Teks Khutbah Jumaat: Zakat Diperkasa Asnaf Terbela

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mengamalkan seluruh syariat Islam di dalam kehidupan di samping taat mengerjakan segala kefarduan dan menghindari segala kemungkaran. Semoga kehidupan kita sentiasa dirahmati dan diberkati di dunia hingga akhirat.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Zakat Diperkasa Asnaf Terbela”.

Sebelum itu, sebagai peringatan kita bersama, marilah kita memperbanyakkan amal ibadah dan amalan kebajikan, mengimarahkan masjid dan surau, menunaikan solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti program-program pengimarahan. Di musim cuti persekolahan ini, awasilah aktiviti anak-anak di rumah mahupun di luar, sentiasalah mengingatkan mereka agar menjaga solat dan membaca al-Quran di samping memenuhi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat.

Di samping itu marilah kita beristiqamah melakukan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tanda persaudaraan sesama insan. Sebagai hamba Allah SWT yang tidak terlepas daripada melakukan dosa, marilah kita melazimi istighfar dan bertaubat kepada-Nya. Semoga Allah SWT memberkati hidup kita di dunia hingga akhirat.

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Kita semua ketahui bahawa zakat ialah rukun Islam ketiga dan wajib ditunaikan ke atas beberapa jenis harta yang ditetapkan setelah memenuhi syarat tertentu dan diagihkan kepada golongan tertentu. 

Ibadah zakat seperti zakat firah, zakat harta dan zakat pendapatan bukan sahaja salah satu bentuk penyucian jiwa dan harta bahkan ia berupaya memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang di antara golongan kaya dan miskin. Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang mengeluarkan zakat sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Rum, ayat 39 yang dibacakan tadi yang bermaksud:

“Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu tambahan (riba) yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan berkembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian zakat yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.”

(Surah Al-Rum 30:39)

Dr. Yusuf al-Qaradawi Rahimahullah mengatakan bahawa salah satu tujuan zakat adalah untuk membebaskan penerima zakat atau asnaf daripada kekangan untuk mendapatkan keperluan, agar mereka dapat hidup dalam keadaan yang sejahtera. Zakat juga mempunyai matlamat sosial untuk melatih golongan kaya supaya berkorban dan menyumbang untuk kebajikan orang lain khususnya golongan yang memerlukan. 

Di samping itu, zakat berpotensi menghilangkan rasa cemburu dan iri hati golongan miskin tatkala melihat nikmat yang dikurniakan kepada golongan kaya. Berzakat merupakan satu bentuk manifestasi tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT.

Begitu juga menerusi zakat, seseorang itu dapat memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh sifat bakhil dan membangkitkan kepekaan terhadap golongan yang memerlukan. Ketahuilah, kemanisan dan keindahan dalam berzakat ialah apabila ada pihak yang sudi menerima pemberian kita. 

Bayangkan, jika suatu hari nanti zakat yang hendak kita tunaikan tidak lagi diterima oleh orang lain. Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: 

“Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah berlaku pada kamu harta yang banyak serta melimpah ruah, sehinggakan pemilik harta (sedih kerana) sangat mahukan ada orang yang menerima sedekahnya, sehingga dia (sanggup) menawarkan (harta)nya. Lalu orang yang ditawarkan (harta) itu berkata: Aku tidak memerlukannya.”

Alangkah ruginya andai tiba keadaan ini, tiada lagi golongan asnaf yang menginginkan pemberian zakat. Harta yang banyak, tetapi seolah-olah tiada nilai.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Zakat telah ditetapkan oleh Allah SWT dengan matlamat utama sebagai satu sistem keadilan dan keseimbangan sosial dalam pengagihan semula harta kekayaan dan melarang sebarang bentuk penindasan terhadap golongan lemah, fakir miskin dan yang memerlukan pertolongan di samping dapat membangunkan pertumbuhan ekonomi yang stabil. Peningkatan kutipan zakat akan menjadikan golongan asnaf semakin terbela. Firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat, ayat 19 yang maksudnya: 

“Dan pada harta benda mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

(Surah Al-Zariyat 51:19)

Dalam mendepani ketidakstabilan ekonomi global, kita tidak seharusnya melupakan peranan penting zakat bagi merancakkan kembali ekonomi umat Islam. Permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dapat ditingkatkan dengan mewujudkan kuasa membeli kepada golongan asnaf melalui agihan zakat yang dilaksanakan. Peningkatan kuasa membeli yang dimiliki asnaf dapat merangsang perkembangan ekonomi apabila berkembangnya rantaian permintaan di dalam kepelbagaian sektor ekonomi.

Asnaf bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup, bahkan mereka juga berupaya untuk menambahkan nilai pendapatan keluarga melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan kecil-kecilan dan keusahawanan.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan sebanyak RM657 juta dana zakat sehingga bulan Oktober tahun ini yang merangkumi skim pembangunan asnaf, bantuan perlindungan, bantuan ekonomi dan pembangunan ummah. Di samping itu, keupayaan asnaf untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna di peringkat sekolah dan pengajian tinggi juga dapat dipertingkatkan menerusi dana zakat. 

Inilah di antara hasil yang diperoleh daripada zakat yang diuruskan dengan baik dan sistematik kerana ianya adalah amanah yang wajib ditunaikan dengan sebaik mungkin. 

Kita kini semakin hampir menuju ke penghujung tahun. Mimbar ingin mengingatkan bahawa, kita mempunyai tanggungjawab yang mesti dilunaskan antaranya ialah mengeluarkan zakat khususnya zakat pendapatan sebelum berlabuhnya tirai tahun ini. Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah melancarkan kempen ‘Year End Zakat (YEZ 2022)’ sepanjang bulan Disember ini. 

Kaunter cawangan zakat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan turut dibuka setiap hari sepanjang bulan Disember ini. Jika kita mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan taksiran zakat, PPZ-MAIWP turut menyediakan perkhidmatan konsultasi zakat secara dalam talian menerusi kaunter zakat digital, di samping kemudahan kaunter van bergerak, portal zakat dalam talian, potongan zakat bulanan dan aplikasi zakat dalam gajet.

Gunakan kalkulator zakat di laman PPZ-MAIWP untuk menganggarkan zakat masing-masing

Dengan bertemakan ‘Memberi Tanda Syukur’, ianya diharapkan dapat memberi galakan kepada seluruh umat Islam yang berkemampuan di Wilayah Persekutuan khususnya yang mencari rezeki di negeri ini agar bersegera untuk melaksanakan kewajipan ini. Semoga Allah SWT melipat gandakan ganjaran pahala dan memberkati nikmat rezeki yang telah dikurniakan kepada kita.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Ibadah zakat seperti zakat firah, zakat harta dan zakat pendapatan bukan sahaja salah satu bentuk penyucian jiwa dan harta bahkan ia berupaya memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang di antara golongan kaya dan miskin.

Kedua: Kikislah sifat bakhil di dalam diri dan tingkatkan kepekaan kita terhadap masyarakat di sekeliling kita agar mereka yang memerlukan dapat terus dibantu melalui zakat yang kita keluarkan.

Ketiga: Bersegeralah menunaikan kewajipan zakat melalui pelbagai saluran yang disediakan demi meraih keredaan Allah SWT dan demi manfaat asnaf beserta golongan yang amat memerlukan bantuan.

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi firman Allah SWT di dalam surah Saba’, ayat 39 yang bermaksud: 

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

(Surah Saba’ 34:39)

Tarikh Dibaca: 14 Jamadilawal 1444H/ 9 Disember 2022M

Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: