Jom Kenali Malaikat – Antara Sebab Malaikat Melaknat

Para malaikat adalah hamba Allah s.w.t. yang suci, terpilih dan memiliki kedudukan yang tinggi lagi mulia di sisi-Nya. Hamba Allah ini sentiasa berada di sisi-Nya dan melaksanakan segala perintah-Nya tanpa pernah membantah sehingga mereka pun akan mengikut apa yang ditetapkan Allah tanpa merasa terpaksa dan dipaksa. 

Apabila Allah s.w.t. melaknat seseorang kerana perbuatannya, maka secara serentak para malaikat pun turut melaknat orang tersebut. Begitu juga sebaliknya, apabila Allah s.w.t. mencintai seorang hamba, maka para malaikat pun serentak mencintai hamba tersebut, sebagaimana telah dijelaskan dalam sebuah hadis Qudsi dalam perbahasan yang telah lalu.

Allah s.w.t. berfirman:

“Bagaimana Allah akan memberi pertunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas dan nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim. Mereka itu, balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya serta sekalian orang-orang (yang beriman). Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.”

(Surah Al-Imran 3:86-88)

Allah s.w.t. berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.”

(Surah al-Baqarah 2:161)

Kafir di dalam ayat tersebut boleh bersifat maknawi dan juga hakiki. Ertinya, perkara itu dilihat dari betapa hampir perbuatannya dan bukan pada apa agamanya. Oleh yang demikian, sesiapa pun, baik lelaki atau perempuan sudah berakal dan dewasa, dia akan dibebani dengan beban taklif, sehingga apabila melakukan kufur pada Allah s.w.t. maka termasuk dalam khitbah ayat di atas. Dan perbuatan itu akan mengundang hadirnya laknat Allah s.w.t., para malaikat-Nya, dan seluruh manusia. Na’udzu billahi min dzalik.

Menurut Syeikh Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kitabnya ‘Alam al-Malaikah al-Abrar, yang dipetik oleh Abdul Hamid Kisyik, dengan sedikit perubahan, bahawa para malaikat bukan hanya melaknat orang kafir sahaja, tetapi kadangkala juga melaknat orang yang melakukan dosa tertentu, di antaranya seperti berikut:

a. Orang yang menghalang pelaksanaan syariat

Di dalam kitab Sunan an-Nasa’i, Abu Daud, dan Ibnu Majah diriwayatkan dengan sanad yang sahih, dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa membunuh secara sengaja maka dihukum dengan hukuman qisas. Sesiapa yang menghalang antara dia dengan dia (yang membunuh dan yang terbunuh), maka dia mendapat laknat Allah s.w.t., para malaikat dan seluruh manusia.”

(HR. an-Nasa’i, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Orang yang menghalang pelaksanaan hukum Allah s.w.t. dalam membunuh, sedangkan si pembunuh secara sengaja melakukannya kerana kuasa dan hartanya, maka dia mendapat laknat ini. Perkara ini mengandungi pesanan bahawa sesiapa pun yang berniat, bertujuan dan bermaksud serta bertindak untuk menghalang diterapkan seluruh syariat Allah dan Rasul-Nya, maka dia akan termasuk di dalamnya.

b. Yang melindungi orang yang mengada-adakan dalam ajaran agama

Orang yang dilaknat para malaikat, sebagaimana juga dilaknat Allah s.w.t., adalah mereka yang mengada-adakan ajaran agama Allah dengan tujuan dan maksud agar dapat keluar dari hukum-Nya dan memusuhi apa yang telah disyariatkan-Nya atau yang melindungi orang yang mengada-adakan, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih, berikut ini:

“Sesiapa yang mengada-adakan suatu perkataan atau melindungi orang yang mengada-adakannya, maka dia mendapat laknat Allah s.w.t., para malaikat-Nya dan seluruh manusia.”

(HR. Abu Daud, an-Nasa’i dan al-Hakim)

c. Laknat mereka kepada orang yang mencaci-maki sahabat Rasulullah s.a.w.

Di dalam Mu’jam at-Tabrani dalam kitab al-Kabir dari Ibnu Abbas r.a. dengan isnad hasan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang mencaci-maki dan mengumpat para sahabatku, maka dia mendapat laknat Allah s.w.t., para malaikat dan seluruh manusia.” 

d. Para malaikat melaknat isteri yang tidak memenuhi ajakan suaminya

Dikeluarkan oleh Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a., dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jika seorang isteri meninggalkan tempat tidur suaminya, dia dilaknat oleh para malaikat sehingga dia kembali.”

(HR. Bukhari)

Di dalam riwayat lain, disabdakan pula:

“Jika seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu dia (isteri) merasa enggan memenuhi ajakannya, maka para malaikat melaknatnya sehingga waktu pagi.”

(HR. Bukhari)

Di dalam riwayat ketiga yang dikeluarkan Imam Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila seorang suami memanggil isterinya untuk datang ke tempat tidurnya (mengajak bersetubuh), namun dia tidak pergi padanya, sehingga suaminya itu tidur malam dalam keadaan marah kepadanya, maka dia dikutuk para malaikat sehingga waktu Subuh.”

(HR. Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis tersebut, dikatakan bahawa para malaikat sentiasa mengutuk orang yang melakukan maksiat selagi dia masih berada tetap dalam kemaksiatannya. Perkara ini juga menunjukkan bahawa para malaikat juga mendoakan orang yang taat, selama orang tersebut masih tetap dalam ketaatannya. Hadis itu menunjukkan dikabulkannya doa para malaikat, baik doa untuk kebaikan atau pun doa untuk keburukan, kerana Rasulullah s.a.w. memperingatkan dengan keras kepada umatnya akan perkara itu. Selain itu, di dalam hadis tersebut, juga terdapat petunjuk kepada isteri agar sentiasa menolong suami dan meminta keredhaannya. 

Perkara itu disebabkan kesabaran suami untuk meninggalkan jimak (bersenggama) lebih lemah daripada kesabaran seorang wanita. Dikatakan juga bahawa kelemahan paling kuat yang menguasai seorang lelaki sentiasa terarah pada keinginannya untuk berkahwin dan memenuhi hasrat seksualnya. Oleh itu, syariat sentiasa memberikan dorongan kepada golongan wanita agar sentiasa menolong golongan lelaki (suaminya) dalam soal memenuhi nafsu tersebut.

e. Para Malaikat Rahmat dan Malaikat Kemarahan melaknat wanita yang keluar rumah tanpa izin suaminya

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. dia berkata:

“Aku melihat seorang wanita pergi berjumpa Rasulullah s.a.w. dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, apakah hak seorang suami pada isterinya?’ Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Haknya pada isterinya adalah hendaklah jangan keluar dari rumahnya kecuali dengan izinnya. Jika dia melakukannya, maka Allah s.w.t., Malaikat Rahmat, serta Malaikat Kemarahan akan melaknatnya sehingga dia bertaubat.”

(HR. Abu Daud, at- Tayalisi dan al-Bazzar)

f. Para malaikat melaknat orang yang mengacukan besi kepada saudaranya

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahih- nya dari Abu Hurairah r.a., dia berkata bahawa Abul Qasim s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang mengacukan besi kepada saudaranya, maka para malaikat melaknatnya. Sekali pun saudaranya itu saudara sebapa dan seibu (adik beradik kandung).”

(HR. Muslim)

Para ulama berkata bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Fainnal malaikata tal’anuhu,” merupakan kenyataan larangan secara umum kepada setiap orang, baik itu penuduh atau bukan penuduh, bersifat main-main atau serius. Ini kerana menakut-nakutkan seorang muslim adalah haram mutlak. Para malaikat melaknat pada orang yang melakukannya menunjukkan perbuatan tersebut haram.

Ibnu Arabi berkata, “Jika orang yang mengacukan besi sahaja sudah dilaknat, lalu bagaimana dengan yang terus mengenainya? Seseorang mendapat laknat kerana sikap mengacu-acu itu sudah merupakan satu ancaman, baik itu dilakukan secara bersungguh-sungguh atau pun hanya untuk main-main, seperti yang telah diterangkan sebelumnya. Di samping itu, sikap main-main yang diperlihatkan sudah menimbulkan rasa takut pada diri saudaranya. Bukan rahsia lagi bahawa dosa yang main-main berada di bawah dosa yang serius.”

Para malaikat melaknat dalam hadis di atas menunjukkan akan haramnya perbuatan ini kerana telah menimbulkan rasa takut, khuatir dan trauma pada diri saudaranya atau orang lain yang menyaksikannya. Ini kerana lebih sering disesatkan oleh syaitan, sehingga dia benar-benar mencederakan dan membunuh saudaranya. Lebih-lebih lagi, jika senjata yang digunakan untuk mengacu-acu itu adalah senjata moden yang kadang-kadang boleh sahaja diaktifkan hanya dengan satu kesalahan kecil, atau sentuhan yang tidak disengajakan sehingga membawa akibat maut pada jiwa orang lain. Bukankah sudah berapa banyak peristiwa seperti ini berlaku?

Sumber: Biografi Malaikat – Mendapat kesempurnaan Iman, Interaksi dan Persahabatan Dengan Para Malaikat Allah SWT, Rachmat Ramadhana al-Banjari

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: