Hal pakaian ketat ini bukan sahaja relevan bagi kaum Hawa, tetapi ianya perlu diambil perhatian oleh kaum lelaki juga, biarpun mungkin secara asasnya aurat masih terjaga. Tidak kira tujuan asal penampilan sebegitu, yang biasanya kerana ingin beriadah seperti sukan berbasikal, adab berpakaian perlu sentiasa dijaga.
Menjawab persoalan ini, laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menulis: Jika dia memakai pakaian, maksud pakaian itu ialah menutup tubuh. Kalau, berpakaian tetapi menampakkan tubuh, tidaklah dinamakan berpakaian. Contohnya, di dalam Islam tidak dikira menutup aurat mereka yang memakai pakaian lutsinar seperti plastik.
Kedua, pakaian yang dalam Islam tidak benar ialah pakaian yang يُلفِتُ النَّظَر (yakni terlalu menarik perhatian). Justeru, apatah lagi baju yang menampakkan tubuh badan, mungkin orang lelaki dengan orang lelaki tidak berasa apa-apa, tetapi dengan wanita jadi lain, yang membawa kepada syahwat dan membawa kepada ghairah.
Sekali pun, ada yang boleh menjawab, ‘Saya pakai seluar sempurna menutup aurat, dari pusat ke lutut’. Namun, sesuatu perkara yang membawa kepada haram boleh juga jatuh kepada haram. Kaedah menyatakan:
ما أَدَّى إلى حَرَامِ فَهُو حَرَامٌ
Maksudnya: Perkara yang membawa kepada perkara yang haram, juga haram hukumnya.
(Rujuk Qawaid al-Ahkam (2/218) oleh Imam Izz bin Abd al-Salam)
Di dalam satu hantaran lain oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dinyatakan:
Umat Islam perlu mematuhi panduan berpakaian tersebut dalam apa jua aktiviti yang dilakukan termasuklah ketika bersukan lebih-lebih lagi aktiviti sukan diluar rumah yang terdedah kepada pandangan umum seperti aktiviti berbasikal. Syariat Islam telah meletakkan garis panduan tentang cara menutupi aurat yang sempurna seperti pakaian yang berkain tebal yang disebut oleh Imam ash-Syairazi:
وَيَجِبُ سَتْرُ الْعَوْرَةِ بِمَا لَا يَصِفُ لَوْنَ الْبَشَرَةِ مِنْ ثَوْبٍ صَفِيقٍ أَوْ جِلْدٍ أَوْ وَرَقٍ
Bermaksud: Wajib menutup aurat dengan sesuatu yang tidak menampakkan warna kulit seperti baju tebal atau kulit atau daun.
[Rujuk: al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafie 1/125]
Selain daripada itu, berpakaian tebal juga tidak mencukupi sekiranya pakaian tersebut bersifat ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai. Allah SWT berfirman:
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Bermaksud: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya
(Surah an-Nur 24:30)
Aurat perlulah dijaga dan ditutup rapi dengan cara berpakaian yang seiring dengan kehendak syarak ketika dalam apa jua aktiviti baik lelaki mahupun wanita. Merupakan satu kesilapan apabila masyarakat menganggap dengan memakai pakaian yang menutup sebahagian anggota badan atau berpakaian ketat sudah memadai dikira menutup aurat.
Jika seseorang hendak keluar dari rumahnya sama ada untuk berbasikal atau beriadah dia tetap wajib memelihara peraturan yang ditetapkan oleh agama iaitu memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dari dilihat oleh bukan mahram dan berpakaian longgar agar tersembunyi bentuk pada badannya dari kelihatan umum.
Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau menampakkan bentuk aurat pada badan adalah haram dan berdosa.
Leave a Reply