Asmaul Husna yang ke-41 ialah Al-Hasib yang bermaksud Tuhan Yang Maha Mencukupi, suatu sifat Allah SWT yang sediakala (qadim – tiada permulaan dan tiada pengakhirannya). Sebaliknya manusia adalah makhluk yang serba tidak cukup. Kalaupun mereka sudah kaya-raya dan berilmu, namun itu tidak bererti sudah serba cukup. Jika dia menganggap sudah memadai dengan keadaan itu, apa yang dimiliki setelah mereka berusaha, maka usahanya itu diperkenankan oleh Allah SWT yang bersifat Al-Hasib.
Orang mukmin patut mengambil iktibar daripada sifat Allah SWT. Sememangnya manusia sukar untuk merasa cukup dengan apa yang telah mereka miliki. Manusia yang memiliki kecenderungan menghimpun harta, lazimnya tidak pernah berpuas hati dengan kekayaan yang mereka miliki. Sekiranya manusia memiliki sebuah gunung emas, nescaya mereka akan berusaha mendapatkan sebuah lagi gunung emas atau lebih banyak lagi.
Sikap merasa cukup bukan bererti berhenti daripada berusaha meningkatkan produktiviti untuk lebih berjaya dalam bidang yang diceburi. Sebaliknya sikap itu untuk mendidik hati supaya tidak menjadi hamba kepada harta, pangkat dan kedudukan. Sebaliknya mereka menggunakan harta dan kedudukan itu untuk berbakti kepada Allah SWT.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply