Jom Kenali Malaikat – Malaikat yang Menghadiri Majlis Zikir

Zikir adalah salah satu ibadah sekaligus aktiviti yang sangat penting bagi kehidupan orang beriman sehingga perkara itu dibanggakan Allah SWT di hadapan seluruh makhluk-Nya. Perkara tersebut menunjukkan betapa zikir itu berada pada kedudukan yang sangat mulia di sisi-Nya dan sangat Dia sukai. Zikir dijawab oleh Allah SWT dan para malaikat-Nya dengan mengirimkan selawat kepada para ahli zikir. Sesiapa telah mendapat selawat dari Allah SWT dan para malaikat-Nya, bermakna dia telah memperolehi rahmat, berkat dan maghfirah (keampunan-Nya). Sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu), untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat) dan adalah Dia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).” 

(Surah al-Ahzab: 41-43)

Ibnul Qayyim berkata, “Selawat dari Allah Yang Maha Tinggi dan para malaikat-Nya merupakan sebab dikeluarkannya mereka (orang yang berzikir) dari kegelapan menuju pada cahaya. Jika selawat dari Allah s.w.t. dan para malaikat-Nya telah sampai kepada mereka dan mengeluarkannya dari kegelapan menuju cahaya, lalu kebaikan apakah yang tidak sampai kepada mereka dan kekejian apakah yang tidak dihindarkan dari mereka? Alangkah betapa ruginya orang yang lalai dari Rabb-nya, yang telah mengharamkan kebaikan dan keutamaan-Nya.”

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah Yang Maha Pemberi berkat dan Maha Tinggi itu mempunyai malaikat yang sentiasa mengelilingi dan bersifat utama. Mereka sentiasa mencari majlis zikir. Apabila mereka telah menemui satu majlis yang di dalamnya mengandungi zikir, mereka pun duduk menyertai orang yang ada dalam majlis zikir itu. Sebahagian malaikat dengan sebahagian yang lain berbaris dengan merapikan sayap- sayapnya sehingga memenuhi segala yang ada di antara mereka dan langit.”

Lalu Allah ‘Azza wa Jalla bertanya kepada mereka, dan Dia (Allah) lebih mengetahui tentang keadaan mereka semua, ‘Dari mana kamu semua semua datang?’ Para malaikat menjawab, ‘Kami datang dari tempat para hamba-Mu di bumi. Mereka mensucikan-Mu, membesarkan-Mu, mengesakan-Mu, memuji-Mu, serta memohon kepada-Mu.’

Allah bertanya kepada para malaikat itu, Apakah yang mereka pohon kepada-Ku?’ Malaikat menjawab, ‘Mereka memohon syurga-Mu.’ Allah bertanya lagi, ‘Adakah mereka sudah pernah melihat syurga-Ku?’ Malaikat pun menjawab, ‘Belum, ya Rabbi.”

Allah bertanya lagi, ‘Bagaimana andai kata dia mengetahui syurga-Ku?’ Malaikat pun menjawab, ‘Mereka memohon perlindungan kepada-Mu.’ Allah bertanya lagi, ‘Dari apa mereka memohon perlindungan dari-Ku?’ Malaikat menjawab, Dari neraka-Mu, ya Rabbi.’

Allah bertanya lagi, ‘Adakah mereka sudah pernah melihat neraka-Ku?’ Malaikat menjawab, ‘Belum, ya Rabbi.’ Allah bertanya lagi, ‘Bagaimana jika mereka melihat neraka-Ku?’ Malaikat menjawab, ‘Mereka akan sentiasa memohon pengampunan kepada-Mu.’

Rasulullah s.a.w. meneruskan sabdanya: ‘Kemudian Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka, dan telah Aku berikan kepada mereka apa yang mereka minta, serta Aku memberikan perlindungan kepada mereka dari perlindungan yang mereka minta.’

Rasulullah s.a.w. meneruskan sabdanya: ‘Para malaikat bertanya kepada Allah, ‘Ya Rabbi, di tengah-tengah mereka ada si Fulan seorang hamba yang memiliki banyak kesalahan. Dia hanya berjalan melalui tempat majlis zikir itu, lalu dia duduk menyertai mereka yang berzikir itu.’

Rasulullah meneruskan sabdanya: ‘Kemudian Allah membalas akan aduan para malaikat itu, ‘Orang itu pun telah Aku ampuni. Golongan itu adalah suatu golongan yang mana sesiapa sahaja menemani mereka, dia tidak akan celaka.”

(HR. Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab Musnad-nya dan oleh Abu Ya’la al-Mushili dan at-Tabrani dalam kitab al-Ausath dari Anas r.a., dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 

“Tidaklah suatu kaum duduk sambil berzikir kepada Allah swt. kecuali mereka diseru oleh penyeru dari langit, “Bangkitlah, kamu semua telah diampuni.”

(HR Imam Ahmad)

Dikeluarkan oleh Imam Muslim, at-Tirmizi dan an Nasa’i dari hadis Mu’awwiyah bahawa Rasulullah s.a.w keluar (untuk menghadiri) halaqah para sahabatnya sambil bertanya kepada mereka:

“Apa yang membuat kamu semua duduk berkumpul di sini?” Para sahabat menjawab, “Kami duduk di sini untuk berzikir kepada Allah dan memuji kebesaran-Nya atas hidayah yang telah dianugerahkan-Nya kepada kami untuk Islam dan orang yang membawanya (hidayah tersebut) atas kami.” Nabi kembali bertanya, “Demi Allah, apa yang membuat kamu semua duduk di sini selain itu?”Mereka kembali mejawab, “Demi Allah, kami tidak duduk di sini kecuali hanya untuk itu.” Lalu Nabi bersabda, “Sesungguhnya aku tidak mengambil sumpah dari kamu semua sebagai tuduhan. Akan tetapi, Malaikat Jibril a.s. telah pergi pada dan memberitahuku bahawa Allah Yang Maha Tinggi telah membanggakan diri kamu semua dengan para malaikat.”

(HR Imam Muslim, at-Tirmizi dan an Nasa’i)

Sumber: Biografi Malaikat – Mendapat kesempurnaan Iman, Interaksi dan Persahabatan Dengan Para Malaikat Allah SWT, Rachmat Ramadhana al-Banjari

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: