Riyadhah dan Hawa Nafsu

Allah SWT berfirman kepada Musa AS. yang bermaksud: 

“Wahai Musa, jika kamu menginginkan agar Aku lebih dekat kepadamu daripada ucapanmu kepada lidahmu; daripada bisikan hatimu kepada hatimu; daripada rohmu kepada badanmu; daripada cahaya penglihatanmu kepada kedua belah matamu; dan daripada pendengaranmu kepada telingamu, maka perbanyakkanlah selawat kepada Muhammad SAW.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (yakni, yang telah anda kerjakan untuk hari kiamat).”

(Surah Al-Hasyr 59:18)

Hendaklah diketahui, nafsu ammarah bi as-su’ (nafsu amarah yang mengajak pada kejahatan) adalah lebih besar permusuhannya kepada anda daripada iblis. Syaitan hanya berani kepada anda kerana hawa nafsu dan syahwat. Jangan sampai hawa nafsu anda memperdayakan anda dengan angan-angan dan tipu belaka. Sebab, tabiat nafsu adalah terasa aman dan lalai kepada Allah, menunda perbuatan baik dan malas. 

Ajakan semua itu adalah batil dan masing-masing merupakan tipuan. Jika anda senang kepadanya dan mengikut perintahnya, nescaya anda akan binasa. Jika anda lupa mengawasinya, nescaya anda akan tenggelam ke dalamnya. Jika anda tidak mampu mengingkarinya dan mengikut rayuannya, nescaya dia mengiringi anda ke dalam neraka. Nafsu tidak boleh dikembalikan pada kebaikan. la merupakan induk segala bencana dan aib. Ia adalah khazanah iblis dan tempat berlindung setiap kejahatan yang tidak diketahui kecuali oleh Penciptanya.

Takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Tahu terhadap apa yang anda semua lakukan, baik berupa kebajikan mahupun kejahatan. 

Seandainya seorang hamba merenungi sebahagian umur yang telah dilaluinya untuk mencari kepentingan akhiratnya, renungan ini akan membersihkan hatinya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud 

“Renungan sesaat adalah lebih baik berbanding ibadah setahun.”

Seperti itu pula yang disebutkan di dalam Tafsir Abu al-Laith. Jadi, hendaklah orang berakal bertaubat dari dosa-dosa yang telah lalu dan memikirkan apa yang akan mendekatkan diri kepada Allah dan menyelamatkannya di kampung akhirat. Hendaklah dia memendekkan angan-angan, menyegerakan untuk bertaubat, mengingati Allah SWT meninggalkan segala larangan, bersabar dan tidak mengikut nafsu syahwatnya. Nafsu itu adalah berhala. Barangsiapa yang menyembah nafsu, dia menyembah berhala. Barangsiapa yang menyembah Allah dengan penuh keikhlasan, dia telah menundukkan nafsunya.

Diriwayatkan, Malik ibn Dinar berjalan-jalan di pasar Basrah. Lalu, dia melihat buah tin dan sangat menginginkannya. Dia pun melepaskan kasutnya dan memberikannya kepada tukang sayur, lalu berkata: “Berikan kepada saya buah tin itu.”

Melihat kasut itu, tukang sayur berkata: “Nilai kasut ini tidak sebanding sedikit pun dengan harga buah tin.”

Malik pun pergi. Lalu, seseorang bertanya kepada tukang sayur: “Tidakkah anda mengenal siapa orang itu?”

“Tidak,” jawabnya.

“Dia adalah Malik ibn Dinar,” orang itu memberi penjelasan.

Tukang sayur itu pun memberi sepiring buah tin yang dibawa di atas kepala hambanya. Dia berkata kepada hambanya: “Jika dia menerima ini darimu, kamu merdeka.”

Lalu, hamba itu berlari mengejar Malik ibn Dinar. Hamba itu berkata kepada Malik: “Terimalah ini dari saya.”

Akan tetapi, Malik menolak. Lalu, hamba itu berkata lagi: “Terimalah ini dari saya, sebab di situ terdapat kemerdekaan saya.”

“Jika di situ terdapat kemerdekaanmu, di situ pula terdapat azab untukku,” kata Malik ibn Dinar kepada hamba itu.

Hamba tersebut terus mendesaknya. Malik lantas berkata: “Aku telah bersumpah untuk tidak menjual agama dengan buah tin dan tidak memakan buah tin hingga hari kiamat.” 

Dikisahkan, Malik ibn Dinar jatuh sakit. Sakit itulah yang menyebabkan kematiannya. Sebelumnya, dia sangat mengingin-kan segelas madu dan susu untuk dicelupkan padanya roti panas. Lantas, pelayannya datang membawa apa yang diinginkannya. Malik ibn Dinar pun mengambilnya dan memandangnya sesaat. Kemudian, dia berkata: “Duhai diri, kamu telah bersabar selama tiga puluh tahun dan tertinggal umurnya sesaat.”

Kemudian, dia melemparkan gelas yang ada di tangannya, menahan nafsunya dan kemudian meninggal dunia. Demikianlah keadaan para Nabi, para wali, para siddiqun, para pencinta Allah dan orang-orang zuhud.

Sulaiman ibn Daud AS berkata: “Orang yang mengalahkan nafsunya lebih kuat daripada orang yang menakluki satu kota.” Abi Talib RA berkata: “Aku dan nafsuku hanyalah seperti penggembala kambing. Setiap kali dia mengumpulkan kambing-kambing di satu sisi, maka kambing-kambing itu bergerak di sisi yang lain. Barangsiapa yang mengendalikan nafsunya, dia dibungkus dengan kain kafan rahmat dan dikubur di dalam tanah kemuliaan. Sebaliknya, barangsiapa yang melalaikan hatinya, dia dibungkus dengan kain kafan laknat dan dikubur di dalam tanah seksaan.”

Yahya ibn Mu’az ar-Raz RA berkata:

“Perangilah nafsu anda dengan ketaatan dan riyadhah”

Riyadhah itu adalah mengurangkan tidur, sedikit bicara, menanggung derita dari gangguan orang lain dan sedikit makan. Dari kurang tidur dihasilkan kejernihan keinginan. Dari sedikit bicara dihasilkan keselamatan dari segala penyakit. Dengan menanggung derita akan dicapai segala tujuan. Dari sedikit makan dihasilkan kematian syahwat, sebab dengan banyak makan dihasilkan kekuatan hati dan kehilangan cahayanya. 

Cahaya hikmah adalah lapar, sedangkan kenyang akan membuat jauh dari Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Terangilah hati kamu dengan lapar. Perangilah nafsu kamu dengan lapar dan dahaga. Kekalkanlah perlindungan di pintu syurga dengan lapar. Sebab, pahala di dalam hal itu adalah seperti pahala orang yang berperang di jalan Allah. Padahal, tidak ada perbuatan yang lebih dicintai Allah SWT berbanding lapar dan dahaga. Orang yang memenuhi perutnya tidak akan masuk ke kerajaan langit dan tidak berasakan manisnya ibadah.”

Abu Bakar Al-Siddiq RA berkata: “Saya tidak pernah kenyang sejak memeluk Islam, kerana itu saya berasakan manisnya beribadah kepada Tuhan. Saya tidak pernah puas sejak memeluk Islam, kerana itu saya merindui pertemuan dengan Tuhan. Sebab, banyak makan menyebabkan sedikit ibadah. Apabila seseorang banyak makan, badannya terasa berat, matanya diserang rasa mengantuk dan anggota-anggota tubuhnya menjadi lemah. Darinya tidak diperoleh sesuatu apa pun; tidak dapat bersungguh-sungguh selain tidur. Oleh kerana itu, ia menjadi seperti bangkai yang dilemparkan.” Demikian diambil dari Minhaj al-Abidin. 

Luqman Al-Hakim berkata kepada anaknya: “Janganlah memperbanyakkan tidur dan makan. Sebab, orang yang banyak tidur dan makan akan datang pada hari kiamat sebagai orang yang bankrap dari amal-amal soleh.” Demikian disebutkan di dalam Minyah al-Fana.

Nabi SAW bersabda: 

“Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak makan dan minum. Sebab, hati itu akan mati bagai tanaman yang sering disiram air.”

Hal itu seperti yang dikemukakan orang-orang soleh, bahawa perut itu bagai periuk yang berada di bawah hati yang mendidih, dan asap sampai padanya. Banyaknya asap akan mengotori dan menghitamkannya. Banyak makan menyebabkan sedikit pemahaman dan perolehan ilmu. Sebab, kenyang dapat menghilangkan kecerdasan.

Dikisahkan dari Yahya ibn Zakaria AS bahawa iblis menampakkan diri kepadanya dengan membawa gantungan. 

Yahya bertanya kepadanya: “Apa ini?”

Ini adalah syahwat yang diburu anak-anak Adam,” jawab iblis. 

“Apakah kamu menemui gantungan untukku?” tanya Yahya lagi.

“Tidak, kecuali jika pada suatu malam kamu pernah berasa kenyang. Dengan itu, kami membuatmu terasa berat untuk menunaikan solat,” jawab iblis.

“Tidak diragui, bahawa saya tidak pernah lagi kenyang sesudah itu,” kata Yahya.

“Tidak diragui, bahawa saya tidak menasihati siapa pun selamanya,” jawab iblis.

Ini berkenaan dengan orang yang tidak pernah kenyang sepanjang hidupnya, kecuali satu malam saja; apalagi bagi orang yang tidak pernah lapar semalam pun sepanjang hidupnya, bagaimana ia dapat gemar beribadah?

Juga dikisahkan dari Yahya ibn Zakaria AS, bahawa pada suatu kali, dia pernah memakan roti gandum hingga kenyang. Lalu, pada malam itu ia tidur hingga meninggalkan wiridnya. Lantas, Allah SWT berfirman kepadanya: 

“Yahya, apakah kamu menemui sebuah rumah yang lebih baik bagimu daripada rumah-Ku? Atau, apakah kamu menemui tetangga yang lebih baik bagimu daripada bertetangga dengan-Ku? Demi keagungan dan kemuliaan-Ku, kalau kamu melihat syurga Firdaus dan memandang neraka Jahannam, nescaya kamu menangis dengan nanah campur darah sebagai ganti air mata, dan kamu mengenakan baju besi sebagai ganti tenunan kasar.”

Sumber: Mendidik Hati Mendekati Ilahi oleh Imam Al-Ghazali

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: