Insan Mukmin itu Mengasihi Manusia

Insan mukmin mengasihi semua manusia, kerana mereka adalah saudaranya satu keturunan Nabi Adam dan rakan kongsinya sebagai hamba kepada Allah. Di antara dia dan mereka disatukan oleh silaturahim dan keturunan sebagaimana mereka juga disatukan oleh matlamat dan musuh yang sama.

Hubungan silaturrahim yang umum telah dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: 

“Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya (Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya keturunan lelaki dan perempuan, dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan kaum kerabat.”

(Surah al-Nisa’ 4:1)

Alangkah tepatnya perkataan (الْأَرْحَامَ) di sini diertikan dengan kerabat kemanusiaan yang menghubungkan sesama manusia keseluruhannya berdasarkan bukti ayat pertama surah al-Nisa’.

Manakala perkongsian matlamat dan musuh dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: 

“Wahai manusia, bahawa janji Allah adalah benar, maka janganlah kamu terpedaya oleh kehidupan dunia dan janganlah kamu terpedaya dengan keangkuhan musuh  (sombong). Sesungguhnya syaitan buat kamu adalah musuh maka jadikanlah ia sebagai musuh.”

(Surah Fatir 35:5)

Kehidupan akhirat yang kekal abadi ialah matlamat bersama yang dikongsi oleh insan. Manakala syaitan yang menghalangnya adalah musuh mereka bersama. Akidah Islam tidak membenarkan gejala-gejala sentimen perkauman dan bibit-bibit kebangsaan wujud di kalangan muslimin. 

Insan muslim beriktikad bahawa manusia semuanya adalah anak Adam dan Adam berasal dari tanah. Berlainan bahasa dan warna kulit tidak memberi apa-apa makna selain dari bukti kekuasaan Allah, keagungan Pencipta dan salah satu dari tanda-tanda kebesaran-Nya dalam kejadian-Nya. Firman Allah yang bermaksud: 

“Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya bahawa Dia mencipta langit dan bumi dan perbezaan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan.”

(Surah al-Rum 30 : 22)

Perasaan insan muslim bahawa semua manusia adalah saudaranya bukanlah perkara kedua dan bukan sunat hukumnya di dalam agamanya, tetapi ia merupakan akidah yang difardhukan Allah dan akan dihisab di hari kiamat. Dia berharapkan dapat menghampirkan diri kepada Allah dengan sikapnya terhadap saudaranya seIslam.

Al-Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan dari Zaid bin Arqam, katanya:

Rasulullah berdoa selepas tiap-tiap sembahyang;

اللهم ربنا ورب كل شيء انا شهيد أن محمداً عبدك ورسولك. اللهم ربنا ورب كل شيء أنا شهيد أن العباد كلهم أخوة

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan kami Tuhan segala sesuatu dan pemiliknya, aku menjadi sakst bahawa Engkau sahaja Tuhan dan tidak ada yang lain. Ya Allah, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, aku menjadi sakst bahawa Muhammad ialah hamba-Mu dan rasul-Mu. Ya Allah Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu aku bersaksikan bahawa manusia semuanya adalah bersaudara.”

Sudahkah anda tahu bagaimana tingginya persaudaraan sesama manusia dalam sanubari Muslim? Sesungguhnya ia berada dalam kedudukan selepas mengesakan Allah dan pengakuan kerasulan Muhammad s.a.w.

Bagaimanakah tergambar seorang Muslim menghina mana-mana bangsa manusia. Jika benar manusia itu berbangsa-bangsa, al-Qur’an telah mengajar supaya menghormati semua jenis makhluk dan mengiktiraf keperibadiannya sekalipun binatang-binatang, serangga- serangga dan burung-burung. 

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di muka bumi ini dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan dua sayapnya melainkan mereka itu umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun dalam kitab al-Qur’an ini. Kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka.”

(Surah al-An’am 6:38)

Nabi bersabda yang maksudnya: “Kalaulah anjing itu bukan salah satu umat yang ada nescaya aku perintahkan supaya membunuhnya.”

Inilah perasaan insan yang beriman dengan Islam terhadap manusia, bukan perasaan bermegah dengan perkauman atau sentimen kedaerahan, bukan permusuhan darjat dan bukan kedengkian antara individu. Akan tetapi ia adalah perasaan kasih sayang dan persaudaraan sesama manusia seluruhnya.

Sumber: Kemanisan Imam oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: