Ada berbagai-bagai cara Allah S.W.T mengurniakan kekayaan dunia kepada hamba-Nya, adakalanya pemberian itu sebagai suatu kemuliaan, tidak kurang pula pemberian Allah sebagai suatu lanjuran atau suatu penghinaan terhadap hamba-Nya itu.
Utbah bin Amir menceritakan, bahawa suatu hari dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Apabila kamu melihat bahawa Tuhan mengurniakan kekayaan dunia, kepada orang yang ‘ashi (ahli maksiat), maka sesungguhnya yang demikian itu merupakan istidraj daripada Allah. Ketika mereka lupa akan ajaran dan peringatan-peringatan, maka Allah bukakan pintu-pintu segala kesenangan dunia. Tetapi di saat mereka terlalu gembira dengan kekayaan itu, tiba-tiba Allah rentap segalanya dengan serta-merta.”
Hadith tersebut sebagai suatu peringatan bahawa, kekayaan dan pangkat kedudukan yang Tuhan kurniakan kepada orang yang maksiat, tidak taat kepada suruhan Allah serta melanggar larangan- Nya, maka janganlah kita keliru, kerana yang demikian itu hanyalah istidraj dari Allah.
Apakah Istidraj?
Istidraj bererti suatu pemberian daripada Allah yang tidak direstui-Nya, atau ibarat umpan yang diletakkan di dalam perangkap. Jika perangkap itu perangkap musang, tujuannya ialah untuk menangkap haiwan jahat itu. Musang yang terpedaya dengan umpan akhirnya terperangkap ketika sedang ghairah hendak menikmati makanan yang tidak disedari sebagai umpan itu.
Timbul suatu pertanyaan, mengapa manusia diumpan sedemikian rupa dengan kekayaan dan kesenangan dunia, tidakkah ada cara lain Tuhan hendak memperbaiki manusia selain dengan cara istidraj atau umpan? Sekiranya kita umpan kepada musang atau tikus untuk diperangkap memanglah munasabah, kerana haiwan itu merosakkan harta benda.
Sesungguhnya Allah tidak melakukan aniaya terhadap hamba-Nya dengan cara memberi umpan dan sebagainya, kerana Allah sebenarnya bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Justeru manusia itu sendiri yang tidak menyayangi diri dan menzalimi diri sendiri.
Meskipun Allah SWT telah menghantar para rasul untuk menyampaikan hidayah-Nya, dilahirkan para ulama untuk menyambung nasihat para rasul, dibantu pula dengan ibu bapa mereka telah menjalankan peranan mentarbiyah, agar mereka menjadi orang yang patuh kepada ajaran Islam, sementara suasana sekeliling bercambah dengan masjid-masjid dan musolla untuk melakukan kerja-kerja ibadah, rakan-rakan juga mengajak untuk melakukan yang makruf.
Padahal telah nyata mana jalan yang syukur dan mana pula jalan yang kufur, sayangnya apa jua perantaraan yang membolehkan seseorang itu menerima hidayah telah tidak dihiraukan sama sekali, ertinya merekalah yang memilih jalan berliku meskipun di depannya terbentang jalan yang lurus.
Setelah berbagai cara melengkapkan usaha untuk membentuk manusia menjadi baik tetapi tidak juga dimanfaatkan, maka ternyata orang itu yang memilih jalannya sendiri, dialah yang telah menjerumuskan dirinya sendiri. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”
Surah Ali Imran (3: 117)
Dalam keadaan begitu maka Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud:
“Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka gembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.”
(Surah Al-An’am 6: 44)
Manusia Sering Menzalimi Diri Sendiri
Segalanya terjadi apabila manusia sudah tidak menghiraukan hidayat dan melupakan segala ajaran dan peringatan yang didatangkan kepada mereka, lantas Allah SWT datangkan istidraj dengan membukakan segala pintu kesenangan untuk mereka.
Tetapi ketika mereka ketawa kegembiraan kerana dilimpahi kesenangan harta benda, pangkat dan pengaruh, maka dalam kealpaan itu Allah S.W.T cabut kembali segala kesenangan dengan tiba-tiba, sehingga mereka tercengang-cengang dilanda kekecewaan kerana kehilangan segala-galanya dengan sekelip mata. Sama ada Allah SWT tarik dengan mematikan serta-merta, ataupun dilenyapkan terus segala kesenangan itu dengan mala petaka itu seperti yang dialami oleh Qarun.
Oleh itu jika kita melihat orang mendapat kekayaan dunia sehingga bergelar jutawan dan sebagainya, janganlah terdorong hati hingga terbit keinginan untuk mendapat kekayaan dan pangkat kedudukan seperti itu, sehingga terlalu kecewa jika tidak memperoleh kesemua itu.
Justeru termasuk dalam kaedah Allah SWT untuk melimpahkan segala kesenangan yang menjadi idaman mereka yang telah melupakan segala nasihat daripada Allah, diberinya peluang terakhir berupa istidraj. Jika mereka inginkan harta sehingga menguasai ekonomi sesebuah negara, maka Allah berikan kunci perbendaharaan itu, dan sekiranya mereka inginkan kekuasaan agar segala-galanya berada di dalam tangannya, maka Allah pasti menunaikan janji-Nya untuk membukakan segala pintu kesenangan untuknya.
Tetapi mereka tidak sedar bahawa kesemua itu hanyalah istidraj, dan Tuhan juga berjanji untuk mencabut semula segala kesenangan itu dengan tiba-tiba sehingga mereka terpinga-pinga dan berputus asa.
Oleh yang demikian sekiranya seseorang itu dikurniakan kesenangan harta atau diberinya pangkat dan kekuasaan sewajarnya seringkali timbul pertanyaan di dalam hatinya, adakah kekayaan dan pangkat kekuasaan yang dianugerahkan Allah SWT itu sebagai suatu kurnia yang memberikan kebajikan, untuk dirinya di dunia mahupun di akhirat? Ataukah ia suatu istidraj yang akan memerangkapnya di akhirat kelak?
Jika seseorang sentiasa berada di tahap itu nescaya dia tidak akan lalai dengan kesenangan dan tidak abai terhadap pangkat kekuasaan yang dimilikinya, jika Allah SWT menarik semula segala-galanya, ketika itu dia yakin bahawa Allah mentakdirkan sesuatu yang sebaiknya untuk dirinya. Mereka reda kembali miskin dan hilang pangkat kekuasaan kalau kesemua itu akan membebankan dirinya di akhirat kelak.
Muhasabah Diri
Seandainya Allah SWT mengurniakan kekayaan dunia, adalah menjadi kewajiban untuk memperlihat tanda-tanda nikmat itu. Di şini terdapat perbezaaan cara antara orang yang zahid dan orang tidak zahid dalam memperlihatkan tanda-tanda nikmat Allah. Lazimnya orang yang tidak zahid akan memperlihatkan kekayaan dalam bentuk kemegahan, seperti membina rumah besar dengan segala perhiasan yang anggun, membeli kereta besar dari jenama yang mewah dan sebagainya.
Sesungguhnya gaya menunjukkan kekayaan seperti itu bukanlah hendak memperlihatkan tanda-tanda nikmat Allah, kerana gaya hidup moden adalah hidup yang sentiasa berpaut dengan bantuan bank. Rumah besar atau kereta besar kesemuanya milik bank, mereka berhutang dan lazimnya terbabit dengan riba.
Justeru bagi orang yang zahid mereka memperlihatkan tanda-tanda nikmat kurniaan Tuhan itu dengan membuat perkara kebajikan yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai, seperti mengadakan yayasan atau pusat-pusat pengajian untuk kemudahan bagi anak-anak orang miskin atau anak-anak yatim menimba ilmu pengetahuan.
Jika mereka membina rumah besar tidak semata-mata atas kepentingan diri, sebaliknya untuk memberi kemudahan mengadakan jamuan kepada fakir miskin, atau mengadakan majlis-majlis agama seperti mengadakan kuliah agama, juga untuk kemudahan bagi mengadakan sesuatu mesyuarat untuk kerja-kerja kebajikan dan seumpamanya.
Sumber: Taqwa oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat
Leave a Reply