CATATAN PENCINTA KOPI – Apa Kena Dengan Pemandu Motosikal?

Oleh: Pemandu Kereta

Sedang saya leka memandu di lorong satu hala menaiki jejambat, saya tiba-tiba dikejutkan dengan lampu sebuah motosikal yang sedang menuju ke arah saya dengan tujuan yang sama, merentasi jejambat untuk memudahkan dia. Semakin lama semakin kerap dan akhirnya sudah menjadi kebiasaan walaupun sebenarnya ini perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Sebagai pemandu kereta, saya terpaksa lebih berhati-hati kerana sebarang insiden yang melibatkan pemandu motosikal selalunya jari dituding kepada pemandu kereta dahulu.

Di satu insiden berlainan, saya sedang menunggu di lampu trafik untuk pulang ke rumah. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau saya membelok ke kanan dan tiba-tiba sebuah motosikal melintas di hadapan kereta saya kerana dia tidak mahu berhenti di lampu merah. 

Astaghfirullah! 

Nasib baik saya sempat menekan brek dengan pantas. Remaja itu sempat memberi isyarat berhenti dengan tangan kirinya seolah-olah tangan dia itu mempunyai kuasa atau kekuatan tambahan. Tanpa topi keledar, tanpa ada riak penyesalan, dia membetulkan kedudukan di atas motor dan terus berlalu pergi.

Saya termenung sebentar di situ memikirkan apalah nasib dia dan nasib saya sekiranya saya tidak sempat menekan brek tadi. Nampak gayanya, lesen pun mungkin dia belum ada.

Laluan pejalan kaki di hadapan rumah saya dan taman permainan kanak-kanak juga sudah tidak selamat digunakan kerana pemandu motosikal sentiasa menggunakan jalan pintas tersebut untuk pulang ke rumah masing-masing. 

Bila cerita begini dibuka, maka akan ramai yang bersimpati kerana mereka ini golongan B40, kurang pendapatan, bukan masyarakat kaya. Masalahnya, ini bukan masalah kurang pendapatan, B40, M40, atau apa-apa sahaja T. Ini masalah perangai dan kelakuan yang tidak menghormati undang-undang negara dan jalanraya serta pengguna jalanraya yang lain.

Gunalah jalanraya yang disediakan dengan betul, kenapa perlu pintas sana-sini untuk kepentingan diri sendiri? 

Insiden yang saya alami ini bukan sekali dua, setiap hari saya memerhatikan pemandu motosikal memandu melawan arus, tidak menghiraukan lampu merah, menggunakan laluan pejalan kaki, apa-apa sahaja kelakuannya asalkan ia memudahkan, menjimatkan masa dan minyak motor mereka!

Adakah pemandu motosikal ini kebal undang-undang? Adakah pemandu motosikal boleh melanggar undang-undang bila-bila suka? 

Saya tidak ada solusi kepada permasalahan ini. Penguatkuasaan yang ketat mungkin akan menyaksikan situasi yang lebih baik. Tanpa perubahan sikap pemandu motosikal, masalah ini akan berterusan. 

Jika ayah membawa motosikal dengan anaknya, apakah anaknya akan memahami undang-undang sekiranya ayah selalu mengambil jalan pintas, melanggar undang-undang sesuka hati. Kalau ayah buat, tak mungkin ayah salahkan? 

Bawalah motosikal, bawalah apa saja kenderaan yang dibenarkan, tetapi tolonglah patuh kepada undang-undang untuk kemaslahatan semua. Janganlah semberono ketika di jalanraya kerana kesannya amat merbahaya kepada semua. 

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: