Medan Ikan bakar Jalan Bellamy memang tidak asing lagi bagi warga kota, ini merupakan lokasi yang sering dikunjungi jika ingin menikmati hidangan makanan laut bakar di Kuala Lumpur selain Medan Ikan Bakar Tanglin dan Medan Ikan Bakar Kampung Baru.
Terletak di sebelah kiri Lorong Bellamy yang agak sempit dengan kawasan meletak kereta yang terhad, Medan Ikan Bakar Jalan Bellamy ini mempunyai beberapa gerai yang menawarkan hidangan ikan bakar panas-panas, terus dari pemanggang. Kedai pilihan kami kali ini ialah Ikan Bakar Seri Melaka.
Jangan mengharapkan layanan istimewa jika di sini; di mana ada kerusi kosong, siap-siap chop dulu sebab pelanggan masuk tak putus-putus . Konsep survival of the fittest digunapakai di restoran ini. Oleh kerana hidangan utama di sini ialah bakar-bakar, hidangan sampingan yang ditawarkan bersama nasi biasa-biasa sahaja seperti taugeh goreng, kuah lemak, sayur campur, sambal belacan, serta ulam-ulaman.

Ikan-ikan yang ditawar di sini semuanya mampu milik dan dibakar dengan perapan istimewa Seri Melaka. Ini merupakan senarai ikan-ikan di sini dan beza harganya mengikut saiz ikan.
Keli Bakar (RM10-RM12), Pari Bakar (RM18-RM20), Siakap Bakar (RM30-RM40), Kembung Bakar (RM12-RM15), Cencaru Bakar (RM12-RM15), Talapia Bakar (RM15-RM25), Terubuk Bakar (RM25-RM35), Bawal Emas Bakar (RM20-RM3o), Kerang (RM15 sepinggan), Sotong (RM15-RM20). Namun, bukan semua jenis tersedia ketika kunjungan, ikutlah tuah masing-masing.

Ikan Bakar Seri Melaka menyediakan dua jenis cecah, kicap dan sambal. Dua-dua pun padu! Kalau dah dapat tempat duduk, makanlah dengan tekun dan kurangkan bersembang kerana ramai lagi yang menunggu untuk kerusi anda itu.
Ikan bakar di sini memang sedap, bersari, tidak kering dan perisa. Kerang bakar juga disalut dengan sambal! Namun, agak sukar untuk menikmatinya kerana nak kopek terpaksa guna kedua belah tangan!

Di sekitar kawasan ini juga meriah dengan kumpulan penyanyi live serta gerai-gerai menjual kerepek, buah-buahan segar dan barangan mainan kanak-kanak.
Ikan Bakar Seri Melaka
No 2, Medan Ikan Bakar Jalan Bellamy Off, Jalan Bukit Petaling, 50460 Kuala Lumpur
Leave a Reply