengarkan ayat seperti yang dibacakan di permulaan khutbah sebentar tadi, beliau terus mewakafkan kebun Bairuha’ yang paling disayanginya. Ayat tersebut merupakan petikan daripada surah Ali ‘Imran, ayat 92 yang bermaksud :
“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
(Surah Ali ‘Imran, 3: 92)
Wakaf merupakan satu daripada amalan yang sangat dituntut oleh Islam sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sepertimana juga amalan sedekah yang lain, amalan ini telah dijanjikan dengan ganjaran yang amat besar oleh Allah SWT yang berterusan mengalir kepada sesiapa yang melakukannya meskipun setelah meninggal dunia selagi mana harta yang diwakafkan itu dimanfaatkan oleh orang ramai.
Ini bertepatan dengan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim menerusi Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila telah mati seorang manusia, maka terputuslah baginya pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmuyang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”
Saidina Umar RA yang mendapat sebidang tanah di Khaibar, segera mewakafkan tanah tersebut dan hasil daripada tanah wakaf yang diusahakan disedekahkan kepada fakir miskin, kaum kerabat, hamba yang dimerdekakan, orang yang berjihad pada jalan Allah dan musafir yang memerlukan. Begitu juga Saidina Uthman bin Affan RA mewakafkan telaga ar-Rumah yang dibeli daripada seorang Yahudi. Akhirnya telaga tersebut dapat dinikmati oleh sesiapa sahaja secara percuma.
Semasa zaman pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniah, wakaf tunai telah berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan sebagainya kepada masyarakat. Betapa besar peranan wakaf tunai sehingga mampu menampung perbelanjaan untuk pengurusan dan pembangunan sesebuah negara.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Di Malaysia, istilah wakaf sering ditafsirkan oleh sebahagian umat Islam dengan wakaf berbentuk harta tak alih seperti wakaf tanah atau bangunan semata-mata sedangkan harta boleh alih seperti wang tunai juga boleh menjadi instrumen wakaf. Wakaf tunai ialah berwakaf dengan menggunakan wang tunai yang dikumpul di dalam satu tabung amanah di bawah pengurusan pemegang amanah wakaf yang diamanahkan untuk mengurus wakaf ini bagi tujuan kebajikan dan manfaat ummah. Konsepnya adalah dengan mengekalkan wang modalnya dalam bentuk aset kekal kemudian manfaatnya disalurkan kepada penerima.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-77 yang bersidang pada 10 hingga 12 April 2007 telah memutuskan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dalam Islam. Wakaf tunai mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Umum mengetahui bahawa wang tunai lebih mudah diuruskan berbanding harta tetap seperti tanah dan sebagainya. Bentuk fizikalnya yang mudah alih memungkinkan fungsinya dipelbagaikan. Selain boleh digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan, ia juga boleh dikembangkan lagi melalui pelaburan yang diharuskan syarak. Pulangan daripada pelaburan tersebut kemudiannya boleh digunakan untuk projek-projek berkepentingan umum.
Tidak semua individu mempunyai harta tetap yang boleh diwakafkan. Maka, wakaf tunai memberi alternatif kepada umat Islam untuk turut menyumbang ke arah pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam. Tidak kira berapa nilai yang diwakafkan, ianya diterima dan akan diuruskan sebagai harta wakaf. Ini memudahkan mereka yang tidak kira apa jua latar belakang ekonominya dapat melaksanakan ibadah ini secara bersama.
Sedarkah kita, dengan wakaf tunai ini kita dapat memperluas dan memperbanyak lagi pegangan harta umat Islam. Hasil kutipan wakaf tunai akan dijadikan modal untuk membangunkan harta-harta wakaf atau pembelian hartanah yang sedang atau telah dibangunkan.
Ini bermakna, umat Islam mempunyai pegangan aset yang boleh dijadikan sebagai kelestarian dan kelangsungan ekonomi bagi membantu asnaf yang memerlukan.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PWM) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAWIP) merupakan pemegang amanah yang menguruskan wakaf tunai di negeri ini. Wang tunai yang dikumpulkan tersebut kemudiannya akan ditukarkan kepada harta kekal yang dinamakan istibdal dan akan digunakan bagi tujuan kebajikan dan pembangunan ummah.
Umat Islam yang ingin menghulurkan wang tunai bagi tujuan ini bolehlah melakukannya melalui kaunter-kaunter PPZ-MAIWP. Hasil dana wakaf tunai yang diperolehi akan diagihkan kepada sembilan sektor iaitu perumahan dan hartanah, pendidikan, sosial, sains dan teknologi, kesihatan, ekonomi, budaya, latihan dan kecemasan. Dengan adanya pihak yang berautoriti menguruskan harta wakaf, diharapkan usaha untuk menggalakkan masyarakat mengiktiraf wakaf sebagai sistem yang diyakini berpotensi untuk menggerakkan pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat Islam akan tercapai.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Antara pedoman yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Amalan wakaf sangat dituntut oleh Islam. Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui penyerahan harta untuk manfaat umat Islam.
Kedua: Fahami dan tingkatkan ilmu pengetahuan mengenai amalan wakaf yang bukan hanya tertumpu pada harta tidak alih tetapi ia juga boleh dilakukan melalui sumbangan wang tunai sebagai wakaf tunai.
Ketiga: Ambillah peluang untuk berwakaf walaupun dengan hanya menyumbang wang yang sedikit melalui saluran yang betul supaya manfaat daripadanya dapat digunakan bagi pembangunan ummah.
Di penghujung khutbah marilah kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
“Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
(Surah al-Baqarah 2:261)
Tarikh Dibaca: 7 Jamadilawal 1444H/2 Disember 2022M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply