Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Barangsiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal bagi menghindari daripada perbuatan meminta-minta, dan dengan tujuan menjaga keperluan kaum keluarga tanggungannya, serta dengan tujuan untuk menjaga hubungan baik dengan jiran dan rakan temannya, maka orang itu di akhirat kelak akan bertemu dengan Tuhan-Nya dengan wajah yang berseri-seri bagai bulan purnama. Barangsiapa yang mencari harta yang halal, tetapi semata-mata bagi menambah harta yang sedia ada sekadar untuk menjadi kaya, dengan tujuan untuk berbangga dan menunjuk- nunjuk, maka orang itu akan bertemu dengan Allah di akhirat kelak dengan keadaan Allah murka terhadapnya.”
HR Al-Baihaqi
Islam juga telah memberi jalan bagaimana hendak menjadikan benda-benda yang dianggap tidak berharga di dunia ini boleh dipergunakan untuk menyelaraskan kehidupan manusia. Sampah yang terbuang sekalipun jika pandai mengolahnya pasti akan menjadi barang yang berguna.
Pada dunia yang disifatkan tidak berguna itu boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu dunia yang halal dan yang satu lagi ialah dunia yang sebaliknya. Dalam hadis riwayat al-Baihaqi tadi, Rasulullah S.A. W menyatakan bahawa usaha mencari dunia dengan cara yang halal serta bagi tujuan yang mulia, boleh mendatangkan natijah yang baik.
Syarat yang pertama dan utama dalam usaha pencarian harta dunia itu bukan sekadar dengan cara yang halal, malah barang yang diusahakan itu juga mesti halal. Justeru, menuntut yang halal itu adalah suatu kewajipan, kerana di dalam suatu hadis yang lain Rasulullah S.A. W juga pernah bersabda yang bermaksud;
“Berusaha mencari yang halal itu suatu kefarduan.”
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Nukman bin Basyir R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itupun nyata, antara keduanya itu terdapat perkara yang kesamaran (syubhat) tidak diketahui oleh banyak manusia, maka barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya.”
Hadis tersebut dengan jelas menyatakan bahawa bukan sekadar wajib mencari yang halal, tetapi juga memelihara diri dari terjatuh ke dalam perkara yang syubhat juga akan merosakkan agama seseorang dan menjatuhkan kehormatan mereka. Dengan itu jelaslah bahawa mencari yang halal dan menghindarkan yang haram serta syubhat in merupakan kewajiban yang terpokok.
Selain itu mencari harta akan menjadi suatu usaha yang murni sekiranya mempunyai tujuan yang murni, seperti yang telah dijelaskan dalam hadis al-Baihaqi itu. Antara tujuan murni itu ialah bagi menghindarkan diri daripada meminta-minta kerana perbuatan meminta sedekah itu sangat hina daripada kaca mata Islam.
Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W mentarbiyah ahli suffah yang menghuni Masjid Nabawi di Madinah, sekalipun mereka tidak punya harta benda sehingga perut mereka sering dilanda kelaparan. Dalam keadaan mereka sekali-kali tidak merelakan menadah tangan dan meminta-minta, namun oleh kerana baginda berjaya mendidik para sahabat yang suka membantu dan menolong orang lain, menyebabkan ahli suffah sentiasa mendapat perhatian dan simpati.
Rasulullah S.A.W menyatakan dalam sebuah hadisnya;
“Yadul ‘ulya khairun min yadis-sufla”
Maksudnya; “Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih mulia daripada tangan yang di bawah (tangan yang menerima).”
Seseorang wajib berusaha untuk mengelak daripada terjatuh ke tahap hina disebabkan ketiadaan harta milik sehingga menjadi peminta sedekah, kerana meminta sedekah bukan suatu budaya orang Islam, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai tanggungan isteri dan anak- anak. Wajarkah menanggung isteri dan anak dengan hasil meminta sedekah? Sedangkan Allah masih menurunkan rezeki kepada setiap makhluk-Nya.
Justeru mencari harta yang halal bagi menanggung nafkah isteri dan anak-anak adalah antara tujuan yang murni, kerana sebagai manusia pasti mempunyai keperluan untuk hidup berkeluarga, makan minum, pakaian, pelajaran dan tempat tinggal untuk berteduh daripada panas dan hujan. Segala-galanya perlu disediakan dengan keupayaan kewangan atau harta yang mencukupi.
Antara tujuan yang baik ialah menjaga hubungan dengan jiran, membantu jiran dalam kesusahan atau memerlukan pertolongan wang ringgit. Islam sering menekankan betapa pentingnya soal kejiranan, memuliakan jiran tanpa mengira keturunan dan fahaman serta agama yang menjadi anutan hatta orang kafir sekalipun (selain daripada kafir harbi).
Seseorang yang berusaha mencari harta, apabila mereka memiliki harta kekayaan maka mereka diajar agar menganggap bahawa dalam harta yang berada di tangannya itu adalah menjadi milik kepada banyak pihak. Harta itu akan dikongsi antara dirinya, kaum keluarga di bawah tanggungannya, jiran tetangga, jemaah Islam dan beberapa pihak lagi, seperti yang ditunjukkan dalam sistem zakat Islam.
Sayugia diingat, meskipun seseorang itu mencari harta melalui cara yang halal, namun andainya ia sekadar didorong untuk memenuhi nafsu ingin menghimpun harta, di samping berbangga dan bermegah dan menunjuk-nunjuk kekayaan itu, maka kesenangan itu telah memperdaya dirinya.
Kekayaan hanya sementara, akhirnya setelah dia dijemput oleh maut, maka harta yang dibanggakan itu tidak memberikan sebarang perlindungan daripada berbagai fitnah kubur. Di akhirat pula ketika mereka bersua dengan Tuhan dalam keadaan Tuhan amat murka terhadapnya.
Betapa pula jika harta itu dicari dengan cara yang menyalahi peraturan Islam, seperti berniaga dengan melibatkan riba, menipu atau rasuah, maka kekayaan itulah yang akan menjadi pembakar api neraka.
Sesungguhnya dunia yang tidak ada nilainya di sisi Allah itu boleh menjadi punca seseorang itu bertemu dengan Tuhan di akhirat dengan wajah gemilang seperti bulan purnama kerana mendapat keredaan Allah, sebaliknya harta dunia juga akan menjadi punca kemurkaan Allah sekiranya tidak mengikut cara dan tujuan yang dibenarkan oleh Islam.
Sumber: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply