Hak-Hak Seorang Isteri

Hak-hak isteri ke atas suami sangat banyak, di antaranya, suami harus memperlakukan mereka dengan akhlak yang baik, menerima dengan sabar perlakuan mereka yang menyakitkan dan menyayangi mereka atas kekurangan.

Allah s.w.t. Berfirman yang bererti: 

“Pergaulilah mereka dengan baik.” (An-Nisa’ 4:19)

Lalu, mengenai besarnya hak mereka, Allah berfirman yang bererti:

“Mereka telah mengambil dari kamu perjanjian yang teguh” (An-Nisa’ 4:21)

Allah s.w.t. Berfirman yang bererti:

“Teman dalam perjalanan.”  (An-Nisa’ 4:36)

Perempuan termasuk salah satu dari tiga perkara yang diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w.  sesaat sebelum meninggal, baginda berwasiat: 

“Jagalah solat. Perhatikan hamba yang kamu miliki, janganlah mereka diberi beban diluar kesanggupannya. Bertakwalah kamu dalam menghadapi perempuan, mereka adalah tawanan yang berada dalam kekuasaan kamu; kamu telah menahannya dengan amanat Allah dan telah halalkan alat kelaminnya dengan kalimat Allah.” 

Rasulullah s.a.w. bersabda: 

“Barangsiapa bersabar di atas keburukan akhlak isterinya, Allah akan memberinya pahala sebagaimana pahala yang diberikan kepada Nabi Ayub a.s. di atas kesabarannya menanggung ujian.” 

Baginda juga bersabda: 

“Barangsiapa bersabar di atas keburukan akhlak suaminya, Allah akan memberinya pahala sebagaimana pahala yang diberikan kepada Asiyah isteri Firaun.”

Yang termasuk akhlak baik seorang suami adalah bersikap sabar di atas perbuatan isterinya yang menyakitkan, bukan menjauhinya. Lalu, bersikap lembut di atas kecerobohan dan kemarahan mereka dalam rangka meneladani sunnah Rasulullah s.a.w. Baginda pun biasa bersabar menghadapi kecerewetan dan bantahan isteri-isterinya, sehingga salah seorang dari mereka tidak mahu berbicara dengan baginda sehingga sehari semalam.

Isteri Umar ibn al-Khattab pada suatu hari membantahnya. Umar berkata: “Sungguh berani kamu membantahku!”

Isteri Umar berkata: “Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. pun membantah baginda, padahal baginda lebih baik darimu.”

Umar berkata: “Sungguh celaka Hafsah, jika dia pun membantah Rasulullah s.a.w.”

Umar berkata kepada Hafsah: “Janganlah kamu dihasut oleh Aisyah. Dia adalah kecintaan baginda dan perempuan yang sangat ditakuti bantahannya.”

Diriwayatkan, Aisyah membantah Rasulullah s.a.w. Ibu Aisyah tentu saja marah melihat perilaku puterinya itu terhadap Nabi s.a.w. Namun, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Biarkanlah dia, kerana dia ingin melampiaskannya lebih banyak lagi. Ketika itu, masuklah Abu Bakar. Lalu Rasulullah, berkata kepada Aisyah: “Siapa yang akan berbicara terlebih dulu, kamu atau aku?” Aisyah berkata: “Silakan, namun anda janganlah mengatakan kecuali yang sebenarnya.”

Mendengar sikap Aisyah seperti itu kepada Rasulullah  s.a.w. Abu Bakar menempelengnya hingga mulut Aisyah berdarah.  Lalu Rasulullah s.a.w. menarik Aisyah ke belakangnya sambil berkata kepada Abu Bakar: “Bukan untuk hal ini kami mengundang anda. Kami pun tidak berharap anda melakukan hal ini.”

Pada suatu waktu, Aisyah marah-marah kepada Rasulullah s.a.w. sehingga dia berbicara di luar batas: “Kamukah yang mengaku seorang Nabi?”

Mendengar perkataan Aisyah, baginda hanya tersenyum dengan penuh kesabaran. Lalu baginda bersabda: “Aku tahu saat kamu marah dan saat kamu redha.”

Aisyah berkata: “Bagaimana kamu mengetahui hal itu? 

“Jika kamu redha, kamu berkata, “Tidak, demi Tuhan Muhammad.”

Akan tetapi, jika kamu marah, kamu berkata, “Tidak, demi Tuhan Ibrahim,” jawab Rasulullah s.a.w.

Lantas Aisyah berkata: “Engkau benar. Aku memang menghindari namamu jika sedang marah.”

Rasulullah s.a.w.berkata kepada Aisyah: “Aku bagimu seperti Abu Zar’in kepada Ummu Zar’in. Hanya saja aku tidak menceraikanmu.”

Baginda juga pernah berkata kepada para isterinya:  “Jangan kamu menyakiti aku disebabkan Aisyah,  kerana demi Allah,  tidak turun wahyu Allah kecuali saat aku sedang berada di samping Aisyah.” 

Anas r.a. Berkata bahawa Rasulullah s.a.w. Adalah orang yang berkasih sayang terhadap kaum perempuan dan anak-anak.  Dari sifat kasih sayangnya, baginda bersabar atas gangguan mereka, bermain dan bergurau-senda sehingga menyenangkan mereka. Baginda pernah berlumba lari dengan Aisyah. Pada suatu saat, Aisyah memenangi pertandingan itu, dan pada saat lainnya bagindalah yang memenanginya. Lalu baginda bersabda: “Kemenanganku kali ini untuk menebus kekalahanku tempoh hari.”

Rasulullah s.a.w. adalah orang yang akan menyenangkan isteri-isterinya. Aisyah bercerita bahawa pada suatu hari dia mendengar suara orang-orang Habsyah sedang mengadakan suatu permainan pada hari ‘Asyura.  Beliau berkata kepadanya: “Apakah kamu ingin melihat permainan mereka?”

“Ya,” jawab Aisyah.

Kemudian beliau memanggil mereka agar bermain berdekatan rumahnya. Setelah itu, beliau berdiri di antara dua pintu lalu memanjangkan tangannya.

“Aku berdiri sambil menyandarkan daguku ke tangan beliau sehingga aku boleh melihat permainan mereka,” kata Aisyah. Baginda berkata: “Aisyah, sudah cukup?”

“Sebentar lagi, dua atau tiga kali,” kata Aisyah. 

“Aisyah, sudah cukup?” kata beliau lagi.

“Ya, sudah cukup,” jawab Aisyah.

Lalu baginda memberi isyarat kepada orang-orang Habsyah itu agar mengakhiri permainannya. Mereka pun kemudian berlalu. Baginda bersabda: “Orang mukmin yang sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya dan yang paling lembut kepada keluarganya.”

Selain itu, baginda pernah bersabda: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik kepada isterinya dan akulah yang paling baik kepada isteriku.”

Umar r.a. yang terkenal akan kekuatan wataknya berkata bahawa seorang lelaki  harus bersikap seperti seorang anak dalam keluarganya. Namun, jika mereka meminta pertolongan, dia tampil sebagai seorang lelaki sejati. Luqman Al-Hakim juga berkata demikian, bahawa seorang suami harus  bersikap seperti anak kecil dalam keluarganya. Namun, di tengah kaumnya dia tampil sebagai seorang lelaki sejati.

Dalam tafsir al-Khabar al-Marwi, dikatakan bahawa Allah sangat membenci seorang suami yang berwatak kuat dan sombong dalam keluarganya. 

 Seorang perempuan Arab menyifatkan suaminya yang sudah meninggal: “Demi Allah, suamiku adalah seorang periang jika ada di rumah, seorang pendiam jika pergi ke luar. Dia mahu makan apa saja tanpa bertanya tentang sesuatu yang tidak ada. Dia senang bergurau-senda dan baik akhlaknya, namun dia tidak melakukan sesuatu yang dapat menjatuhkan wibawanya.”

 Al-Hasan berkata bahawa tidaklah seorang suami menurut kemahuan hawa nafsu isterinya kecuali Allah pasti memasukkannya ke dalam neraka. Umar r.a. berkata: “Janganlah kamu  menurut kemahuan hawa nafsu isteri kamu agar mendapat berkat.”

Dikatakan, ada saat untuk bermusyawarah dengan isteri dan ada saat untuk menolak keinginan mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Celakalah seorang suami yang menjadi hamba kepada isterinya.”

Yang baginda maksudkan adalah jika seorang suami menurut kemahuan hawa nafsu isterinya, bererti dia adalah hambanya Dia dikatakan celaka, kerana dia telah memutar balikkan hak telah diberikan Allah itu. Allah telah memberi kekuasaan kepada seorang suami untuk mengatur isterinya, bukan sebaliknya. Jika terjadi demikian, sebenarnya dia telah mengikut jejak syaitan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“(Syaitan berkata), Mereka pasti akan ku suruh untuk mengubah makhluk ciptaan Allah.” (An-Nisa’ 4:119)

Hak seorang suami adalah ditaati oleh isterinya. Oleh kerana Allah menamakan kaum lelaki dengan al-qawwamuna ‘ala an-Nisa’, iaitu menjadi pemimpin kaum perempuan. Dalam ayat lain, Allah menamakannya dengan sayyid, ertinya tuan, sebagaimana firman-Nya yang bererti:

“Mereka berdua (Yusuf dan Zulaikha) mendapati tuannya (suami Zulaikha) berada di muka pintu.” (Yusuf 12:25)

Sumber: Mendidik Hati Mendekati Ilahi oleh Imam Al-Ghazali

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: