Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga kehidupan kita sentiasa terpandu menuju jalan yang diredai Allah SWT.
Marilah kita menghayati bicara mimbar pada hari ini yang bertajuk: “Menyubur Keinsafan Di Sebalik Musibah”.
Sebagai peringatan kita bersama, marilah kita beristiqamah melakukan amal ibadah dan amalan ketaatan, mengimarahkan masjid dan surau melalui solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti program-program pengimarahan yang dijalankan.
Di samping itu, didiklah ahli keluarga khususnya anak-anak untuk melaksanakan kewajipan solat, membaca al-Quran dan mengisi masa lapang di musim persekolahan ini dengan akiviti yang bermanfaat. Sebagai tanda kasih sayang sesama insan, marilah kita menggerakkan amar makruf dan nahi mungkar dan menyuburkan persaudaraan sesama insan. Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dengan fenomena hujan lebat sering berlaku, marilah kita meningkatkan kewaspadaan pada setiap masa untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Semoga Allah SWT memelihara dan mengurniakan keselamatan kepada kita, ahli keluarga dan masyarakat di seluruh negara.
Pada kesempatan ini juga, khatib mengingatkan sidang Jemaah sekalian bahawa kita semakin hampir menuju ke penghujung tahun. Justeru, kepada sesiapa yang masih belum melaksanakan kewajipan zakat, bersegeralah melakukannya melalui kaunter Pusat Pungutan Zakat-MajlisAgama Islam Wilayah Persekutuan atau secara atas talian melalui laman sesawang PPZ-MAIWP.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kehidupan di dunia ini sememangnya tidak dapat lari daripada ujian dan dugaan. Ia sentiasa datang kepada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuannya dalam menerima dan menghadapinya. Allah SWT sangat mengasihi hamba-hamba-Nya yang sentiasa sabar, reda dan berserah diri kepada-Nya dalam menghadapi setiap ujian yang menimpa mereka.
Renungkan firman Allah SWT di dalam surah at-Taghabun ayat 11 sebagaimana dibacakan di permulaan khutbah yang bermaksud:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.”
(Surah at-Taghabun ayat 11)
Imam Ibnu Katsir menyatakan di dalam kitabnya, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, ayat ini menerangkan bahawa sesiapa sahaja yang mendapat musibah daripada Allah SWT, kemudian dia menyedari bahawa apa yang berlaku sudah menjadi suatu ketentuan daripada-Nya, dia juga bersikap reda, maka Allah SWT akan menerangi hatinya dengan suluhan hidayah, mengangkat darjatnya, mengurniakan pahala dan akan menggantikan segala sesuatu yang telah hilang dengan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya.
Kita telah diberi amaran awal oleh pihak berkuasa tentang fenomena hujan lebat yang berterusan dan boleh mengakibatkan berlakunya banjir besar di beberapa kawasan khususnya di negeri-negeri pantai timur.
Namun, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui seteruk manakah ianya akan berlaku. Sebenarnya, Islam telah mengajarkan mengenai kepentingan untuk mengamalkan sikap kewaspadaan dan kesiapsiagaan setiap masa di samping meletakkan kebergantungan terhadap Allah SWT yang maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Hakikat manusia itu sangat lemah pada pandangan Allah SWT. Kejadian banjir besar yang melanda kali ini pastinya menjadi ujian yang sangat berat terhadap mangsa-mangsa yang terlibat. Mereka bukan sahaja kehilangan harta benda yang tidak sedikit nilainya bahkan turut menghadapi tekanan mental dan fizikal.
Lebih menyedihkan lagi, terdapat juga mangsa yang telah kehilangan insan-insan tersayang kerana menjadi korban kajadian banjir ini. Sebagai seorang Muslim, biar apa jua ujian yang menimpa, kita mestilah yakin bahawa kasih sayang Allah SWT sentiasa bersama dengan kita, setiap takdir-Nya pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan.
Bencana alam bukan sekadar perlu dihadapi dengan sabar dan reda, dalam masa yang sama kita perlu mengambil iktibar di sebalik peristiwa tersebut. Walaupun kita di sini tidak terjejas dengan musibah yang melanda, namun sebagai manusia yang beriman seharusnya menyelami dengan turut sama merasai kesusahan dan kesedihan. Musibah banjir sudah pasti memberi kesan kerosakan yang besar terhadap segala bangunan, infrastruktur dan fasiliti yang ada di kawasan tersebut.
Marilah kita mengambil peluang untuk berbakti dengan bersama-sama menyumbang tenaga membersihkan kediaman-kediaman mangsa yang terlibat, premis-premis yang terjejas seperti masjid, surau, sekolah, dewan dan sebagainya. Sememangnya mereka sangat memerlukan bantuan apatah lagi mereka telah menghadapi kersosakan rumah dan kenderaan yang sudah tentu melibatkan kerugian yang sangat besar.
Sebagai bukti kasih sayang dan solidariti kepada negeri-negeri yang terlibat dengan bencana alam ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah melancarkan Misi Musaadah Banjir dengan mengadakan kutipan Jumaat di seluruh masjid dan surau Jumaat Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk membantu dan meringankan beban mangsa banjir melalui sumbangan wang ringgit mahupun barangan-barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung, air minuman dan sebagainya serta barangan keperluan peribadi dan keluarga seperti selimut, toto, kelengkapan bayi, tuala wanita, alat mandian, peralatan elektrik, peralatan pembersihan dan lain-lain.
Sesungguhnya Islam mendidik kita supaya mengambil berat terhadap kesusahan dan kepayahan yang menimpa orang lain.
Hayatilah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di hari kiamat. Dan sesiapa yang mempermudahkan sesuatu kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan kesusahannya di dunia dan di akhirat.”
(HR Muslim)
Justeru, rebutlah peluang ini turut sama membantu meringankan bebanan mereka tanpa mengira latar belakang, bangsa, kaum dan agama.
Di samping itu, berikan sokongan moral kepada mereka supaya dalam situasi getir ini mereka mendapat semangat untuk kembali bangkit membina semula kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. Bersama- samalah kita berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan kepada negara daripada musibah banjir. Khatib ingin mengingatkan walaupun kita reda dan bersabar dalam menerima ujian, tetapi usaha, ikhtiar dan persiapan menghadapi musibah perlu terus dipertingkatkan bermula dengan sikap dan ahklak kita dengan memastikan supaya apa sahaja projek pembangunan mengambil kira kemungkinan-kemungkinan yang boleh menyebabkan musibah berlaku.
Kita semua bertanggungjawab memelihara dan berusaha sebaik mungkin, dan selebihnya kita berdoa dan bertawakal supaya Allah SWT memelihara kita semua.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Yakinlah bahawa Allah SWT sangat mengasihi hamba-hamba-Nya yang sentiasa sabar, reda dan berserah diri kepada-Nya dalam menghadapi setiap ujian yang menimpa mereka.
Kedua: Setiap ujian dan musibah yang berlaku sudah pasti mengandungi pelbagai hikmah. Ambillah iktibar dan menginsafi diri terhadap setiap ujian dan musibah yang menimpa demi meraih ganjaran yang besar daripada Allah SWT.
Ketiga: Jadilah warga prihatin dengan bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam di negara ini tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan bangsa untuk meringankan kesusahan mereka.
Marilah kita hayati bersama firman Allah SWT dalam surah at-Taubah, ayat 51 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”
(Surah at-Taubah 51)
Tarikh Dibaca: 28 Jamadilawal 1444H/23 Disember 2022M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply