Bentengi Iman dengan Lima Kekuatan

“Iman mempunyai benteng bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, iaitu yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah beramal, bertatasusila ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.”

-Imam Syafi’i-

Lima Benteng Kekuatan

Sebutir biji benih yang kita semai, kita harapkan ia tumbuh, membesar, dan berbuah mesti dipagari bagi mengawal ia daripada serangan musuh. Tanpa pagar yang kukuh dan sempurna, musuh-musuh tanaman akan merosakkan biji benih yang disemai. Kita pula tidak akan memperoleh hasilnya lagi. Pada waktu itu, jangan pula disalahkan musuh-musuh itu, tetapi salahkan diri sendiri yang tidak menjalankan tugas mengawal tunas yang tumbuh.

Begitulah ibarat yang dapat difahami. Iman itu selepas diusahakan mencari dan menyuburkannya, wajib pula kita mengawal dan membentengi ia daripada serangan musuh-musuh yang merosakkan iman. Tanpa pagar ataupun benteng yang kukuh, pasti iman terancam oleh musuh, iaitu nafsu dan syaitan.

Antara 5 benteng iman adalah: Yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah dan bertatasusila ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.

Yakin

Benteng pertama dan paling penting adalah yakin. Kita perlu yakin kerana yakin itu yang menjamin sahnya iman seseorang individu. Apa yang perlu kita yakini? Iaitu rukun iman yang enam dan segala hal yang berkaitan dengannya. Yakin dengan rukun iman adalah syarat penting sahnya iman. Apabila satu perkara sahaja tidak diyakini, walaupun yang lain diyakini, ini membawa kepada kerosakan iman.

Keyakinan adalah perlu dan penting. Oleh itu, kita wajib belajar dan berusaha menyuburkan keyakinan kita. Jangan biarkan keyakinan dicelahi oleh keraguan walaupun sedikit. Keraguan mesti dilawan dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata. Syaitan dan nafsu sentiasa menyuruh dan mempengaruhi akal untuk berasa ragu-ragu dan mewaswaskan kita. Tanpa ilmu yang benar dan menyeluruh, kita terperangkap dalam perangkap syaitan. Apabila kita terperangkap dalam jerat syaitan berkenaan soal-soal keyakinan, maka segala pahala amal terhapus. Lalu, terhapuslah iman.

Apabila perkara seperti itu berlaku, kita akan mati sebagai orang yang tidak beriman dan kekal di neraka. Bagi mengelak daripada terjebak dengan nasib seburuk itu, kita perlu berusaha dari sekarang bagi mendirikan benteng iman paling utama, iaitu yakin.

Untuk itu, kita perlu mempunyai ilmu, iaitu ilmu tauhid yang menjadi ilmu fardhu ain. Dengan ilmu tauhid sahaja kita dapat menolak segala hasutan syaitan tidak pernah putus asa berjuang bagi menghapuskan iman kita.

Ikhlas

Benteng iman yang kedua adalah ikhlas. Seperti yakin, ikhlas juga begitu penting. Tanpa ikhlas, amalan tertolak. Apabila kita ikhlas, Allah s.w.t. menerima segala amalan yang dilakukan. Ikhlas adalah meniatkan sesuatu yang dilakukan ataupun yang ditinggalkan kerana Allah s.w.t. Jikalau tidak diniatkan kerana Allah s.w.t., maka amalan itu tidak dianggap sebagai ikhlas, tertolak, dan tidak ada nilai di sisi Allah s.w.t.

Sebenarnya, ikhlas itu adalah rahsia Allah s.w.t. yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Tetapi walaupun rahsia, Islam mengadakan garis panduan untuk kita mengukur hati dan membentuk diri supaya benar-benar ikhlas.

Caranya, orang puji ataupun keji, kita rasa sama sahaja. Pujian tidak membanggakan dan kejian tidak mengecewakan kita. Itu adalah tanda ikhlas.

Pada orang yang ikhlas, mereka tidak mengharapkan sesuatu melainkan keredhaan Allah s.w.t. Pandangan dan pujian manusia langsung tidak diendahkan.

Pernah pada suatu masa dalam peperangan, muka Saidina Ali r.a. diludah oleh seorang musuh. Namun, terus dilepaskan peluang membunuh musuh itu. Apabila ditanya mengapa beliau melepaskan musuh itu sedangkan musuh itu meludah mukanya. Saidina Ali r.a. menjawab, “Aku takut jikalau pukulan aku sesudah ludahnya itu adalah kerana marah, bukan kerana Allah.”

Demikian contoh orang ikhlas yang sanggup mengenepikan kepentingan diri dalam usaha mencari keredhaan Allah s.w.t.

Iman itu selepas diusahakan mencari dan menyuburkannya, wajib pula mengawal dan membentengi ia daripada serangan musuh-musuh yang akan merosakkan iman. Tanpa pagar ataupun benteng yang kukuh. pasti iman terancam oleh musuh, iaitu nafsu dan syaitan.

Mengerjakan amalan sunat

Selain daripada itu, kita perlu banyak melakukan amalan-amalan sunat seperti bersolat sunat, membaca Al-Quran, dan bersedekah bagi menguatkan iman. Selain mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan supaya memperbanyakkan amalan sunat. Ini kerana:

Amalan sunat menyempurnakan amalan wajib dan meninggikan pangkat dan darjat di syurga. Dalam melaksanakan amalan sunat kita perlu ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.

Contohnya, kerana hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat ataupun tertinggal solat subuh. Ataupun banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat, tetapi tidak menjalinkan silaturahim sesama manusia. Ini kerana, hukum bersilaturahim itu adalah wajib dan perlu dilaksanakan dahulu.

Oleh itu, sering kita lihat individu-individu yang banyak melakukan amalan-amalan sunat, tetapi masih terlibat dengan maksiat. Mereka tertipu kerana meninggalkan maksiat itu lebih utama daripada melakukan amalan sunat. Jikalau kita solat tahajud tetapi masih melakukan maksiat, maka lebih baik tidak tahajud asalkan tidak melakukan maksiat. 

Ertinya, amalan sunat itu tidak ada nilai di sisi Allah s.w.t. jikalau kita masih menderhaka kepada-Nya.

Istiqamah beramal

Sikap istiqamah atau tetap beramal itu adalah satu daripada benteng iman. Individu yang memiliki sifat ini dapat mengawal iman mereka daripada dicemari oleh musuh-musuh iman yang mahu merosakkannya. Perkara penting dalam beramal ibadah adalah mengekalkan amalan itu (istiqamah) walaupun sedikit. Nabi s.a.w. berkata:

“Sebaik-baik amalan itu adalah amalan yang kekal walaupun sedikit.”

Dalam hadith qudsi, Allah s.w.t. menyatakan:

“Wahai hamba-Ku, mengapa kamu berasa jemu beramal sedangkan Aku tidak pernah jemu memberi pahala kepada kamu.”

Musuh kita, iaitu syaitan dan nafsu tidak pernah berehat dan jemu bagi menghancurkan kita. Dengan istiqamah, barulah pertahanan kita seimbang terhadap musuh. Ertinya, kita juga tidak berehat dalam mempertahankan iman.

“Banyakkan melakukan ibadah dan kebaikan walaupun sedikit kerana kita tidak tahu amalan mana yang dinilai oleh Allah s.w.t.”

Disiplin

Dalam beribadah, kita perlu bertatasusila dan tertib kerana itu adalah adab sopan apabila melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. Perkara ini penting dalam kita melakukan ibadah kerana ulama tasawuf sepakat mengatakan:

“Yang banyak menjauhkan hamba itu daripada Allah s.w.t. bukan kerana tidak cukupnya ilmu dan amal. Tetapi kerana kurangnya adab dalam melaksanakan ilmu dan amal.”

Bayangkan apabila kita berhadapan dengan raja dengan bercekak pinggang dan bersuara tinggi, tentu kita dihukum kerana bersikap biadab kepada raja. Cuba bayangkan kita dengan raja sekalian raja, iaitu Allah s.w.t. yang disembah dan dihadapkan muka ketika solat. Kita lalai kepada-Nya. Kita berjanji dalam doa iftitah, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” Jangan mungkir janji kepada Allah s.w.t.

Tetapi selepas solat, dengan selamba dan tanpa rasa malu, kita memungkiri janji kepada Allah s.w.t. Oleh itu, semakin kita melakukan ibadah, semakin jauh kita dengan Allah s.w.t. Semakin banyak solat, semakin banyak maksiat yang kita lakukan. Ini berpunca daripada kurangnya adab kita dengan Allah s.w.t.

Oleh itu, kita perlu menghalusi ibadah dan akhlak semasa berhadapan dengan Allah s.w.t. dan ketika berhadapan dengan makhluk ciptaan-Nya. Sesiapa yang mengasihi makhluk di bumi, maka dia akan dikasihi oleh penduduk langit.

Sumber: 30 Wasiat Imam Syafi’i oleh Khairul Ghazali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: