Teks Khutbah Jumaat: Islam Memacu Kemajuan Ummah 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita perteguhkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga kita sentiasa mendapat rahmat, keberkatan dan terpelihara daripada perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Marilah kita menghayati bicara mimbar pada hari ini yang bertajuk: “Islam Memacu Kemajuan Ummah”.

Sebelum memulakan bicara mimbar, suka saya mengingatkan diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita beristiqamah melakukan amal ibadah dan amalan ketaatan, rebutlah peluang mengimarahkan masjid dan surau melalui solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti program-program pengimarahan yang dijalankan. 

Di samping itu, didiklah ahli keluarga khususnya anak-anak untuk melaksanakan kewajipan solat, membaca dan mempelajari al-Quran. Sebagai tanda kasih sayang sesama insan, marilah kita menggerakkan amar makruf dan nahi mungkar dan menyuburkan persaudaraan sesama insan. 

Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Allah SWT agar negara kita sentiasa dipelihara, dikurniakan kestabilan dan kemakmuran yang berpanjangan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Akal ialah antara nikmat yang paling berharga dan bernilai yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan akal, manusia dapat menerima ilmu pengetahuan dan membezakan di antara yang baik dan yang salah, pahala dan dosa serta sebagainya. Akal yang dipandu dengan iman akan memandu manusia mentadbir alam ini sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT dan dapat memelihara diri daripada sebarang perlakuan dan tindakan yang membawa keburukan. 

Daripada aspek keilmuan, Islam sentiasa meraikan semua bidang sama ada ilmu duniawi dan ukhrawi termasuklah bidang sains teknologi dan kejuruteraan dengan syarat, ianya hendaklah selari dan menepati maqasid al-Syariah dan bertunjangkan tauhid kepada Allah SWT. Pelanggaran syariat pasti mengundang kemurkaan Allah SWT. 

Lihatlah bagaimana umat-umat terdahulu yang bijaksana tetapi tidak beriman dan melampaui batas sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah ar-Ruum, ayat 42 yang dibaca pada awal khutbah yang bermaksud:

“Katakanlah, mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan), kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik.”

(Surah Ar-Ruum 30:42)

Sejarah tamadun manusia dalam bidang teknologi kejuruteraan dan kepakaran telah dihasilkan oleh umat-umat terdahulu seperti kaum Thamud dan kaum ‘Ad yang hebat sehingga mampu menebuk gunung-ganang yang besar dan tinggal di dalamnya ialah lambang kemajuan pada ketika itu.

Namun, akibat tidak beriman dengan Allah SWT dan melanggar segala perintah-Nya bahkan secara terang-terangan mencabar kekuasaan-Nya, maka Allah SWT telah membinasakan mereka.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Islam tidak menolak sebarang kemajuan teknologi dan pembangunan bahkan ia menjadi keperluan demi kemaslahatan umat sejagat. Kita harus akui bahawa manfaat daripada perkembangan teknologi dan ledakan kemajuan kejuruteraan pada hari ini telah mengubah lanskap kehidupan manusia mengikut arus perubahan zaman. 

Para sarjana dan cendekiawan Islam terdahulu seperti al-Khawarizmi, Jabir Ibnu Hayyan, al-Battani, ‘Abd al-Rahman as-Sufi, al-Biruni, al-Jazari dan lain-lain tokoh telah memberi sumbangan besar dalam teknologi kejuruteraan, astronomi, fizik, aeroangkasa dan sebagainya.

Sememangnya bidang teknikal dan kejuruteraan adalah nadi kepada kemajuan negara. Pelbagai profesion teknikal telah diwujudkan sebagai golongan pakar yang memastikan pembangunan negara dapat terus berkembang maju sehingga ke hari ini. Ia juga telah menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan seluruh masyarakat.

Biarpun kita telah melihat pelbagai infrastruktur dan prasarana telah berkembang pesat namun ingatlah bahawa kita juga bertanggungjawab untuk memastikan setiap perancangan pembangunan negara tidak mengundang kerosakan sehingga menggugat kemaslahatan umat manusia.

Islam sangat melarang perbuatan yang boleh menjejaskan kehidupan manusia dan alam sekitar. Justeru, setiap kemajuan yang hendak kita capai, seharusnya tidak disusuli dengan perbuatan melampaui batas seperti melakukan kezaliman, penganiayaan, penindasan dan penipuan yang jelas menjadi faktor kepada keruntuhan moral. Ingatlah firman Allah SWT di dalam surah al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud: 

“Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

(Surah al-Qasas 28:77)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sejajar dengan perkembangan global terutamanya dalam ledakan teknologi Revolusi Industri 4.0, semua rakyat Malaysia khususnya warga dalam bidang teknikal berperanan penting untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan kepakaran ke arah menggerakkan kemajuan Negara dan ummah dalam semua bidang pembangunan seperti kejuruteraan, kesihatan, pendidikan, teknologi maklumat dan sebagainya.

Justeru, penganjuran Hari Profesional Teknikal Negara (HTPN) yang disambut pada hari sabtu pertama bulan Disember setiap tahun dengan tema ‘Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan’, adalah sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan warga profesion seluruh Negara di atas sumbangan besar yang cukup signifikan kepada pembangunan dan kemajuan Negara. Dalam masa yang sama, ia juga dapat memupuk minat generasi muda untuk berkecimpung dalam bidang ini demi melahirkan generasi yang suatu hari nanti dapat menyumbang jasa kepada kemajuan negara dan pembangunan ummah.

Kita akui bahawa Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksana projek-projek pembangunan negara sejak ia ditubuhkan pada tahun 1872. Alhamdulillah, JKR Malaysia telahpun mencapai usia 150 tahun pembabitannya dalam arus pembangunan negara dan semoga agensi ini terus menyediakan perkhidmatan yang terbaik, penuh tanggungjawab, telus, terbuka dan memenuhi keperluan masyarakat dan negara.

Menepati dengan matlamat pembangunan lestari sama ada di bandar mahupun di luar bandar, aspek pemeliharaan alam sekitar mestilah menjadi keutamaan. Ketelusan dan integriti dalam sesebuah projek pembangunan dapat menjamin pembangunan yang lestari di semua peringkat. Namun, pembangunan negara akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berjaya serta dapat memelihara kemaslahatan dan kemajuan ummah dan negara, hendaklah pembangunan yang dipandu oleh agama.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Islam meraikan semua bidang ilmu duniawi dan ukhrawi termasuklah sains teknologi dan kejuruteraan yang memberi manfaat kepada kehidupan, memelihara maqasid al-Syariah dan bertunjangkan tauhid kepada Allah SWT.

Kedua: Islam melarang berbuat kerosakan di muka bumi. Jadilah manusia yang bertanggungjawab supaya perancangan pembangunan negara tidak mengundang kerosakan alam sekitar dan menjejaskan kemaslahatan umat.

Ketiga: Kuasai bidang pembangunan teknikal seperti kejuruteraan, kesihatan,pendidikan dan teknologi masa kini demi manfaat manusia sejagat dan pembinaan tamadun Islam yang hebat, cemerlang dan terbilang.

Marilah kita hayati bersama firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 269 yang bermaksud: 

“Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

(Surah Al-Baqarah 2: 269)

Tarikh Dibaca: 21 Jamadilawal 1444H/16 Disember 2022M

Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: